SAHAJA AKU MENIKAHIMU 6

            “Mak, Kak Za datang!”  jerit Farhana. Dia berlari ke arah pintu. Keceriaan terpancar pada wajah gadis manis itu seperti hari-hari, hari raya!
            Kepala Fayyad automatik menoleh ke arah pintu rumah mereka. Bukan main laju lagi kepalanya menoleh. Apakah maksudnya?  Adakah itu namanya cinta?  Cinta yang selama ini masih bersisa namun dia nafikan?  Fayyad keliru dengan semuanya.
            Konflik apa pulalah, ni?  Dekat-dekat nak kahwin nilah baru dia nak datang tunjuk muka. Jangan-jangan ini petunjuk istikharahnya?  Fayyad bermonolog dalam hati.
            Fayyad keliru dengan perasaannya. Dia perlu lakukan istikharah untuk kali kedua, bahkan mungkin untuk kali ketiga.
            “Kak Za… rindu betul dengan Kak Za.”  Farhana dakap erat tubuh Zahirah.
            “Ya Allah, Za… kenapa kering sangat ni?”  Mak Nah yang sedang menghampiri beriak terkejut.
            “Sibuk belajar, Mak Nah!”  ujar Zahirah. Seketika dia mereling Fayyad yang sedang memandangnya.  “Lagi satu sebab rindu.”  Lama dia pandang wajah Fayyad. Sebaik Fayyad mengalihkan pandangan, dia kembali memandang wajah Mak Nah.
            “Hah!  Rindu siapa?  Kak Za, jangan macam-macam!  Along dah…”
            “Adik!!  Uli karipap ni cepat sikit. Along banyak kerja lagi nak buat.”  Wajah Fayyad sudah mulai tegang.
            “Along dah apa?”  Zahirah menjongket kening.
            “Along dah marah.”  Farhana mencebik seraya menjeling. Lalu, dia menapak ke tempat duduknya tadi. Kembali menguli karipap.
“Za dah habis belajar ke?”
“Belum lagi. Ni tengah cuti semester.”
“Oh… lama benar ya Za duduk sana tapi tak habis belajar lagi. Hmmm… Za duduklah dulu. Kejap lagi kita borak lagi. Mak Nah tengah menggoreng dekat dapur. Karang hangit pula.”
            “Ha, yelah!”  Zahirah mengangguk.
            “Za nak tolong.”  Dia merapati Fayyad dan Farhana yang masing-masing sedang menguli donut dan karipap.
            “Dialu-alukan. Kak Za tolong uli karipap ni. Inti letak lebih sikit, okey?  Ana nak hantar karipap yang dah siap uli ni dekat mak.”  Farhana segera berdiri. Dia seolah mahu memberi ruang kepada pasangan itu untuk berborak. Mungkin soal hati.
            “Kak Za ikut… nak basuh tangan dulu.”  Zahirah segera berdiri dan membuntuti Farhana.
“Yad tak rindu Za ke?”  Soalan pertama Zahirah sebaik dia menghenyakkan punggung di atas kusyen kosong. Tangan yang basah dilapkan pada kain bersih yang tisu yang tersedia di atas meja.
Dia perhatikan Fayyad yang sedang focus menguli donut. Dia menguntum senyum. Itu antara sifat yang ada pada lelaki itu yang membuatkan dia tertarik. Orangnya baik, bertanggungjawab, rajin, amanah. Apa sahaja yang tidak ada pada Fayyad?  Mungkin dia tidak kaya, namun semua sikap mahmudah itu yang diperlukan dari seorang lelaki. Meskipun ada wang berkepuk dalam poket, belum tentu boleh membeli jiwanya.
            Fayyad ketawa tidak ikhlas. Tidak sampai dua saat ketawa tidak ikhlasnya itu mati.  “Yad banyak lagi kerja nak buat. Tak sempat kut nak ingat atau nak rindukan Za,”  tukasnya geram.
            “Betul tak rindu?”  tebak Zahirah seolah memaksa.
            Fayyad melepaskan keluh berat. Donut yang siap diuli, diletakkan ke atas dulang.  Dia renung wajah Zahirah.  “Za… tolong jangan desak Yad macam ini.”
            “Tak boleh ke kita balik macam dulu?”
            “Za… terima hakikat. Kita tak ditakdirkan untuk bersama. Za ada kehidupan Za, dan Yad ada kehidupan Yad.”
            “Takkanlah sebab ayah Za, Yad paksa diri Yad buang perasaan Yad pada Za?”  soal Zahirah dengan kening yang saling bertaut.
            “Za… Za perlu tahu. Hubungan tanpa restu mak bapak ni memang takkan ke mana. Za cantik, Za baik, Za antara orang yang terpelajar. Za layak dapat orang sehebat Za. Yad ni tak ada apa-apa pun.”
            “Yad… Za minta maaf. Za tahu Yad terkilan dengan kata-kata ayah Za dulu. Tapi Za memang tak kisah pilih Yad. Yang penting Yad ada ilmu agama. Bukan setakat ada, tapi Yad amalkan ilmu agama tu. Za yakin sangat tak ada orang yang boleh curi hati Za melainkan Yad.”
            Fayyad pejam mata lalu memicit kelopak matanya.  Tak tahu macam mana lagi nak meyakinkan si Zahirah. Memang benar ada sekelumit perasaan pada wanita itu. tapi dia terpaksa buang jauh segala perasaan indah itu memandangkan tidak lagi dia dan Ezahra akan bernikah. 
“Za, jangan buat Yad serba salah. Za kena terima hakikat yang takdir bukan untuk kita. Yad minta tolong sangat pada Za supaya lupakan Yad.”
            “Kita sekampung, Yad. Bila-bila masa kita akan berjumpa. Takkan senang-senang Za lupakan Yad, kan?”
            Fayyad mendesah hebat.  “Kenapa susah sangat Za nak faham Yad?”  tegurnya.
            “Sebab Yad dah bawa hati Za dengan Yad. Dan Za tahu, dalam hati Yad masih ada nama Za.”
            “Za tolonglah…”
            Fayyad kehairanan. Macam mana si Zahirah boleh baca isi hatinya?  Sedangkan dia tidak pernah mengemaskini tentang perasaannya pada sesiapa. Cukup sekadar dia memendam seorang diri.
            “Betul, kan apa yang Za cakap tadi?  Yad masih ada hati pada Za.”  Zahirah masih lagi mendesak.
            “Za jangan desak Yad.”  Fayyad memberikan amaran.
            “Yad memang tak pandai nak tipu Za. Dua lima tahun kita jadi kawan. Sikit pun Yad tak boleh tipu Za.”
            Sekali lagi tembakan Zahirah mengena!  Membuatkan Fayyad hilang arah.
            “Yad pergi dapur dulu. Nak goreng donut.”  Fayyad bangun dan melangkah meninggalkan Zahirah berseorangan.
            Zahirah memerhati langkah Fayyad ke dapur sehingga hilang kelibat lelaki itu dari pandangan. Tanpa sedar air matanya menitis. Dia menyeka air mata yang mengalir dengan tudung yang dipakai.
            Semuanya berpunca dari ayah Zahirah yang tidak setuju dengan hubungan mereka. Ayah Zahirah melarang Zahirah untuk bercinta dengan Fayyad disebabkan Fayyad tiada kelulusan melainkan SPM. Sedangkan kawan-kawan mereka yang lain sudah berjaya bahkan sudah menamatkan pengajian di peringkat Phd. Kecuali Fayyad yang sudah tua bangka baru mahu merangkak ke Diploma.
            Ayah Zahirah juga tidak merestui hubungan mereka disebabkan mereka duduk sekampung. Katanya tidak berkembang generasinya jikalau Fayyad mengahwini anaknya.
            Yang orang tua itu pun satu hal. Harap kopiah sahaja di atas kepala. Namun, minda masih belum merdeka. Masih sahaja menilai kedudukan orang dari segi pangkat dan kedudukan ilmu dunia. Sedangkan yang paling penting itu adalah ilmu agamanya. Jikalau belajar ilmu dunia tinggi menggunung pun, ilmu akhirat kosong memang tidak akan ke mana!
            Sejak dari itu, Fayyad cuba membuang perasaannya pada Zahirah. Tak dinafikan Zahirah ada ciri-ciri wanita yang dia suka, namun semua perasaan itu membataskan cinta dan sukanya pada wanita itu.
            Mungkin namanya bukan jodoh. Walaupun sedekat mana dua manusia yang bercinta, namun jika sudah tertulis bahawa tiada jodoh, pasti tidak akan bersatu. Bahkan pasti ada sahaja halangan yang membentengi.


Ezahra merenung Fayyad dengan wajah garangnya.  “You ni memang jenis tak pandai tepati masa. Berkebun ke dekat rumah you tadi?”  perlinya geram.
            “Orang kampung memang jenis tak tepati masa, eh?”  Fayyad mengajuk ayat Ezahra sebelum ini. Baru sahaja beberapa minggu bertembung, dia sudah dapat menghafal tagline wanita itu.
“Ayat tu, kan nak keluar dari mulut awak tadi. Tapi tak terkeluar pula hari ini. Eh, kalau jenis tak tepati masa, orang bandar dan orang kaya pun buat benda tu juga. Tak payah nak mengkelasifikasikan orang sangat. Yang ini orang bandar, yang ini orang kampung.”
            “Habis yang you lambat tu kenapa?  Tak tepati masa!  Orang kampung macam you ni mana kisah tentang masa. Tak menghargai masa. Suka bazirkan masa buat kerja-kerja tak berfaedah. Lepak sana sini. Merempit!  Bergosip dengan orang kampung. Orang korporat macam I ni hargai masa sebab setiap saat adalah duit!”
            Fayyad ketawa halus lalu menggeleng kepala.  “Minta maaflah. Tadi saya pergi solat. Kita kalau nak berjaya dunia akhirat, kena jaga solat. Awak solat tak?”
            “You tak payah nak berdalih.”
            “Awak tu yang jangan nak berdalih sangat. Saya tanya awak, awak solat tak?”
            Ezahra berdecit.  “Nanti I solatlah. You jangan nak jaga tepi kain I sangat.”
            “Kita dah nak kahwin pun. Nanti bukan setakat tepi kain, tapi hal dalam kain awak pun saya kena ambil tahu. Ha!  Lagi satu saya nak perbetulkan statement awak. Orang yang menghargai masa adalah orang yang jaga solatnya. Bukannya orang yang kejarkan urusan dunia. Contohnya macam awaklah. Utamakan duit seolah lupa yang duit dan rezeki tu semua milik Allah. Allah Taala yang beri, bukan dunia ni yang beri.
“Dan orang yang suka bazirkan masa adalah orang yang sibukkan urusan dunia berbanding akhirat. Ingat!  Dekat mana pun kita. Tinggi apa pun pangkat dan darjat kita, solat kena jaga. Utamakan solat dulu kalau nak buat hal apa pun.”
Ezahra memeluk tubuh lalu menjeling Fayyad. Pantang sungguh dia jikalau ada yang berani menegur segala tindak tanduknya.  “You rasa dah cukup bagus ke, yang nak mengajar I bagai ni?”  tempelaknya geram.
“Saya tak rasa saya bagus. Saya nak menasihati. Saya nasihat ni bukan untuk awak seorang aje. Tapi untuk diri saya juga,”  tutur Fayyad. Cuba menasihati dengan penuh hikmah.
“Baguslah kalau you nak nasihat untuk diri you sendiri. Tapi kalau nak nasihat untuk diri sendiri, tak perlu kut nak membebel dekat I. You nasihat diri you dekat rumah,”  tukas Ezahra.
“Saya nak nasihat awak juga. Sebab kita dah nak kahwin. Saya tak naklah nanti kahwin katak. Kahwin-kahwin dengan awak terus dapat tajaan dosa menimbun. Dosa tak tutup aurat satu. Dosa tak solat satu. Sekurang-kurangnya nanti lepas kahwin, awak tinggal-tinggallah dosa untuk orang lain sama. Kesian saya nak mengusung dosa isteri ke sana ke mari.”
“Kalau dah tahu I ni banyak dosa, kenapa nak kahwin dengan I juga?  You ada hak untuk menidakkan perkahwinan ni. Tapi you tetap gatal nakkan I juga kenapa?”  Ezahra meninggi suara. Bengang juga dengan sikap Fayyad yang mengikut telunjuk si daddy. Bukannya berani nak membantah!  Tak fasal-fasal, dia kena kahwin dengan lelaki itu!
“Saya ada alasan saya sendiri kenapa saya nak kahwin dengan awak.”
“Alasan you sebab you gatal!  You kahwin dengan I sebab you ni sama aje dengan lelaki lain, yang pantang tengok orang perempuan.”
“Ikut suka hati awaklah nak cakap apa. Allah Taala aje yang tahu nawaitu saya.”
Ezahra ketawa sinis. Menyampah mendengar kata-kata Fayyad yang seolah pura-pura baik itu.
“Sebelum tu nak minta maaf dekat awak sebab bajet kenduri kahwin kita hanya RM3,000 aje. Hantaran tak ada. Dan mas kahwin RM300. Macam yang awak minta, ringkas-ringkas aje kita buat. Panggil saudara terdekat. Ha!  Sebelum awak cakap ‘orang kampung memang jenis tak ada duit ke’, yang itu saya mengaku saya orang kampung yang tak ada duit. Tapi itulah. Kita buat kenduri kahwin ikut apa yang Allah dan Nabi suruh. Yang penting diredhai Allah.”
“You nak kahwin dengan educated person, graduated from oversea’s university. RM300 tu bukan nilai untuk orang yang ada Masters macam I!”  Bulat mata Ezahra memandang Fayyad.
Tidak puas hati dengan amaun yang dinyatakan lelaki itu. Terlalu murah!  Setakat duit banyak itu, apa aje nak makan?  Nak jamu keropok lekor aje ke?
“Awak nak berapa?”
Hundred thousands.”
“Sikit sangat!  Itu aje ke harga awak untuk Masters yang awak ada?  Kenapa bukan RM200,000?  Kenapa bukan RM500,000?”
Diam.
“Orang perempuan tetap bernilai walau tak ada kelulusan. Dan nilai orang perempuan lebih tinggi dari jutaan ringgit. RM300 tu bukan harga untuk saya dapatkan awak. RM300 tu sebagai hadiah. Nilai awak adalah infiniti. Tak ternilai.”
Ezahra menggeleng kepala dengan wajah bengang.  “Itu alasan orang yang tak ada duit, tapi terdesak nak kahwin. Kahwin bermodalkan RM300!”  gumamnya.
“Kalau saya terdesak nak kahwin, saya boleh kahwin free aje dengan awak. Tanpa satu sen pun. Tangkap basah aje modalnya. Tapi saya nak kahwin dengan awak, Lillahi Taala. Ikhlas dan mengikut kemampuan saya.”  Fayyad membela diri.
Susah tahu tak bercakap dengan orang yang ilmu agamanya tak dikemaskini. Baginya, ilmu agama Ezahra masih ditakuk lama, sebelum merdeka. Mindanya masih dijajah dengan jajahan Melayu yang menilai harga perkahwinan dengan kelulusan seseorang.
“Senang aje nak kahwin dengan orang, kan?  Cakap bajet sikit, okey kira jadi.”
“Kita tutup bab ni. Kalau saya cakap pun awak tak akan faham.”
“Memang I tak faham!”
“Tak apa, lepas kahwin saya fahamkan awak.”
Before that… I nak cakap yang I akan failkan cerai setelah kita kahwin.”
Bulat mata Fayyad dibuatnya.  “Mak ai!!  Kahwin pun belum, dah nak cakap fasal cerai. Untuk pengetahuan awaklah, kan… saya berkahwin bukan untuk bercerai. Tak berbaloi saya habiskan duit untuk kahwin, dan akhir sekali saya kena ceraikan awak. Itu membazir namanya!”
“I boleh bayar balik apa yang you rugi. And if you tak nak ceraikan I, I akan tebus talak. You cakap aje berapa you nak. I bagi.”
“You cakap aje berapa you nak bagi, I tak nak!”  Fayyad mengajuk ‘I’, ‘you’  si Ezahra. Terus dia berdiri serentak kerusi yang dia duduk terundur ke belakang. “Saya balik dulu. Assalamualaikum!”
“Waalaikumsalam!  I tak habis cakap lagi!”
Fayyad semakin gagah berjalan. Malas mahu berbincang dengan wanita itu. Sudahnya wanita itu meminta cerai sebelum sempat berkahwin. Apa kejadahnya?!
“Dia ingat kahwin ni main masak-masak ke?  Kahwin lepas tu saja-saja cerai?”  bebelnya sambil berjalan. Langkah kaki dilajukan menuju motosikal.
Zuppp!!  Zuppp!!
Ezahra dengan wajah bongkak bersama raybannya memandu BMW Z4 dengan bumbung kenderaan itu terbuka luas. Penuh bergaya dia memecut laju kereta baru dibeli itu ke atas jalan raya.
Fayyad menggeleng kepala. Dia tepuk dahi pula.  “Aduh!!  Bakal bini aku ni, katanya belajar oversea. Kelulusan ijazah sarjana. Tapi otaknya ke mana?”
“Tengah-tengah panas terik macam ini dia buka bumbung kereta. Dengan muka tak boleh blah, bajet duduk Korea. Isk!  Itulah orang perempuan ni. Taksub sangat dengan Korea. Itu, ini semua Korea aje. Nak cari calon suami pun cari yang ala-ala mamat Korea.”
 “Wahai kaum hawa, kembalilah pada lelaki Melayu yang tall, dark or white, handsome!”  leternya lagi.

Fayyad tidak mahu mengaku dia dark!  Itu fasal dia mentioned dark or white. Dia nak kata yang dia tu putih.  Kadang-kadang riak Fayyad ni pun melampau-lampau juga. Mentang putih, eksyen pula!

1 comment:

  1. Titanium Helix Earrings | TITIAN ARTICLES
    TITanium Helix Earrings | TITIAN does titanium set off metal detectors ARTICLES. TITIAN ARTICLES. mens black titanium wedding bands TITIAN ARTICLES. TITIAN ARTICLES. TITIAN ARTICLES. TITIAN titanium piercings ARTICLES. TITIAN polished titanium ARTICLES. TITIAN ARTICLES. TITIAN ARTICLES. TITIAN ARTICLES. TITIAN ARTICLES. titanium fitness TITIAN ARTICLES. TITIAN ARTICLES.

    ReplyDelete

Bacaan Buku Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat

Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...