SAHAJA AKU MENIKAHIMU 7
Tak fasal-fasal betul si Fayyad kena hantar Zahirah ke air port, disebabkan desakan wanita itu. Mak Nah pun bersimpati pada Zahirah kerana tidak ada sesiapa yang mahu menghantarnya ke lapangan terbang, akhirnya dia memaksa Fayyad untuk berbuat demikian.
Zahirah sebenarnya mahu pulang ke Sabah untuk tempoh tiga minggu sebelum dia pulang ke Australia bagi menyambung pengajiannya di peringkat ijazah sarjana. Dia ke Sabah untuk menyelesaikan urusan pertukaran tempat kerjanya dari Kolej Matrikulasi Sabah ke Kolej Matrikulasi Selangor memandangkan tidak lama lagi dia akan berkhidmat semula sebaik menyelesaikan pengajiannya empat bulan lagi.
Sebenarnya dia mahu mendekatkan diri dengan Fayyad sehingga sanggup menukar tempat kerjanya dari Sabah sehingga ke Selangor. Begitu dalam cintanya buat Fayyad sehingga sanggup berusaha sedemikian rupa. Meskipun, lelaki itu hanya buat tak tahu sahaja akan perasaan yang ditunjuk melalui perbuatan.
“Buat apalah, nak tukar tempat kerja. Duduk ajelah dekat Sabah tu. Bila lagi nak merantau negeri orang?” marah Fayyad sambil tangan kiri memegang stereng. Siku kanannya dipautkan pada cermin tingkap kereta.
“Yad kutuk Za, yang Yad tu asyik duduk aje Selangor. Tak merantau pun negeri orang.”
“Yad anak sulung. Ketua keluarga. Nak jaga mak dengan adik-adik. Za tu… taka da tanggungan apa-apa. Umur tiga puluh tak kahwin lagi. Dah jadi anak dara tua. Bawa-bawalah diri tu pergi cari jodoh dekat negeri orang.”
“Za tunggu Yad aje.” Tenang wajah Zahirah menuturkannya.
Fayyad mereling Zahirah. Degil betul anak dara seorang ni! Susah betul kalau bercakap dengan orang berpendidikan. Tegas dengan pendirian! “Tak payah tunggu sebab nanti Za akan menyesal.”
Zahirah menggeleng. “Takkan menyesal,” riaknya sambil berpeluk tubuh.
“Bila Za nak balik sini?” Fayyad ubah topik.
“Tiga minggu lagi Insya-Allah. Dan Za nak minta tolong Yad jagakan kereta Za. Bawa pergi servis. Za tak sempat nak servis sebab rushing ke sana ke mari.”
Berkerut dahi Fayyad. Selama ini, keretanya dijaga oleh ayah Zahirah. Mengada betullah si Zahirah nak mengamanahkan amanah yang agak berat itu. “Za… punya ramai orang yang Za kenal, kenapa Yad juga nak kena tolong Za serviskan dan jaga kereta Za ni?”
“Za percayakan Yad.”
Fayyad melepas keluh berat. “Ramai lagi orang yang boleh dipercayai. Tak ada! Yad tak nak tolong Za!” tegasnya.
Zahirah menoleh ke kanan mencari wajah Fayyad. Wajah sepuluh sen dipamerkan. “Sampai hati Yad, kan? Ayah Za sibuk kerja. Jadi, tak ada siapa nak tolong Za. Yad ni, kan… susah betul nak minta tolong.”
“Bukan tak nak tolong. Tapi Yad rasa Za buat macam tu sebab Za nak dekatkan diri Za dengan Yad, kan?” tebak Fayyad. Firasatnya berkata sebegitu.
“Tak adalah…” Zahirah kembali memandang jalan yang lurus.
“Tapi kenapa Yad rasa macam tu?”
“Sebab Yad memang jenis suka buat andaian sendiri. Dan syok sendiri!”
“Za jangan mengharapkan Yad. Yad dah nak kahwin tau,” beritahu Fayyad, jujur.
Zahirah ketawa kecil. “Macam Za percaya. Yad nak kahwin? Tunggu kucing bertanduklah jawabnya,” perlinya.
“Yad cakap tak percaya.”
“Bila Yad nak kahwin?” Nada suara Zahirah seperti tadi. Seakan mengejek. Bukannya dia tidak tahu tingkah Fayyad yang suka menyakat.
“Minggu depan.”
“Kahwinlah Yad dengan motor Yad tu,” ejek Zahirah. Dia tidak mempercayai kata-kata Fayyad. Fayyad bergurau dengan wajah serius, fikirnya. Kerana memang itu yang selalu terjadi ketika mereka masih kecil.
Fayyad menghela nafas dan teruskan pemanduannya.
“Yad jagakan kereta Za, eh! Drive hari-hari. Kereta Za suka merajuk kalau tak drive hari-hari,” pesan Zahirah pada Fayyad sebaik turun dari kereta.
“Habis kereta Yad tu? Kancil tu lagilah, bukan setakat merajuk, dia koma terus kalau sehari tak hidupkan enjin. Mana nak jaga kereta Za lagi. Za suruhlah ayah Za jagakan.”
“Ayah sibuk.”
Fayyad berjalan menuju ke bonet kereta dengan wajah gelisah. “Habis selama Za pergi oversea, ayah Za kan yang jaga kereta Za?”
Zahirah menuju ke bonet keretanya juga. “Ayah selalu sibuk. Kalau tak, tak adalah kereta Za tu banyak rosak. Dia bukannya jaga sangat kereta Za. Drive pun habis langgar lopak. Sampai alignment kereta Za dah lari sikit.” Zahirah berkata sambil muncungkan mulut.
Fayyad ketawa. “Tak baik tau Za cakap macam itu. Za pun dulu selalu jahanamkan motor ayah Za. Sampai lemas motor tu masuk sungai. Nasib sungai tu cetek aje.”
Tiba-tiba dia teringat akan kenangan zaman dia dan Zahirah sekolah menengah.
Zahirah turut ketawa. Dia tutup matanya dengan telapak tangan. Malu pula apabila mengenangkan kenangan pahit itu. Kenangan pun boleh jadi manis, dengan syarat Fayyad ada di waktu kenangan itu.
“Yad ingat lagi kenangan tu.” Dia teruja.
“Ingatlah! Sebab Yad kena bedal teruk dengan ayah Za hari tu sedangkan Za yang bagi jatuh motor tu masuk sungai,” marah Fayyad.
“Kesian Yad! Za menyorok aje belakang pokok. Sampai ke sudah Yad sanggup tak beritahu Za yang bawa motor tu sampai masuk sungai semata-mata Yad nak selamatkan Za dari kena marah dengan ayah.” Zahirah senyum bangga. Bangga kerana dia diselamatkan oleh Fayyad yang macho. Aarrggh!! Makin menjadi-jadi cinta dan sukanya buat lelaki itu!
“Yad ni gentleman tau! Tak sanggup tengok orang perempuan kena pukul.” Fayyad beriak dengan wajah bangga. Bonet kereta yang terbuka sejak tadi, diangkat sehingga terbuka luas. Bagasi Zahirah dicapai lalu diangkat keluar dari bonet tersebut.
Zahirah ketawa. “Sebab tu Za jatuh hati dekat Yad. Sikap Yad melindungi.”
Fayyad buat-buat tidak dengar. Namun, sesekali dia kembang juga mendengarkan pujian. Oh!! Seluarnya sudah hampir pecah menahan pujian.
“Za nak pergi dah. Nak drop beg lepas tu nak terus boarding. Yad nak balik, baliklah dulu. Yad banyak kerja, kan?” tingkah Zahirah. Pemegang bagasi dipegang lalu ditarik keluar.
Fayyad mengangguk. “Okey. Za hati-hati. Nanti nak balik beritahu Yad. Yad pergi ambil.”
“Itu yang Za nak dengar,” tutur Zahirah.
Fayyad mengecilkan mata memandang Zahirah. “Sebab itulah, kan Za suruh Yad jaga kereta Za? Sebab senang nanti Yad yang ambil Za?” prasangkanya.
Zahirah ketawa. Lambat-lambat dia mengangguk. “Haah! Memang betul pun.” Dia akhirnya mengiyakan andaian Fayyad.
“Za, Za!” Fayyad menggeleng kepala. Satu haru juga perangai macam Zahirah yang tidak tahu mengalah itu. Dia sendiri serabut. Beritahu Zahirah bahawa dia akan berkahwin pun, wanita itu tidak percaya. Bukannya apa, dia tidak mahu ada hati yang terluka nanti.
Kalau dah terluka nanti, siapa nak bertanggungjawab? Fayyad awal-awal lagi sudah mengamarankan Zahirah supaya jangan menunggunya. Tetapi wanita itu tetap berkeras. Nanti sendiri yang tanggunglah ya Cik Zahirah! Jangan nanti, si Zahirah menangis tidak berlagu pula.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Bacaan Buku Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat
Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...

-
Uisk! Ada yang bukak entry ni ke? Nak pergi mana tu? Honeymoon ke? Bercuti dengan kawan-kawan? Travel solo? Nak pergi rumah sa...
-
Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...
-
Dari jauh lagi Mak Nah terintai-intai melihat gerangan yang sedang menyidai baju di ampaian dekat halaman rumahnya. Mata...
No comments:
Post a Comment