SAHAJA AKU MENIKAHIMU 14




            Dari jauh lagi Mak Nah terintai-intai melihat gerangan yang sedang menyidai baju di ampaian dekat halaman rumahnya. Matanya dikecilkan supaya jelas apa yang dilihatnya. Perlahan langkah kaki dimajukan sedikit demi sedikit ala-ala slow motion.
            Wanita itu terkejut ketika menoleh ke belakang, Mak Nah sudah pun terpacak betul-betul di belakangnya. “Mak…”  Dia mengurut dada.
            Mak Nah pun tidak kurang hebat untuk terkejut. Terlepas bungkusan-bungkusan yang berada di tangannya. Allahuakbar!  Dia mengucap panjang dalam hati.
            Dah kenapa orang tua ni?  Siap berterabur semua barang.  “Ara naik dulu,”  pamit Ezahra tanpa membantu mengangkat bungkusan-bungkusan yang terlepas dari tangan mertuanya.
            “Allahuakbar!  Aku ingatkan amoi manalah yang datang. Allah… luruh jantung aku tengok menantu macam itu!”  leter Mak Nah sambil mengurut dada. Mata terpejam menahan sesak di dada.
            Dia terus bercangkung mengutip bungkusan-bungkusan yang berselerak di atas tanah. Dalam hati masih lagi mengucap panjang melihat si menantu. Ya!  Tidak pernah disangkakan menantunya seperti itu. Kenapa seksi semacam dengan singlet dan seluar ‘katak’ paras atas lutut?  Memang tidak ubah seperti amoi!
            Dalam kepala ligat memikirkan mengapa Ezahra berperwatakan seperti itu?  Bukankah wanita itu bertudung litup seperti yang pernah dia lihat semasa hari akad nikah dan semalam ketika mereka sampai di sini?  Kalau dah memang bertudung litup seperti itu, takkanlah nak keluar rumah pun tiada perasaan malu sampai nak berpakaian seperti itu?
            Mak Nah. Dia memang sangat menjaga agama. Jadi, ia suatu yang memeranjatkan apabila ada ahli-ahli keluarganya yang berpakaian seperti itu. Suatu kejutan yang mengejutkan sehingga membuatkan dia terkejut dan terkedu. Apatah lagi, dia sendiri pasti bahawa Tan Sri Khalid merupakan seorang yang kuat pegangan agama. Takkanlah anaknya berperwatakan seperti itu?
            Mak Nah bingung!  Dalam kebingungan itu dia memaksa diri untuk melangkah masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur yang tidak jauh dari ampaian itu.

Ezahra terpisat-pisat membuka mata. Seketika dia menggeliat manja di atas katil. Dahi yang berpeluh-peluh diseka dengan tangan. Tiba-tiba ekor matanya dapat menangkap ada mata sedang memandangnya disebelah kiri. Dadanya mula berombak kencang. Pantas dia menoleh sebelah kirinya dengan mata yang membulat.
            “Arrrrrgggghhhh!!!”
            Ketokkk… ketok… ketok… ketok… ketok… tok… tok…
            Ezahra bangun dari pembaringan. Dia turun dari katil dan merapatkan tubuh ke sisi meja solek. Ada apa di atas meja solek dicapai lalu dibaling ke arah ibu dan bapak ayam yang sedang panik melihat tingkahnya.
            Ayam-ayam itu masih berketur dan cuba terbang ke sana dan ke mari.
            Ezahra campak segala yang ada pada ayam yang sedang memijak komputer ribanya di atas katil. Berani betul naik atas katil!  Isk!  Bala apalah yang dia dapat?  Ini semua salah Fayyad. Kalau dia tidak ke mari, pasti segala bala ini tidak akan menimpanya!
            Seekor ayam itu tidak berganjak. Masih di atas komputer riba Ezahra sambil menunjukkan reaksi panik. Ezahra campak bantal pun ayam itu masih tidak meninggalkan komputer riba jenama Apple yang mungkin terasa empuk untuk diduduki. Macam dengki betul ayam tu!!  Sengaja betul perhangat hati baran wanita itu!
            “Hoi!!  You keluar!! Tak ada tempat lain ke you nak pergi?”  Ezahra menyergah ayam itu sambil memberanikan diri menghampiri katil.
            “Kenapa, Kak Ara?”  Tiba-tiba Farhana muncul disebalik pintu bilik. Tatkala dia melihat ayam-ayam itu, dia terus ternganga. “Ya Allah!!  Ayam-ayam ni!  Tak habis-habislah… mak dah buat sarang dekat luar, nak bertelur dalam ni juga.”
            Ezahra menjeling. “Tu, dia duduk atas lappy I!”
            Farhana bergerak menuju katil untuk menghalau ayam-ayam itu. “Syuh!!!  Syuh!!!”
            Dua kali syuh ayam-ayam itu bergerak malah terbang ke arah Ezahra.
            “Aarrrggh!!!  Arrrggh!!”  Ezahra menjerit sambil tangan memekup telinga. Statik tubuhnya. Ayam-ayam itu seolah mengepungnya di depan, kanan dan kiri.
            “Kak Ara buka tingkap luas-luas. Cepat, kak!”
            Ezahra berwajah blur seketika dia berjengket ke arah tingkap yang sudah terbuka dibelakangnya itu. Teragak-agak dia menolak tingkap itu supaya terbuka luas.
            “Syuh!!! Syuh!!!”  Farhana bertindak mengusir ayam-ayam itu ke arah tingkap di belakang Ezahra.
            “Aaarrgghh!!  Kurang ajar punya ayam!!  Dekat tangan I juga you nak terbang.”
            Usai menghalau ayam-ayam itu keluar Farhana cepat-cepat menutup tingkap kayu itu. “Kak Ara, lain kali jangan buka tingkap besar sangat ya. Ayam memang suka masuk. Nak bertelur bagai.”
            Ezahra menjeling dengan wajah tidak puas hati. Tangannya yang calar terkena kuku ayam ketika ayam-ayam itu terbang, digosok-gosok.
            Farhana tiba-tiba terpandang kaki Ezahra. Dia menelan liur sambil matanya membulat. Wajah kakak ipar dipandang sekilas.  “Errr… Kak Ara…”
            “Apa lagi?”  rengus Ezahra geram.
            “Ka… ka… kaki…”
            “Kaki apa?”  Ezahra mereling kaki kirinya sambil menjeling. Tiba-tiba matanya membulat. “What?!  Shit!!  Shit!!  Shit!!”  Dia mengepal penumbuk.
            “Basuh kaki dulu, ya Kak Ara.”
            Dada Ezahra berombak kencang. Hidungnya kembang kempis menahan amarah. Wajah si adik ipar dipandang dengan pandangan tajam.  “Ni semua salah you!!”
            “Hah?”  Farhana terpinga-pinga sambil mata menyoroti kelibat Ezahra yang meninggalkannya dalam keadaan terjengket-jengket.


Ezahra membelek-belek komputer ribanya yang sudah calar-balar itu. “Kalau I tak datang sini. Ayam kampung yang tak educated tu takkan calarkan lappy I ni.”  Dia membebel seorang diri.
            Tiba-tiba Farhana berjalan di ruang tamu itu.
            “Hah!  You!”
            Farhana menoleh.  “Hah?”
            “You call Along you. Tanya bila dia nak balik. Dan pesan dekat dia I nak pergi kerja awal pagi esok. Ada meeting.”  Bukan main pandai mengarah orang anak Tan Sri Khalid ni!
            “Kak Ara, kan boleh call sendiri?”  jawab Farhana kerek. Dia pun macam orang lain juga. Jangan sesekali biar diri dibuli!  Nak baik ada masa dan tempatnya. Tengok gaya si kakak ipar, memang kaki mengarah dan membuli. Jadi, bila nak menangani orang macam itu, kena kerek sikit!
            “I tak ada nombor telefon dia.”
            “Hah?  Kak Ara biar betul. Nombor telefon suami sendiri pun tak simpan?”
            Ezahra malas melayan si Farhana terus matanya ditumpukan ke arah skrin komputer ribanya. Laju dia menaip sesuatu.
            “Okey. Nanti Ara call.”  Farhana menggaru kepala lalu meninggalkan Ezahra diruang tamu itu.


Bakul yang terisi baju-bajunya diusung menuju sebelah bilik air dekat dapur di mana di situ terdapat mesin basuh.
            Mak Nah. Sambil-sambil memasak dia mereling tingkah si menantu. Biasalah namanya pun ibu mertua, mana boleh lari dari menilai tingkah dan perbuatan menantu.
            Ezahra meletakkan bakul baju di sisi mesin basuh. Dia menjenguk-jenguk transperensi pada mesin basuh itu. “Baju siapa ni?  I nak basuh baju I,”  soalnya sambil menoleh ke belakang memandang wajah Farhana.
            “Oh, itu baju mak dengan adik.”  Farhana menjawab sambil mengupas bawang dekat meja dapur.
            “Ambillah, baju ni. I nak basuh baju I pula.”
            Farhana mencari wajah Mak Nah. Dan mereka saling berpandangan. Hmmm… tudia!  Tunjuk belang dah si menantu. Menantu hantu namanya. Ada bakul kosong di sebelah mesin basuh itu, takkanlah si Ezahra nak berkira?  Tolong angkat baju masukkan dalam bakul dan tolong sidai. Memang tak pandai nak mengambil hati orang betul!
            “Kak Ara tolong letak baju tu dalam bakul kosong boleh?”  pinta Farhana.
            Ezahra buat muka bosan.  “Tak apalah. Nanti you buat sendiri. Ha!  I lapar sebenarnya.”
            “Makanlah, Ezahra. Mak ada buat nasi lemak tadi. Ada bawah tudung saji. Untuk lauk tengahari tak siap lagi.”
            “Oh, Ara tak makan nasi lemak. Nanti Ara mengantuk pula. Susah nak buat kerja.”
            “Alas perut dulu, Kak Ara,”  celah Farhana.
            “Tak apalah. Nanti kalau dah siap masak, panggil I. I nak makan.”
            Mak Nah dan Farhana sekali lagi berpandangan sesama sendiri.
            “Bertuah betul menantu. Ingatkan nak tolong sama-sama masak.”  Ayat Mak Nah sebaik kelibat si menantu sulung sudah hilang dari pandangan.
            “Dia busy kut.”  Farhana tidak mahu memanjangkan cerita. Takut-takut jika didengari oleh Alongnya kecil hati pula.
            “Busy apanya?  Dua puluh empat jam terbaring sambil main handphone.”
            Farhana cuba husnuzon terhadap kakak iparnya walaupun dia sendiri nampak bahawa kakak iparnya itu agak luar biasa.  “Itu yang mak nampak. Masa mak tak nampak, dia tengah busy buat kerja dia.”
            “Tak payah nak backup dia.”
            Farhana melepas keluh berat.  “Adik tak backuplah, mak. Adik duduk satu bilik dengan dia. Adik tahulah. Mak janganlah benci dia sebab perangai dia. Sedih Along nanti.”
            “Along kau tu pun satu, dah tahu perangai macam itu kenapa nak buat bini juga.”
            “Mak janganlah macam itu. Kesian Along. Doa yang baik-baik aje. Lagipun Kak Ara tu datang dari keluarga kaya. Semua benda bibik buat. Tak biasa dengan cara hidup macam kita. Lama-lama duduk dengan kita, dia akan terikut juga dengan sikap dan cara kita. Tu pun kira beruntung ada juga orang kaya nak dekat Along anak mak tu.”
            Mak Nah menyambung memasak. Cili kering yang dikisar tadi, dituang ke dalam kuali.  “Kalau kaya perangai tak macam orang, tak kahwin pun tak apa adik.”
            “Mak tak baik cakap macam itu. Doa baik-baik aje. Lain orang lain perangai. Buruk kita nampak, ada sisi baik yang kita tak nampak.”
            Mak Nah mencebik.


Tengah malam itu, Ezahra yang sedang sibuk melakukan kerja-kerjanya di dalam bilik Farhana, terdengar suara Fayyad dari arah ruang tamu. Lelaki itu seolah sedang berbual-berbual dengan seorang lelaki sambil bergelak ketawa.
            Dengan penuh sebal dia mengesot untuk turun dari katil. Langkah kaki dibawa ke ruang tamu.
            “You pergi mana, hari ni baru nak balik?”
            Fayyad dan Fawwas yang tadinya rancak berbual sambil bertepuk tampar terpegun memandang Ezahra tanpa kelip.
            “Wow!!”  Ayat spontan terbit dari mulut Fawwas.
            Fayyad segera menoleh memandang Fawwas di sebelahnya. Spontan dia membaling kusyen kecil dari atas ribanya tepat mengenai wajah Fawwas. Pantas dia berdiri dan memaut tangan Ezahra yang sedang berdiri bercekak pinggang dihadapan mereka. Dibawa si isteri menuju ke bilik Farhana.
            “You ni kenapa?  Lepaslah!!”
            Fayyad tidak mengendahkan si isteri yang menggelupur minta dilepaskan. Wajahnya bengis saat ini.
            “Adik!  Keluar kejap.”  Fayyad mengarahkan Farhana supaya keluar sebaik sampai dihadapan bilik itu.
            “Hah?”  Farhana masih blur. Namun seketika itu dia cepat-cepat tutup bukunya lalu kelam kabut untuk tinggalkan bilik. Dia nampak wajah Alongnya itu. Kalau Alongnya pamer wajah sebegitu bermakna lelaki itu betul-betul marah!  Sebelum rambut lebatnya mulai menipis, lebih baik dia menyahut lelaki itu.
            Ezahra mereling si Farhana yang berwajah ketakutan sambil melangkah keluar dari bilik. Seketika dia menjeling Fayyad.
“Dah tak ada baju lain ke nak pakai?”  Fayyad bercekak pinggang.
Kening Ezahra saling bertaut.  “Apa hal pula?”
“Sekali lagi saya nampak awak pakai baju macam ini, saya bakar semua baju awak!”  Fayyad mengugut.
“You ni dah kenapa?  I bukannya keluar rumah pakai macam ini pun.”
“Tak keluar rumah. Tapi tahu tak saudara lelaki saya tak boleh tengok aurat awak?  Kena alertlah!  Awak dan adik lelaki saya bukan mahram. Kalau saya mati, awak boleh berkahwin dengan adik saya.”  Fayyad mentarbiyah si isteri.
Ezahra tersenyum sinis seraya memeluk tubuh.  “Kalau you mati sekali pun, I takkan buang masa I kahwin dengan adik lelaki you tu.”
Fayyad mengetap bibir geram pula apabila Ezahra sudah pandai menjawab kata-katanya dengan kerek.  “Ini kalau!  Sebab awak dan adik lelaki saya tu boleh berkahwin. Sebab itu hukumnya adalah haram bila awak dedahkan aurat pada dia. Awak dan Fawwas tu bukan ajnabi.”
“Eh, I tak kisahlah!  Selama ni I pakai macam ini depan beribu lelaki. Setakat nak tunjuk aurat I pada seorang aje lelaki dalam rumah ni, berapa aje dosa I dapat?”
“Ezahra Binti Khalid!!  Awak jangan main-main dengan hukum dan janji Allah!  Awak tak nampak semua benda ghaib tu, tapi itu bukan bermakna awak boleh persendakan hukum Allah.”
“You…”
Fayyad tidak mengendahkan Ezahra. Malah dia menonong ke arah bagasi si isteri. Zip bagasi tersebut dibuka lalu dia bercangkung. Semua pakaian si isteri dikecarkan. Baju dan seluar dalam dilempar ke atas katil. Manakala baju-baju yang kelihatan agak seksi diambil. “Ni!!  Baju-baju ni saya bakar malam ini juga!”
Ezahra menghampiri Fayyad dengan perasaan yang memuncak.  “Apa masalah you?  Dah tak ada kerja sangat ke sampai you nak bakar baju I?”  getusnya geram. Memang selalu nak cari fasal aje bila bertemu.
“Baju-baju macam ini boleh pakai dekat rumah kita, tapi awak tak pernah pakai. Dekat luar, dekat rumah ni yang ada lelaki yang bukan mahram awak, awak nak sangat pakai. Nak tunjuk sangat dekat semua orang yang awak tu ada body cantik?  Kita berdua dah halal, tapi tak nak pula terhegeh-hegeh pakai dekat rumah?”  Sinis Fayyad menyoal.
“Sebab I rasa I tak selamat bila berdua dengan you. That’s why I tak pakai baju-baju macam ini dekat sini sebab kita tak berdua.”
Fayyad berdiri bersama longgokan baju yang dipilih dari bagasi pakaian Ezahra ke dadanya.
“Sepatutnya awak rasa selamat bila berdua dengan lelaki yang halal bagi awak. Apa pun alasan awak, saya tak redha awak keluar rumah atau pakai baju macam ni depan lelaki lain kecuali saya. Awak seorang isteri. Antara tugas isteri adalah menjaga maruah suami dan jaga maruah diri awak sendiri hanya untuk seorang suami.”
Ezahra berpeluk tubuh memandang tajam Fayyad.
“Awak nak pakai lagi ke baju-baju macam ni?”  Kali ini suara Fayyad mula mengendur. Dia tidak suka meninggikan suara dengan orang wanita. Nak-nak lagi wanita itu adalah isterinya. Gila, dia berperang dengan dirinya untuk menahan amarah yang memuncak. Namun, situasi memaksanya bertindak demikian.
Diam.
“Saya tanya awak nak pakai lagi ke baju macam ini?”  soal Fayyad tegas.
“Ya.”  Ezahra menjawab tegas tanpa mengelipkan mata dia memandang Fayyad. Sebenarnya dalam hati terpalit gerun melihat amarah Fayyad yang meluap-luap itu. Nampaknya, lelaki itu betul-betul marah.
“Boleh. Tapi pakai untuk siapa?  Dan bila masa nak pakai baju ni?”  Seolah soalan cepumas Fayyad menyoal Ezahra.
“I pakai untuk I. Dan I akan pakai baju-baju ni bila-bila masa I nak termasuk bila I nak keluar rumah.”  Ezahra tersenyum bangga.
“Okey.”  Fayyad mengangguk seraya melepaskan keluh berat. Baju-baju yang berada dalam dakapannya, dicampak ke lantai. Lalu dia membongkok mengambil sehelai baju. Dia kembali berdiri tegak dan menayangkan sehelai baju Ezahra yang agak seksi.
Ezahra menjeling.
Fayyad merenung Ezahra bersahaja. Sehelai baju Ezahra diangkat sama paras ke wajah si isteri. Lalu perlahan-lahan dia mengoyakkannya. Dengan kudrat lelakinya, sekali rentap baju itu sudah pun terbelah dua.
Ezahra melopong. Lama. Telunjuknya perlahan-lahan terarah ke wajah Fayyad. “You!!”  jeritnya kuat.
“Saya minta maaf. Ini cara nak mengajar isteri. Saya sayangkan awak.”  Fayyad merenung mata Ezahra dengan mata redup. Lalu dia kembali mencapai sehelai demi sehelai baju Ezahra.
“You koyaklah semua baju I. Sebab I akan bogel depan semua orang!”  Ezahra seolah mengugut.
“Bogel sekarang!”  cabar Fayyad. Dikoyaknya satu persatu pakaian seksi milik si isteri.
“I nak pakai baju apa lagi lepas ni?  Nak harap you belikan baju untuk I, memang taklah!”
“Baju mak banyak. Sekarang awak buka baju tu. Kalau tak, saya bukakan.”
“Tak puas lagi nak koyakkan baju I?”
“Tak puas lagi!  Kalau Fawwas ada, awak pakai baju elok-elok dan pakai tudung. Saya nampak awak pakai macam ni lagi depan Fawwas atau mana-mana lelaki, saya takkan duduk diam.”
Ezahra mereling tajam dan menyoroti langkah Fayyad sehingga hilang kelibat si suami. Sakit hati bukan kepalang!  Dia rasa nak mengamuk tapi dia rasa tidak selesa apabila bergaduh di rumah orang.


“Adik!!”
            “Ye, Long!”  Farhana seolah askar yang direkrut. Segera terpacak dihadapan Alongnya sebaik nama timangannya disebut.
            “Mak tidur, kan?”
            “Haah, tidur.”  Angguk Farhana.
            Fayyad lega memandangkan emaknya sedang tidur, jadi pertelingkahannya dan isteri tidak didengari oleh wanita tua itu. Mahu kena berleter sampai gegar dunia kalau Mak Nah masuk campur dan tahu hal sebenar.
            “Adik bagi Kak Ara adik tu, baju-baju yang muat untuk dia pakai. Kain batik dengan baju t lengan panjang. And make sure kalau dia nak keluar dari bilik, dia pakai baju senonoh sikit. Dan sarungkan dia tudung, kalau dia tak pakai tudung.”
            Farhana mengeluh lalu mencebik. Bukannya tanggungjawab dia pun nak pesan dan paksa si kakak ipar untuk tutup aurat. Lagipun, si Ezahra itu berangin dan garang macam singa. Dia pun tak berani nak mencari fasal. “Ala… Along cakaplah dengan dia.”
            “Along pesan apa, tadi?”  Kening Fayyad saling bertaut sambil wajahnya sudah berkerut seribu tandanya dia sedang marah.

            “Okey-okey!  Adik dengar dan buat apa yang Along suruh!”

No comments:

Post a Comment

Bacaan Buku Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat

Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...