SAHAJA AKU MENIKAHIMU 15




            Pagi itu seperti tiga hari yang lalu, Fayyad menjadi driver tukang bawa isteri ke tempat kerja. Sampai lambat lima minit di tempat kerja kena marah. Sampai awal di tempat kerja pun kena marah. Ada sahaja masalah si Ezahra nak mencari fasal. Sebenarnya dia geram dengan si Fayyad. Jadi, bila sudah geram dan benci, benda betul yang Fayyad buat pun jadi salah.
            Dia sebenarnya masih lagi menyimpan dendam terhadap si Fayyad memandangkan lelaki itu telah mengoyakkan bajunya tempoh hari. Bila dah koyakkan, baru terhegeh-hegeh mesej ‘saya minta maaf.’ 
Pantang betul Ezahra!  Dah koyak rabak bajunya, lepas itu baru nak minta maaf. Apa aje yang dia boleh maafkan, memandangkan baju-baju itu tidak boleh kembali pada asal?  Mahal tahu tak?  Semua pakaiannya yang branded belaka. Harap si Fayyad, baju yang miang satu badan dia beli, sebab murah!
Sudahlah si Ezahra tu sudah mama kedana sekarang. Harap nak beli gula-gula pun minta dekat Fayyad. Nak ikutkan baran si Ezahra ni memang dah lama makan penampar. Tapi bila dia fikir balik, dia simpan sedikit rasa malu alah terhadap si Fayyad kerana sekarang dia bergantung seratus peratus terhadap si suami itu dari segi wang, kenderaan dan tempat tinggal.
Ingat si Ezahra ni baik sangat ke nak tunduk cakap orang, apatah lagi lelaki macam Fayyad yang tak sama level dengannya?  Dia behave perangai dia pun sebab lelaki itu yang menyaranya setakat ini.
Ketika dia bekerja dan memperoleh pendapatan dan aset sendiri, mana dia boleh tunduk dengan orang. Dengan si daddy pun dia nak bergaduh, inikan pula orang luar. Jadi, kesimpulannya, baik si Ezahra tu ada makna!  Politik material orang panggil!
“Tak nak salam abang ke, sayang?”
Ezahra yang baru sahaja memijakkan kaki kiri ke tar jalan sebaik pintu kereta dibuka, spontan menoleh ke belakang. Tajam dia memandang Fayyad.
Fayyad tersengih nakal sambil menjongket kening.
“You dah lama tak makan penumbuk ke?”
Mati terus senyuman nakal Fayyad.  “Macam ni ke jawapan seorang isteri bila suami minta disalami?  Dah seminggu lebih awak tak cium tangan syurga ni.”
“Mana ada syurga dekat tangan you!”
“Hah!  Tangan nilah cari rezeki untuk kita berdua. Dan untuk bakal anak kita nanti. Sebab tu, tangan ni tangan syurga. Syurga untuk awak. Itu pun tak nak lagi?”
“You ni memang jenis banyak cakap, kan?”
Fayyad gigit bibir.
“Balik nanti, ambil I!  Sharp!!  On time. And tunggu I dekat sini juga. Ingat!  Jangan bagi staf lain nampak kita. Malu I naik kereta ni dengan you.”
“Hah!  Malu sangat nanti balik jalan kaki.”  Fayyad jelir lidahnya pada Ezahra sambil buat muka geram.
Ezahra menjeling.
“Nanti pergi makan tau. Jangan tak makan pulak.”
“You nak I makan apa?  Duit pun tak ada.”
“Insya-Allah nanti adalah tu rezeki. Mana tahu bukak-bukak dompet aje tiba-tiba ada duit, kan?”
Ezahra ketawa sinis. “So much dream…”  Usai itu dia terus melangkah keluar dari perut Perodua Kelisa berwarna biru gelap itu.


Perutnya yang memulas-mulas itu membantutkan kerjanya. Pen dalam genggaman dilepaskan. Oh!  Dia lapar!  Pagi tadi pun dia tidak mengambil sarapan memandangkan emak mertuanya tidak masak. Hairan juga dia mengapa si emak mertua tidak masak. Kalau tidak, pantang celik mata, makanan sudah terhidang di dapur.
            Tiba-tiba Ezahra teringat kata-kata si Fayyad pagi tadi. ‘Insya-Allah nanti adalah tu rezeki. Mana tahu bukak-bukak dompet aje tiba-tiba ada duit, kan?’
            Terus tas tangannya dicapai. Diseluk-seluk tas tangan itu untuk mencari dompet. “Oh, harap-harap ada duit. Lapar…”  Sambil memegang perut, Ezahra bermonolog.
            Dengan gaya slow motion dia membuka zip dompet. Dan…
            “Seratus aje?!  Did he think that this should be enough for me?”
            Bersyukurlah daripada tak ada langsung, Ezahra!
            Tak!  Sekarang masalahnya duit untuk makan tu ada. Transport?  Dia nak naik apa?  Nak naik teksi?
            “Pizza?”  Ezahra melopong.  “Pizza!!  Yes!”
            Gila si Ezahra tak suka?  Sudah lama dia tidak makan makanan western. Pizza itu antara makanan western paling lekeh yang dia boleh makan. Yang penting western!  Dapatlah melunaskan hasrat perutnya yang bajet barat itu. Itu pun sejak dia berkahwin dengan Fayyad, makanan ala-ala tradisional zaman purba aje yang dijamunya. Kejam betul dunia ini baginya!
            Nombor telefon Domino’s Pizza di dail.


“Kak Ton…”
            Zaitun berdecit. Fokusnya pada skrin komputer dan papan kekunci kini beralih kepada Nadia dihadapan.  “Apa, kau ni Nad?  Dari tadi asyik memanggil-manggil!  Tak Nampak ke akak tengah busy?”  Dia menyambung semula tugasnya.
            Nadia menjuihkan bibir sambil menjeling.  “Nampak… Nad kesian tengok muka Kak Ton yang tengah stress tu. Jadi, apa kata kita berborak dulu pelepas kusut Kak Ton tu dengan gosip.”
            “Gosip apa, Nad?  Akak nak kena buat minit mesyuarat untuk petang kejap lagi.”
            Tanpa hiraukan Zaitun yang tengah sibuk, Nadia menongkat dagu di atas meja kerja wanita itu. Taktiknya mahu menarik perhatian wanita itu bergosip.
“Kak Ton perasan tak, lately ni tak nampak pun Cik Ezahra naik kereta dia. Nad perasan sekarang ni dia banyak jalan kaki dari parkir staf. Tapi sebelum dia jalan kaki tu, Nad tak perasan pula dia naik kereta apa. Nad ada juga cangak cari kereta dia, tapi tak ada pun.”
            “Kau ni, Nad!  Tak padan bunting nak menggosip orang bukan main. Esok-esok anak kau tu mulut becok.”
            Nadia mencebik.
            “Lagi-lagi, apa kau nampak?”
            Kan!  Zaitun ni memang seronok betul kalau dengar gosip mengenai Ezahra, orang paling dia anti!  Walaupun benda-benda macam itu dosa, tetapi nak buat macam mana?  Benda yang dosa itulah yang paling seronok nak buat!
“Hah!  Nad musykil sekarang ni. Nad rasa ada sesuatu yang berlaku. Nampak Cik Ezahra dah lain sikit sekarang. Cuma baran dia tetap ada.”
            “Akak pun perasan, Nad!  Sejak dia datang office pakai tudung, akak dah musykil dah. Tapi dia tu, kejap pakai kejap tanggal. Dia ingat masuk neraka kejap-kejap ke?”
            “Hah!  Bab itu Nad tak nak komen. Itu urusan dia dengan Allah.”  Nadia mencelah. Bab-bab dosa neraka, pahala syurga orang dia tidak suka usik sebab semuanya dibawah penilaian Allah Taala. Boleh jadi, wanita pelacur masuk syurga kerana taubatnya. Dan boleh jadi wanita solehah masuk neraka kerana riaknya. Nauzubillah…
            “So, what do you expert from me?”
            Dua pasang mata yang saling berborak itu tiba-tiba membulat sambil memandang sesama sendiri. Pantas kedua mereka berdiri dan menghadap Ezahra. Kini kepala mereka tertunduk.
            Ezahra berjalan perlahan sambil memeluk tubuh. Dia cuba menghampiri meja kerja Zaitun.  “Puas mengata I?  Both of you ni, datang kerja nak makan gaji buta ke apa?!  Daddy I bayar you all untuk buat kerja regarding to this companyNot regarding to myself!  Tak cukup kain sendiri, dalam kain I pun nak masuk ke?  I’m so pity with both of you!”  hambur Ezahra geram. Lantas dia buat bunyi memanggil kucing.
            “Kami minta maaf, Cik Ezahra. Lepas ni kami tak buat lagi.”  Zaitun meminta maaf sambil matanya terpanah ke dalam bola mata Ezahra.
Tidak seperti Nadia yang tertunduk memandang lantai. Zaitun jenis berani dan tetap pendirian. Kalau dia buat salah, dia akan mengakuinya. Adatlah, kan kalau kena kutuk!  Siapa aje yang tak pernah kena kutuk?  Sedangkan orang buat baik pun kena kutuk, inikan pula orang yang selalu buat hal macam Ezahra.
            “Say sorry, doesn’t mean that I’ll forget everything,”  riak Ezahra. Dadanya makin berombak menahan geram. Sesekali dia mengetap bibir. Mata jangan cakap, memang suka jegil!
            “Kami betul-betul minta maaf Cik Ezahra.”  Nadia menjawab.
            “You’re preggy, rightBefore you terberanak dekat sini, better you go to your place now!  Kalau rasa nak curi tulang, lebih baik resign aje!”
            Ezahra terus beralih pada Zaitun. Dia jegil matanya dua kali ganda memandangkan dari riak Zaitun, dia tahu wanita itu tidak takut dengannya.  “And you!!  Mana Tan Sri?”
            “Tan Sri tak ada.”
            “Apa bising-bising ni, Ara?  Pintu lif tak terbuka lagi, daddy boleh dengar suara Ara.”  Tiba-tiba Tan Sri Khalid muncul dari arah belakang.
            Ezahra menoleh ke belakang seketika. Lalu dia menjeling dua orang wanita dihadapannya.  “You may ask both of them!”  Dia memeluk tubuh pula. Sakit betul hatinya. Bernanah hati dan telinganya yang masih terngiang-ngiang dengan gosip murahan kedua wanita di hadapannya itu.
            “Ikut daddy masuk dalam sekarang!”  Tan Sri Khalid meninggikan suara. Dia terus menghayun kaki masuk ke dalam pejabatnya.
            Ezahra merengus geram sambil mata sempat memberi jelingan tahap maut pada Zaitun dan Nadia. Dia menonong membuntuti si daddy.
            “Apa hal lagi Ezahra ni?”
            “Ara tak nak cerita panjang. Daddy boleh tanya dia orang sendiri. Sekarang ni, Ara cuma minta satu aje!”
            “Minta apa?”
            “Give me the salary that I should get. Itu hak Ara!  Hak atas penat lelah Ara buat kerja,”  tegas Ezahra sambil memeluk tubuh. Matanya kian membulat tanpa berkelip.
            Benar!  Gaji adalah hak ke atas mereka yang bekerja. Itu adalah ganjaran bagi mereka. Namun bagi Ezahra yang penat bekerja, dia terasa sangat-sangat ditindas dan teraniaya dengan hak gaji yang sepatutnya dia terima, tetapi tidak diterima. Sudahlah terpaksa hidup dengan seorang lelaki yang tidak berapa nak kaya, tidak diberi gaji atas penat lelah dia bekerja pula. Kalau macam ini caranya, macam mana nak hidup?
            Ayam tu bolehlah kais pagi, makan pagi. Kais petang, makan petang. Sedangkan dia, kais pagi tak dapat makan, kais petang tak dapat makan juga. Aniaya betul!
            “Macam mana daddy nak berikan gaji kalau Ara sendiri tak ubah sikap Ara?”  Kali ini Tan Sri Khalid mengambil langkah untuk berlembut. Marah-marah pun tak ada guna sekiranya ia tidak dapat melembutkan hati Ezahra. Sekurang-kurangnya dia menggunakan psikologi.
            “Tudung ni tak cukup lagi ke untuk tunjukkan dekat daddy?”
            Tan Sri Khalid menggeleng kepala. Dia suka akan perubahan itu walaupun dia tahu anaknya itu terpaksa. Namun, itu bukan petanda bawahan perubahan wanita itu sudah cukup. Dia mahukan lebih dari itu. “Tadi dekat luar dengan staf dua orang tu. Itu bukti Ara dah berubah ke?”
            Ezahra mengetap bibir menahan geram. Dia ke mari bukan untuk berbalah dengan si daddy. Tetapi si daddy sendiri tidak mahu memberikan kerjasama dengannya.  “Ara tak faham sebenarnya apa yang daddy nak. Daddy nak hold harta Ara, hold ajelah. Tapi jangan nak kacau gaji Ara. Itu hak Ara.”
“Gaji tu pun harta Ara, kan?  Jadi, daddy hold jugalah.”
But at least give me the salary. I need money!”  Ezahra masih lagi bertegas.
            “Cuba hidup dulu tanpa duit.”  Tan Sri Khalid masih lagi berlembut.
            “Everthing is moneySo how can I live with no money in my pocket?”
            “Fayyad ada bagi nafkhah pada Ara, kan?”
            “Daddy rasa cukup ke?”
            Tan Sri Khalid buat tak endah.
            Ezahra tersengih sinis.  “At least give me ten K.”
            Tan Sri Khalid tenung wajah si anak. Lama. Dia melepaskan keluh berat.  “Belajar hidup susah, Ara…”
            Ezahra ternganga. Terasa sesak dadanya kini mendengarkan jawapan si daddy. Tiada kompromi nampaknya!  Tan Sri Khalid takkan faham akan apa yang dia mahu dan perlukan. Lambat-lambat dia mengangguk.  “Fine…”
            Dadanya berombak. Dan kini dia menoleh ke belakang. Wajah berkerut seribu. Menahan geram dengan apa yang berlaku. Terasa dunia ini sangat-sangat kejam!  Dia melangkah dengan kaki yang agak berat.


“You memang lembap, kan kalau buat kerja?”
            “Dah masuk-masuk aje, nak marah-marah pulak. Saya pun penat, tau. Cuba cakap elok-elok sikit.”  Bengkak aje hati si Fayyad. Namun dalam bengkak, dia bertutur dengan baik dan lembut. Dia, kan suami mithali. Mana ada nak tengking-tengking si isteri tanpa sebab. Hidup sebagai lelaki mesti gentle beb!
            “Berpeluh-peluh I tunggu you dekat sini.”
            “Awak kira awak aje, kan?  Tengok ketiak saya ni,”  juih Fayyad ke arah bawah lengan bajunya yang basah. “Basah setompok. Penat berkejar ke sana ke sini,”  katanya separuh merengek.
            Ezahra curi-curi tengok bahagian bawah ketiak Fayyad. Ya, basah!  Pengotor betul!
“Nasib youlah!”  marahnya sambil menjeling. Dalam tak sengaja matanya mencuri lihat lengan baju Fayyad yang disingsing hingga ke paras lengan. Isk!  Lengannya yang kelihatan sasa, mengusik hati wanitanya. 
“Kalau macam itu saya cakap dekat awak, nasib awaklah berpeluh-peluh tunggu saya.”
“Cepatlah jalan!”  Ezahra membebel sambil tangan kiri mengerah tenaga memulas tombol tingkap kereta disebelahnya dengan wajah berkerut seratus lima puluh juta.
“Tak payah tutup tingkap tu. Air-cond rosak. Kita pakai angin luar aje.”
Keluh kasar kedengaran dari nafas Ezahra. Dia menjegil Fayyad disebelahnya.  “Kereta you, ni kan!  Macam-macam masalah!”
“Nak buat macam mana, bersyukur ajelah. Ini aje yang saya mampu.”  Fayyad menuturnya bersahaja. Tidak marah memandangkan apa yang dicakap si isterinya betul belaka. Brek tangan ditarik sebelum menolak gear dari ‘N’ ke ‘R’.
“Hah!  Tengok tu!  Tersenggok-senggok kereta ni. Macam you jugak!  Belilah kereta baru.”
“Hei!  Mulut tu jangan nak kutuk baby saya ni. Karang dia merajuk, susah nanti tak ada transport. Patah kaki kita.”
“Biarlah!  Biar you beli kereta baru.”
“Kereta ni bukannya tak boleh pakai. Boleh aje pakai. Dia tersenggok-senggok sebab kereta ni dulu manual. Dah sebab saya sayangkan isteri saya, ni. Saya tukarlah bagi jadi auto untuk mudahkan awak nak bergerak. Itu pun awak tak bersyukur dapat kereta dan suami penyayang macam saya ni.”  Fayyad bersuara merintih sengaja mahu mendapatkan perhatian dan balas kasih dari si isteri.
Eeeii!!!  Pleaselah!”
“Hah?!”  Fayyad meletakkan tangan kiri ke telinga kirinya sambil kepala menghampiri ke mulut Ezahra. Wajah tak payah cakap, buat-buat poyo konon tak dengar apa yang Ezahra katakan tadi.  “It’s my pleasure?” 
Dia mengangguk perlahan.  “Oh!  Sayang, sayang dekat abang jugak eh?”    Fayyad ketawa besar.
Ezahra menjeling. Dia malas mahu melayan karenah Fayyad.


Wajah yang dipamerkan Ezahra, memang sah-sah wajah tidak puas hati mengalahkan ayam berak kapur. Pintu kereta dihempas kuat sebaik kedua-dua kaki berdiri di atas tanah. Namun tiba-tiba…
            “Aaarrrgghhh!!!”
            Tak fasal-fasal Ezahra kena sodok dengan itik angsa yang tadi sedang bermain-main disekitar tempat Fayyad parkir keretanya.
            Gila Ezahra tak lari?  Mestilah dia lari tapi lari sekitar situ juga sebab dia terkepung dengan tiga ekor itik angsa itu. Berlari dengan kasut tumit tingginya itu, menyebabkan dia terjatuh.
            “Ezahra!!”  Fayyad kalut sebaik keluar dari perut kereta. Pintu kereta dihempas kuat seraya bergegas mendapatkan si isteri.
            “Watcchaaa!!!”  Sekali lompat aje lari lintang pukang tiga ekor itik angsa milik Mak Nah. Bukan main bergaya gaya loncatannya ala-ala Ultraman Nexus nak menghapuskan raksasa.
            Dua orang manusia yang memerhati dari jauh ketawa galak.
            “Hesk!!  Itik ang ni!  Bini aku jugak dia nak sodok. Aku pun belum sempat sodok dia lagi.”  Sempat Fayyad membebel sambil bercangkung di hadapan si isteri.
            Ezahra mempamerkan wajah tidak selesa. Walaupun sakit, dia lebih selesa mendiamkan diri.
            “Jangan pegang!”  Segera dia berdiri sebelum sempat tangan Fayyad mendarat ke kakinya.
            “Itulah!  Lain kali derhaka dengan suami. Ini baru sikit Allah balas tau. Lain kali suami cakap, kena dengar. Kena patuh. Okey?”
            Ezahra buat dek. Dia bergegas menuju ke rumah.
            Fayyad melepas keluh berselang tawa. Tiba-tiba mata tersorot ke arah dua orang makhluk yang masih ketawa berdekah-dekah. Dan tika itu matanya silau tertancap akan sebuah kereta Proton Saga jenis baru berwarna merah tidak jauh dari tempat adik-adiknya duduk.
            Dah kereta siapa pula si Fawwas bawa balik?  Dia lantas berdiri dan melangkah ke arah Fawwas dan Farhana yang sedang menyantap buah rambutan.
            “Siapa punya, Ngah?”
            Fawwas yang sedang menggigit kulit buah rambutan sekadar menjongketkan bahu.
            “Kau jangan nak sembunyi dari aku, Ngah. Along tarik rambut kau nanti, Ngah. Biar botak.”  Fayyad semakin menghampiri pangkin itu.
            Fawwas cepat-cepat angkat tangan menutup muka. Biji buah rambutan sempat ditembak dari mulutnya ke arah Fayyad.  “Pak Cik Lid bagi, Long.”
            Langkah kaki terhenti. Fayyad mengeluh berat.  “Kau ni, Ngah. Along dah larang dari kau, kan jangan nak meminta-minta dengan Pak Cik Lid. Jangan nak pergunakan dia walaupun dia kaya.”
            “Long. Angah tak mintalah. Pak Cik Lid sendiri paksa Angah ambil kereta ni sebab…”
            “Sebab apa?”  Fayyad berdecit tanda tidak puas hati dengan pemberian kereta yang serasanya masih baru fresh dari kilang.
Walaupun lelaki tua itu kini bergelar bapa mertuanya, namun dia tetap punyai maruah. Maruah untuk tidak meminta-minta pada orang lain. Apatah lagi Tan Sri Khalid sudah banyak membantu mereka sekeluarga, takut tak terbalas segala budinya nanti.
            “Dengarlah dulu Angah nak cakap. Kau, nikan Long. Suka potong cakap orang. Pak Cik Lid suruh ambil kereta ni sebab senang nak bawa mak dengan adik ke mana-mana. Kereta Long, kan Kak Ara guna pergi pejabat. Jadi, dia takut mak susah kalau nak ke hospital ke, mana-mana ke. Adik nak ke sekolah ke.”
            “Kau boleh tolak, kan Ngah?  Along ada. Kalau mak dan adik nak ke mana-mana, Along boleh hantar Kak Ara pergi kerja. Lepas tu Along hantarlah kereta dekat rumah.”
“Biarlah, Long. Orang nak bagi benda percuma. Orang gila aje tak nak ambil rezeki depan mata.”  Fawwas menjawab.
            Fayyad kini bercekak pinggang. Seolah dapat menangkap maksud tersirat si adiknya.  “Kau nak cakap Along gila, lah sekarang ni?”
            “Along yang mengaku.”  Fawwas mengangkat kedua tangan ke atas sambil membuat muka tak bersalah.
            “Kau, Ngah!!”  Fayyad menghampiri Fawwas.
            Fawwas yang tidak sempat mengelak, terus lehernya dipaut Fayyad. Kepalanya tertunduk menahan smack down dari si Along.  “Aduh!!!  Sakit doh!”
            Tiba-tiba ada beberapa biji rambutan tertembak ke wajah Fawwas. Fawwas melangut seketika.  “Adik!!”  Matanya kini membulat.
            “Hah!  Tadi Angah buat apa dekat adik?  Kena baliklah dekat Angah. Padan muka!”
            “Tak guna punya adik!”  Fawwas menolak kasar pautan Fayyad padanya lalu dia bertindak mahu mendapatkan Farhana yang sedang memakai kasut. Gadis itu tahu bahawa dia akan diserang oleh si abang. Jadi, dia cepat-cepat mahu menyelamatkan diri.
            “Arrgghh!!”  jerit Farhana sambil berlari.
            Fayyad ketawa.          
Kejar punya kejar, akhirnya Fawwas berjaya menarik tudung Farhana dari belakang.
            “Sakitlah, Ngah!!”
            “Nak buat lagi, tak?”  Fawwas mengugut.
            “Ala!!  Angah buat dekat adik boleh. Adik nak buat dekat Angah tak boleh. Mana aci!”  Farhana mencebikkan wajahnya. Kening saling bertaut tanda tidak puas hati. Iyalah. Selalu kena buli dengan kedua abangnya itu. Ingat tak rimas ke?
            Fawwas tidak mengendahkan si Farhana. Pautan tangan pada leher si adik makin kuat. Lantas mulutnya dingangakan lalu mengeluarkan segala bau dari rahang ke wajah si adik.
            “Weekk!!!”  Lidah Farhana terjelir lalu buat muka pening.  “Busuklah, Ngah!!  Kalau bau seharum kasturi tak apalah. Ini bau mengalahkan bangkai tikus turi.”
            Tawa Fayyad makin galak melihat telatah dua orang adiknya itu.
“Apa?!”  Fawwas buat suara ala-ala incredible hulk.
Aaarrgghh!!!”  Belum sempat Fawwas mengganyangnya, Farhana sudah menjerit.  “Along!!  Tolonglah!”
“Ngah!!  Kau jangan kacau adik Along tu. Karang Along baling rambutan ni tepat kena kepala kau.”  Fayyad acah-acah nak selamatkan Farhana. Walhal dia sendiri suka melihat si adik kena buli dengan Angah.
Sedang Fayyad ketawa, matanya tertancap pada tingkap rumah. Si isteri sedang mengintai telatah kedua adiknya dari atas rumah. Tiba-tiba tawanya mati. Mungkin Ezahra sunyi.
“Ezahra!” 
Jeritan itu membuatkan Ezahra menoleh ke arah si pemanggil dengan wajah terkejut. Terkejut kerana tiba-tiba namanya diseru oleh seseorang tatkala sedang ralit mengintai orang.
“Marilah turun. Makan buah rambutan. Sedap ni!”
Ezahra jadi malu. Malu kerana dia telah terkantoi sedang mengintai adik-adik si suami. Lantas dia berlari menghilangkan wajah dari tingkap itu. Sebelum dia berlari sempat dia menghadiahkan sang suami dengan jelingan tajam.

Fayyad mengangkat kening.  “Nak main cak-cak pulak bini aku ni,”  gumamnya perlahan.

No comments:

Post a Comment

Bacaan Buku Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat

Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...