“Sepanjang
seminggu ni, saya akan bawa kereta. Jadi, awak tak boleh ke mana-mana.”
Ezahra
sudah ternganga. Berombak dadanya mendengarkan kata-kata si suami. “Apa?
Seminggu? You tak mention pun seminggu sebelum ni.” Dia sudah bercekak pinggang.
Mana
tidak dia terkejut, tiba-tiba sahaja si Fayyad mengajaknya pulang ke kampung
siap berpesan bawakan baju-baju. Difikirnya mereka ke kampung untuk satu hari
sahaja. Rupanya seminggu!! Sudahlah dia
masih bebal dengan si Fayyad yang memaksanya datang ke mari. Siap kena ugut
lagi. Kalau tak ikut, kena kurung dalam rumah!
Kejam betul!
“Saya
saja tak nak cakap sebab tahu awak mesti tak nak punya.” Fayyad masih tenang dengan kata-katanya.
Ezahra
merengus. “I nak balik!” Tangan kiri menumbuk kusyen kereta.
“Saya
tak ada dekat rumah sepanjang seminggu ni, jadi saya tak izinkan awak duduk
seorang diri dekat sana. Duduk aje sini dengan mak dan adik.”
Ezahra
ketawa sinis. “Lepas tu, kereta you
ambil. Habis I nak pakai apa aje pergi kerja?
Jalan kaki?”
“Awak
pergi kerja saya hantarlah,” tutur
Fayyad. Dia memandang cermin pandang belakang sambil-sambil menguis-nguis
rambutnya. Sesekali dalam hati memuji ‘hensem juga aku’.
“Macam
mana pun I tetap nak balik rumah! Sini
kampung banyak nyamuklah. I tak biasa.”
Keluh
berat berhembus dari mulut Fayyad. Susah betul nak tenangkan si isteri yang
suka membantah ni! Dia pandang wajah
isteri di sisi.
“Kalau tak biasa, biasakan diri sebab awak dah
jadi isteri kepada orang kampung. Jadi, nak atau tak awak kena datang kampung
selalu. Bab nyamuk tu, ubat nyamuk banyak. Nanti tinggal pasangkan aje.”
“I
nak balik! I tak suka!”
“Nanti
sukalah tu…”
“I
bawa baju sikit aje tau.”
“Mesin
basuh ada. Nanti tinggal masukkan aje baju dalam tu, nanti dia basuhkan untuk
awak, ya.” Fayyad memujuk lembut. Malas
mahu bertekak. Lagi pun dia, kan sayangkan isteri mana boleh benda-benda remeh
pun nak tinggi suara. Kalau tidak, dia akan rasa serba salah!
Ezahra
kehilangan idea untuk membalas kata-kata Fayyad. Dia renung tajam ke dalam bola
mata Fayyad.
“Apa? Tak puas hati? Jom bertarung dekat dalam.” Fayyad mencabut kunci kereta dari lubangnya
sebelum keluar dari kenderaan itu.
Ezahra
merengus geram. Hampir lima minit baru dia melangkah keluar dari kereta.
“Salam cium tangan mak. Peluk sekali,” bisik Fayyad ke telinga Ezahra. Dia kini
tersenyum dan menghampiri Mak Nah.
Ezahra
ditinggalkan di belakang.
Fayyad
meletakkan beg-beg pakaian Ezahra ke atas lantai lalu mencapai tangan kanan Mak
Nah dan dibawa ke bibirnya. Dia memeluk wanita tua itu.
Mak
Nah tersenyum girang. “Ini dia menantu mak. Dah lama kahwin baru Long nak bawa
sini. Ada bini lawa nak sorok-sorok
pula.”
Ezahra
tahan wajah bosan yang hendak dipamerkan memandangkan Fayyad merelingnya tajam. Dia melangkah menghampiri Mak Nah dan
menyalami tangan wanita tua itu. Nak tak nak aje dia mencium tangan mertuanya.
“Ezahra
sihat ke?”
“Sihat.” Ezahra menjawab sepatah. Kemudian dia
memerhati sekeliling rumah itu. Masuk-masuk pun sudah terasa bahang panasnya. Inikan
pula nak duduk sampai seminggu, alahai terbakarlah dia macam macaroni bakar
lagi hangus!
Mak
Nah menekap pula telapak tangannya pada perut Ezahra yang membuatkan wanita itu
terpinga-pinga. “Dah ada isi ke belum ni?”
soalnya.
“Hah?”
Fayyad
pun terkesima melihat perbuatan Mak Nah. Tak sangka betul si emak nak bertanya
soalan itu sambil menyentuh perut si isteri. “Mana ada lagi, mak… Insya-Allah,
adalah rezeki nanti.” Dia melarikan
lirikan mata pada Ezahra lalu mengenyit matanya pada wanita itu.
“Ingatkan
balik sini sebab ada khabar gembira.”
“Khabar
gembiralah ni, Along datang bawa menantu.”
“Kamu
berdua dah makan ke?” soal Mak Nah.
Ezahra
menggeleng.
Mak
Nah mengangguk faham. Dia pandang Fayyad pula.
“Ezahra letih tu, Long. Bawalah dia masuk bilik,” arahnya.
“Okey,” jawab Fayyad sepatah sambil mata melekat pada
wajah Ezahra.
“Ezahra
nak buat apa-apa, buatlah. Rumah ni pun rumah Ezahra juga. Jangan malu-malu,
jangan segan-segan.” Mak Nah senyum
manis.
Ezahra
membalas dengan senyuman terpaksa. Sesekali dia mereling Fayyad yang memerhati
tingkahnya dengan pandangan tajam.
Mak
Nah pun berlalu menuju dapur.
“Jom…
Ezahra Binti Khalid.” Fayyad merenung
tajam ke dalam mata si isteri.
Bila
dipanggil nama penuh tu, faham-faham ajelah si Fayyad sedang marah dan tidak
berpuas hati akan si Ezahra.
Ezahra
menjeling. Dia membalas pandangan tajam Fayyad padanya.
“Tolong
jangan buat muka toya tu! Kalau tak suka
jangan tunjuk sangat. Saya tak kisah kalau awak tak nak hormat saya, tapi
tolong hormat mak saya. Ambil hati dia.”
Ezahra
tersengih sinis. Pandai-pandai pula lelaki dihadapannya itu mahu mengatur sikap
dan kelakuannya!
“Buat apa I nak kena ikut cakap you? Itu hak I. I punya sukalah nak buat apa
sekali pun. You tu siapa nak mengajar I?”
marah Ezahra dengan nada suara yang tertahan-tahan supaya tidak
kedengaran oleh mertuanya.
Fayyad
memeluk tubuh. “Awak tanya saya soalan
yang awak sendiri ada jawapan. Saya suami awak. Tugas suami adalah mendidik dan
mengajar isterinya. Jadi, memang dah tugas saya untuk ajar awak cukup-cukup.”
“I
dengar cakap dan datang ikut you pun dah kira bagus tau.”
“Awak
duduk sini jangan buat perangai. Dan jangan sesekali tunjukkan yang awak tu tak
suka duduk sini.” Fayyad berpesan.
Dia pun susah hati kalau-kalau Ezahra
menunjukkan sikapnya itu lagi. Dia bukannya apa, tidak mahu emaknya berkecil
hati dan tersinggung dengan sikap Ezahra. Orang tua, kan… memang mudah tersinggung.
“I
jenis tak pandai nak menipu. Apa yang I rasa, I akan tunjukkan melalui sikap.
Kalau I sendiri tak boleh ubah sikap I, you tu siapa nak ubah sikap I? Yang kawal diri I, I sendiri. Dan bukannya
orang lain.” Ezahra menjeling.
“Sikap
tu boleh dikawal, kalau otak letak dekat kepala.”
Melopong
luas mulut Ezahra. Dia faham akan apa yang hendak diperkatakan si suami
kepadanya. “So, you nak cakap yang I letak otak I dekat lutut?” Dia meninggikan suara.
“Awak
yang cakap. Bukan saya.” Fayyad merenung
tajam si isteri sebelum melangkah bersama beg pakaian milik Ezahra menuju ke
bilik Farhana.
“Amboi, sedapnya tidur!” bebel Fayyad sebaik menyelak langsir bilik
Farhana. Dia meletakkan beg-beg pakaian ke lantai lalu bercekak pinggang.
Farhana
terkejut lalu tergesa-gesa bangun dengan mata yang masih merah. “Kenapa-kenapa?” soalnya kelam kabut.
“Bangunlah! Dah pukul berapa dah.” Fayyad membebel seraya mencekak pinggang.
Farhana
menepuk katil. Kacau betullah abang sulungnya itu. Ingatkan benda apa ajelah
yang berlaku. Buat terkejut beruk aje dia yang sedang tidur.
“Isk!! Along, ni. Adik baru lelap kejap aje.
Letih tahu tak baru balik dari sekolah.”
“Ada
apa dekat sekolah hujung-hujung minggu ni?”
“Latihan
kawad tadi.” Farhana menjawab sambil
tangan menggosok-gosok kelopak mata. Sesekali dia menutup mulut yang menguap
dengan tangan kanan.
“Kemas
bilik. Kak Ara tidur bilik adik malam ni.”
Fayyad memberi arahan.
“Kak
Ara datang?” Riak tertanya-tanya
dipamerkan. Sesekali dia menjengah ke arah pintu bilik.
“Haah.
Kak Ara tidur sini seminggu.”
“Kenapa
pula?”
“Along
tak ada seminggu ni. Ada hal dekat U. Along nak kena handle minggu orientasi untuk pelajar baru.”
Farhana
mengangguk dan kembali baring. Bantal di sisi dicapai dan diletakkan ke atas
wajahnya.
Fayyad
menghampiri katil Farhana lalu ditarik bantal yang menutupi wajah si adik. “Eh, bangun-bangun! Kemas bilik. Kak Ara nak rehat-rehat tu.”
Farhana
berdecit. Lambat-lambat dia bangun.
Mak Nah dan Farhana sedang menyusun lauk pauk ke atas
meja. Banyak sungguh Mak Nah memasak. Yang pasti lauk pauk yang istimewa itu
semua disediakan untuk si menantu yang dikasihi. Almaklumlah, orang baru
pertama kali dapat menantu, terujalah sikit.
Fayyad
dan Ezahra beriringan ke dapur. Wajah si Fayyad memang ceria bercampur teruja
kecuali orang disebelah yang mukanya tak reti nak senyum.
Sebenarnya
si isteri masih menyebal dengan si Fayyad yang memaksanya turun untuk makan
padahal dia tidak berselera.
Fayyad
menarik kerusi ke belakang, dan mengarahkan Ezahra duduk di situ.
Ezahra
merenung Fayyad.
Fayyad
mengisyaratkan si isteri supaya duduk.
Ezahra
menurut walaupun dalam hati menyumpah seranah si Fayyad yang suka mengatur itu
dan ini untuknya.
“Romantiknya…” Farhana ketawa kecil.
“Along
memang lelaki teromantik dekat Malaysia ni.”
Tanpa riak Fayyad menuturnya. Mata masih melekat pada hidangan di atas
meja. Dia pandang Mak Nah yang sedang menyenduk nasi ke dalam pinggan.
“Banyaknya lauk mak masak?”
“Mak
ni teruja sambut menantu.” Farhana
menyampuk.
“Tak
payahlah masak banyak-banyak macam ini. Lauk-lauk ni semua boleh simpan untuk
makan seminggu. Sayanglah masak semua untuk satu hari ni.” Fayyad sudah mula membebel.
“Lauk
habis boleh beli, Long. Beli untuk makan, kan. Bukannya mak buang.” Mak Nah menjawab dengan ayat kereknya.
Pinggan yang disendukkan nasi disuakan kepada anak-anak dan menantu.
“Dah, Along jangan banyak bunyi. Makan,” arahnya.
“Entah
Along, ni. Banyak songeh pula. Mak masak, makan ajelah. Adik pun boleh tumpang
makan sekali.” Farhana rambang mata
melihat lauk pauk yang tersedia sampai tidak tahu nak ambil yang mana dulu.
Fayyad
mengepit hidung mancung Farhana.
Spontan
Farhana memukul tangan Fayyad.
“Sakitlah, Long.”
“Sudah-sudah! Depan rezeki pun nak main-main.” Mak Nah meleraikan pergaduhan manja antara
adik beradik itu. Dia beralih pula pada Ezahra yang sedang termenung. “Makanlah
Ezahra. Lauk kampung aje mak masak. Tak tahulah kena ke tak dengan selera
Ezahra.”
Ezahra
senyum kelat.
“Long,
tu cedukkan lauk-lauk untuk Ezahra.” Mak
Nah memberi arahan kepada Fayyad. “Makan
banyak-banyak. Tak habis jangan bergerak.”
Sempat lagi dia mengugut.
Ezahra
paksakan diri untuk senyum.
“Mak
nak pergi mana? Makanlah sekali.” Fayyad menyoal sebaik melihat Mak Nah yang
menapak menuju ke sinki.
“Basuh
pinggan kejap.”
Fayyad
bingkas bangun dan mendapatkan Mak Nah. Bahu wanita tua itu dipaut. Dipaksanya
si emak untuk bergerak ke arah meja makan.
“Apa mak ni? Makan ramai-ramailah
sedap. Orang makan, mak basuh pinggan pula.”
“Entah
mak ni. Duduklah makan sekali.” Farhana
bertingkah sambil tangan kanan menyorong kerusi yang kosong disebelahnya ke
belakang. Memberi ruang kepada emaknya untuk duduk.
“Yalah…” Mak Nah menurut.
Fayyad
senyum manis. Tangan kanan menyenduk nasi ke dalam pinggan kosong untuk Mak Nah.
Tidak lupa semua lauk diletakkan ke dalam pinggan yang sama. Usai itu barulah
dia duduk ditempatnya semula.
Ezahra
sekadar memerhati tindak tanduk Fayyad terhadap Mak Nah.
“Banyak
ni, Long. Mak masak untuk anak menantu mak.”
Mak Nah mengomel sebaik Fayyad meletakkan pinggan ditangan dihadapannya.
“Tukang
masak kena makan lebih.”
“Angah
tak balik ke?” Soalan pertama Fayyad
setelah masing-masing membisu menikmati makanan.
“Sibuk
katanya.”
“Memanjang
sibuk dia tu.”
“Biarlah,
Long. Dia sibuk buat kerja tak apa. Asalkan dia tak buat benda-benda
mengarut.” Mak Nah backup anak keduanya yang agak sedikit nakal daripada Fayyad dan
Farhana.
“Mana
mak tahu dia tak buat benda mengarut?
Dia tu suka berjoli. Nak-nak biasiswa dia baru masuk pula.” Fayyad masih tidak berpuas hati.
“Biarlah,
Long. Mak kenal anak-anak mak ni. Semuanya baik-baik. Nakal-nakal sikit tu
biasalah.”
Fayyad
melepas keluh berat. “Dia berjoli sakan,
mak. Bila tak ada duit, mula nak gelisah. Masa ada duit tak nak beringat.”
“Haah.
Angah cakap dekat adik, dia nak beli Iphone 6.”
Farhana mencelah menyetujui kata-kata si Along.
“Ha,
tengok tu! Baru aje semester lepas dia
beli Oppo, dah nak tukar Iphone 6.”
“Dia
main-main aje tu.”
Ezahra
bangun dari duduk yang menghentikan perbualan tiga beranak itu. Dia menapak ke
sinki.
“Ezahra
dah sudah makan?” Mak Nah menyoal dengan
wajah terpinga-pinga.
“Tak
sedap perut.” Ezahra membuka pili air
dan membasuh tangannya dengan sabun.
“Mak
masak tak sedap ke?” Risau betul Mak Nah
dengan masakannya. Mana tidaknya, masakan itu dimasak khas untuk si menantu.
Tetapi apabila menantu yang bangun dulu, rasa gelisah juga dia. Mungkin
masakannya tidak berapa enak.
Tiba-tiba
Fayyad teringat akan Ezahra yang masih lagi sedang datang bulan. Mungkin wanita
itu masih lagi senggugut. “Dia tak sedap
perut. Senggugut.” Dia memberi alasan.
“Oh,
ya ka? Senggugut. Alahai, kesian menantu
mak. Nanti mak panaskan tungku.”
“Eh,
tak apa.” Ezahra terus menapak menuju
tangga.
Fayyad
memerhati Ezahra sehingga hilang kelibat si isteri. Lalu dia memandang Mak Nah
yang sedang berwajah sugul.
“Makanlah, mak. Jangan risau. Nanti Along
pergi tengok dia. Dia kalau senggugut memang tak lalu makan sangat. Semalam
Along masak pun dia tak makan.”
“Patutlah
tengok muka dia pun macam tak ada mood.
Senggugut rupanya.”
Erk!
Ezahra kalau tak senggugut pun memang fesyen mukanya macam itu. Trademark Ezahra Binti Khalid gamaknya.
Fayyad
tarik sengih sumbing. Dia menghabiskan makanannya sebelum meninggalkan ruangan
dapur.
Fayyad menyelak langsir dan menapak memasuki bilik
Farhana. Dilihatnya Ezahra sedang bersujud di atas katil. Bermakna si isteri
benar-benar sakit. Bukannya tipu-tipu.
“Sakit
lagi ke?” Fayyad menapak menghampiri
katil.
Diam.
“Kenapa
tak cakap awal-awal yang senggugut awak tu datang lagi?”
“Mana
I nak tahu senggugut ni nak datang balik. Dia baru datang tahu tak?”
“Saya
ambil minyak panas, ya.”
Tiada
respons.
“Along,
adik nak masuk.” Farhana memberi isyarat
untuk masuk. Takut-takut juga Fayyad sedang berbuat apa-apa dengan kakak
iparnya.
Mendengarkan
suara Farhana, Ezahra terus mengubah kedudukan tubuhnya. Dia kini berbaring di atas
katil. Tidak selesa jika orang lain melihatkan kedudukan tubuhnya yang tidak
sopan melainkan suami yang sudah biasa dengannya.
“Masuklah.”
Farhana
menyelak langsir dan berjalan masuk ke dalam biliknya. Dia menghampiri almari. “Adik ada tungku elektrik. Panaskan lima
minit nanti letak dekat perut.”
Fayyad
menggeleng-geleng. “Macam-macam zaman
sekarang. Tungku elektrik pun ada.”
Farhana
membuka pintu almari dan mencapai tungku elektrik yang dimaksudkan. Perlahan
dia menapak pula menghampiri Fayyad.
“Nah! Along sepatutnya bersyukur
dan berterima kasih sebab ada juga orang sudi cipta benda alah ni.
Sekurang-kurangnya memberi kemudahan pada orang. Tak payah susah-susah nak
panaskan tungku manual berjam-jam.”
Fayyad
senyum manis. Dia gosok kepala adiknya. Tungku elektrik yang dipegang dibawa ke
meja studi Farhana untuk dicaskan terlebih dahulu.
Farhana
beralih pada kakak iparnya. “Kalau sakit
juga, Kak Ara bagi tahu ya. Adik boleh tolong belikan painkiller dekat farmasi.”
“I
tak makan ubat,” tutur Ezahra sambil
pejam mata. Tidak langsung memandang wajah si adik ipar.
“Itu
kalau tak tahan sangatlah. Selagi Kak Ara boleh tahan, tahanlah ya. Makan painkiller kerap sangat pun tak bagus
juga.”
“Adik,
macam mana nak tahu tungku elektrik tu dah boleh guna ke belum?” Fayyad menyoal sambil garu kepala. Dia pun
pertama kali melihat benda alah itu, jadi tidaklah arif tentang penggunaannya.
“Along
tengok lampu merah tu. Kan tengah menyala, kan?
Kalau dah terpadam lampu tu, maknanya dah boleh pakai. Dah adik nak
sambung makan.”
“Eh,
adik. Marilah sini dulu. Tengok-tengok Kak Ara adik ni.”
“Tak
nak! Adik tak nak kacau daun!” Farhana pun berlalu.
Lima
minit berlalu tungku elektrik pun sudah tersedia untuk dipakai. Fayyad mengambilnya
lalu dibawa menuju katil. Dengan perasaan yang berbelah bahagi, dia dilema sama
ada mahu duduk di atas katil itu atau pun sekadar berdiri sahaja.
“Saya
tolong letakkan dekat perut awak, ya?”
Ezahra
bingkas bangun dari pembaringan. Bulat matanya memandang Fayyad. “I boleh buat sendirilah.”
“Tak
apa. Saya tolong. Awak baring dan pejamkan mata aje.”
“Nope!!
I buat sendiri.” Ezahra merampas
tungku elektrik yang sedang panas itu. Cepat-cepat ia diletakkan ke atas
perutnya.
Fayyad
ketawa besar. “Tahu pun takut. Kalau
awak berani buat benda yang saya tak suka, lebih dari itu saya buat pada awak.”
Ezahra
mengetap bibirnya geram. Dia menelan liur sebelum menjawab. “Dulu you cakap apa dengan I? You tak ingat ke yang you cakap, you tak
kisah kalau I tak nak dengar cakap you as
long as I ikut perintah Allah.”
“Saya
tarik balik kata-kata tu. Perintah Allah pun merangkak-rangkak awak nak buat.
Jadi, saya pinda balik kata-kata tu. Cakap saya awak kena dengar. Perintah
Allah pun awak kena buat. Sebab difikirkan balik, kalau saya suruh awak hormat
mak saya, tapi awak tak hormat, saya tak boleh salahkan awak sebab saya dah
benarkan awak untuk tak dengar cakap saya. Betul tak?”
Ezahra
menjeling Fayyad.
Fayyad
muncungkan mulutnya semuncung yang boleh lalu dia merapatkan mulut muncungnya
itu ke wajah Ezahra.
Ezahra
menolak tubuh Fayyad. “Keluarlah!”
“Isk! Garang betullah dia ni. Cium betul-betul baru
tahu!” Fayyad buat-buat suara garang.
Ezahra
menjeling.
“Adik, malam ni adik tidur dengan mak ajelah. Biar
Along tidur dengan Kak Ara dekat bilik adik.”
“Ala…” Farhana sudah tarik muncung. Dia malas mahu
tidur dengan emaknya sebab nanti sebelum tidur kena urut-urut dan picit-picit
anggota badan emaknya.
Tak kenang budi punya anak!
Kepala
Fayyad masih lagi atas riba emaknya. Bila lagi nak bermanja dengan emak
sendiri. Nak harapkan si isteri, entah bila dapat bermanja pun dia tidak pasti.
“Tak payahlah, mak. Biar Ezahra tidur dengan
adik aje malam ni. Malam ni Along tidur depan aje. Along nak tengok bola malam
ni.”
Mak
Nah menunjal kepala Fayyad. “Ada ke
tinggal bini semata-mata nak tengok
bola? Lepas ni pun tinggalkan bini tidur sorang-sorang lagi.”
“Ala…
bukan selalu pun tinggal. Seminggu aje.”
Fayyad bukannya kisah pun sebab selama ini dia mana pernah tidur sebilik
dengan Ezahra.
“Seminggu
pun lama juga, Long. Tidurlah dekat bilik adik. Kesian Ezahra tu tengah sakit.
Along temanlah dia.”
“Adik
pun boleh teman. Bila lagi adik nak bermesra dengan kakak ipar, kan?”
Farhana
menoleh memandang Fayyad dan menutup separuh mulutnya dengan telapak
tangan. “Tapi Kak Ara tu nampak garang.
Adik nak tidur dengan mak ajelah,”
bisiknya. Memang dia mahu tidur dibiliknya tetapi mengenangkan kakak
ipar yang berwajah skema tak pandai senyum itu dia pun takut juga. Meremang terus
bulu roma!
Fayyad
bingkas bangun dan duduk bersila. Matanya bulat memandang si adik. “Adik jangan mengada, eh! Teman Kak Ara tidur. Tengok-tengokkan dia.
Kut-kut sakit lagi, ada juga orang tolong tengokkan.”
Farhana
mencebik. “Apa masalahnya, Along ajelah
yang tidur dengan Kak Ara.”
Fayyad
bukannya tidak sudi. Tetapi dia takut untuk tidur bersama Ezahra. Dia takut
naluri kelelakiannya akan teruji. “Malam
ni Along nak tengok bola. Along nak tidur depan aje.”
“Mana
lagi penting? Bola ke bini yang tengah senggugut bertarung
sakit dalam bilik seorang diri?” Mak Nah
menduga Fayyad.
“Bola
pun penting juga.” Laju Fayyad
menuturnya. Itu hanyalah alasan agar dia dapat melarikan diri dari tidur
sebilik dengan Ezahra. Padahal malam itu pun mana ada perlawanan bola. Hanya
siaran ulangan bagi perlawana minggu lepas sahaja.
“Banyaklah
Long punya penting. Bola tu dia orang main. Kalau menang pun Along dapat
apa? Dia orang menang tak adanya nak
bagi duit, piala tu dekat Long. Buat membazir elektrik aje tengok bola.
Pagi-pagi buta tengok bola. Daripada tengok bola tu, baik Long bangun
tahajud.” Mak Nah sudah berleter lebih detail!
Fayyad
sengih sumbing sambil menggaru kepala. Terkena dia dengan leteran si emak.
Si
Ezahra yang mencuri-curi dengar dari dalam bilik tersenyum sinis. Nasihat orang
bukan main lagi, diri sendiri pun sama aje dua kali lima.
“Eh,
Ezahra. Marilah sini.” Mak Nah
terpandang si Ezahra yang sedang berjalan keluar dari bilik.
Ezahra
menoleh memandang Mak Nah. “Ara
lapar,” beritahunya.
“Oh,
kesiannya. Long, teman Ezahra makan. Kesian Ezahra makan tengahari tadi aje.
Itu pun jamah sikit sangat.”
“Tak
apa, sayang. Jom, abang teman sayang makan.”
Fayyad bingkas bangun dari pembaringan. Pipi Mak Nah dikucup sebelum
berlalu menuju dapur.
Ezahra
membuntuti Fayyad.
“Wuuuuu…
orang sayang bini…” Farhana mengusik sambil ketawa besar.
Mak
Nah menampar lembut paha Farhana.
“Ala,
mak ni! Orang sakat Along sikit pun tak
boleh. Kalau Along sakat adik mak buat tak kisah aje.” Mulut Farhana sudah muncung. Keningnya saling
bertaut.
No comments:
Post a Comment