Fayyad
mengekori Ezahra memandangkan wanita itu mahu keluar bersendirian. Ingat dia sebagai
suami tak risau ke? Nak-nak selepas
kejadian buruk yang hampir berlaku minggu lalu. Dia risau. Namun apabila
melihatkan kesungguhan wanita itu, dia terpaksa melepaskan kerana dia berfikir
mungkin ada hal yang lebih mustahak perlu wanita itu lakukan.
Tetapi
dalam masa yang sama, dia rasa terharu kerana wanita itu memberitahu kepadanya
terlebih dahulu sebelum keluar dari rumah. Kalau tidak, jangan haraplah! Kalau sebelum ini, main keluar masuk ke dalam
rumah itu sesuka hati sahaja.
Mungkin ada hikmah atas apa yang
berlaku. Dia rasa syukur atas hikmah yang Allah anugerahkan. Kiranya Allah
Taala kabulkan doanya agar isterinya menjadi wanita solehah. Walaupun bukan
sepenuhnya solehah, tetapi dia yakin, waktu akan mempersiapkan isterinya itu
menjadi wanita yang solehah. Amin…
Fayyad
menongkatkan motosikalnya. Helmet yang dipakai ditanggalkan lalu diletakkan ke
dalam raga motosikalnya itu.
Dahinya
kini berkerut seribu. Dalam kepala ligat memikirkan apa yang isterinya itu buat
di situ. Nak kata si Ezahra hendak menyumbangkan sesuatu, tak mungkin juga
kerana dia tahu isterinya itu tidak mempunyai wang.
Semua gaji-gaji milik si isteri
dibekukan sejak bulan pertama mereka bernikah. Itu adalah kemahuan Tan Sri
Khalid sendiri kerana mahukan yang terbaik untuk si Ezahra. Meskipun begitu,
bapa mertuanya tetap mengirimkan sukuan daripada gaji milik Ezahra ke dalam
akaun bank Fayyad.
Selama tempoh itu, Fayyad tidak
pernah menyentuh wang hasil titik peluh wanita itu kerana dia sendiri seorang
yang amanah. Walaupun wang isteri sendiri, namun dia tetap tahu bahawa dalam
Islam, wang isteri adalah milik isteri melainkan wang suami, juga milik si
isteri.
Fayyad mengunci leher motosikalnya
yang berada diluar pagar Rumah Anak-anak Yatim Permata Kasih itu sebelum
melangkah masuk ke dalam.
“Saya nak tanya, apa yang Puan Ezahra
buat dekat sini?”
Hashim
selaku pengurus Rumah Anak-Anak Yatim Permata Kasih itu mengerutkan dahi. “Puan?
Setahu kami, Cik Ezahra tak berkahwin lagi.”
“Ah? Ha yelah
tu. Cik Ezahra.” Terlupa pula si Fayyad.
“Oh.
Emmm…
maaf Encik. Itu hal peribadi Cik Ezahra. Kami tak boleh dedahkan pada
sesiapa,” kata Hashim.
Fayyad
melepaskan keluh. “Okey… saya suami dia.
Jadi, saya perlu tahu apa yang isteri saya buat dekat sini.” Beritahu ajelah, kan? Buat apa nak rahsia-rahsia? Si Ezahra bukannya ada di situ pun. Lainlah
kalau dia ada di situ sekarang, mahu kena cepuk kepalanya.
“Cik
Ezahra dah berkahwin?” soal Hashim
pelik.
Fayyad
mengangguk dengan wajah bersungguh-sungguh.
“Betul! Saya suami dia. Tolong
beritahu pada saya apa dan kenapa Puan Ezahra ke sini.”
“Kalau
suami, takkanlah Cik Ezahra tak cerita apa dan kenapa dia ke mari pada encik?” Hashim cuba psiko si Fayyad. Melihat sejauh
mana kejujuran Fayyad. Kalau bukan suami, mesti tergagap nak menjawab.
“Isteri
saya suka berahsia. Encik sendiri pun boleh tengok dia macam mana. Dari cara
dia, boleh agak yang dia suka berahsia.”
Hashim
mengangguk faham. Tengok muka macam
boleh percaya, jadi percaya ajelah.
“Baik! Saya akan ceritakan. Erm… sebenarnya Cik Ezahra dah lama
dengan Rumah Anak-Anak Yatim Permata Kasih ni. Dari dia berusia lapan belas
tahun, sebelum dia berangkat ke luar negara untuk sambung pelajarannya.”
“Dah
lamalah. Dia datang ke sini buat apa?”
soal Fayyad ingin tahu.
“Dia
ada buat sumbangan untuk rumah anak-anak yatim ni. Banyak sangat sumbangannya.
Katanya sumbangan yang dia buat adalah untuk amal jariah arwah mommynya.”
Fayyad
terpanar seketika. Tidak sangka sebegitu baiknya isterinya. Tercuit jiwanya.
Ternyata wanita itu masih mempunyai sifat keinsanan dalam diri. Yang dia
sangkakan jauh dari agama, entah-entah yang kelihatan jauh dari agama itu yang
masuk syurga terlebih dahulu.
“Dia
beri sumbangan setiap tahun. Dan bukannya sikit-sikit yang dia sumbangkan.
Dalam setahun dia sumbangkan RM100,000. Cuma tahun ni dia tak buat sumbangan.”
“Kenapa
tahun ni tak ada?” Fayyad tahu bahawa si
isteri tak ada duit, sebab itu dia tak mampu nak menderma. Tetapi dia mahu tahu
alasan Ezahra melalui Hashim.
“Dia
maklumkan pada saya yang dia ada masalah kewangan. Katanya kalau masalah
kewangannya dapat diatasi, dia akan buat sumbangan lagi.”
Fayyad
sekadar mengangguk.
“Kami
ucapkan terima kasih sangat pada isteri Encik sebab buat sumbangan. Kami hargai
sangat sebab rumah anak-anak yatim ni kewangan kami tak stabil. Jadi, dengan
adanya sumbangan dari segi kewangan ni, membantu sangat untuk pembangunan rumah
Permata Kasih ni. Cuma itulah, tahun ni ekonomi gawat sikit, jadi kami tak
cukup dana untuk tampung sebahagian belanja.”
“Sekarang
baru saya faham.”
“Tapi
Encik jangan risau sebab dapat isteri macam Cik. Eh, Puan Ezahra. Walaupun dia
tak mesra dengan orang, tapi dia ada perasaan belas ihsan pada orang yang
memerlukan. Macam anak-anak dekat sini. Dia sayang sebenarnya pada anak-anak
dekat sini, tapi dia tak tahu nak macam mana nak berinteraksi dengan dia
orang,” ujar Hashim panjang lebar
mengenai apa yang dia perhatikan melalui kelakuan Ezahra yang sudah sembilan
tahun berulang alik ke situ untuk membuat sumbangan.
“Mungkin
dia selalu menyendiri sebab itu dia tak pandai nak berinteraksi dengan orang.
Dia selalu bersendirian. Daddy dia pun selalu sibuk kerja. Dia duduk dekat
rumah dengan orang gaji aje. Kawan-kawan pun saya rasa dia tak ada kawan. Saya
ajelah kawan dia. Sayalah kawan, sayalah suami.”
Tetapi apabila difikirkan, logik
juga. Mungkin si isteri kesunyian sejak kecil, jadi bila besar tidak pandai nak
berhubung dengan orang.
Pengurus
itu mengangguk faham. “Puan Ezahra tu baik orangnya. Masa kami undang dia
sebagai tetamu VVIP, dia tolak katanya dia menyumbang untuk arwah mommynya.
Bukan untuk glamour. Dan dia ada
minta pada kami supaya tak mendedahkan identitinya sebagai penyumbang rumah
Permata Kasih ni. Tapi memandangkan encik ni isteri dia, jadi kami terpaksalah
buka cerita.”
“Saya
rasa bertuah dapat isteri macam dia.”
Fayyad mengulum senyum manis.
Memang
dia berbangga akan sikap Ezahra yang sukakan privacy berbanding sesetengah orang yang menderma tidak banyak mana
pun, tetapi canang satu dunia. Itulah yang dipanggil riak. Sesungguhnya tidak
akan masuk ke dalam syurga bagi mereka yang mempunyai riak sebesar zarah.
Hari itu mereka ke tempat kerja seperti
biasa.
Fayyad
menghampiri Zaitun yang sedang menyusun meja kerjanya. “Kak Ton, Tan Sri ada dekat dalam tak?” soalnya lalu menghentikan langkah di hadapan
meja Zaitun.
Zaitun
mengangkat wajah seketika memandang Fayyad.
“Ada dekat…”
“Ha,
Yad! Masuklah! Lama tak nampak kamu.” Tiba-tiba Tan Sri Khalid membuka pintu
pejabatnya. Tersenyum lebar melihat gerangan si menantu yang tiba.
“Eh,
daddy! Baru tanya Kak Ton.” Fayyad menyapa Tan Sri Khalid dengan mesra.
Dia pandang wajah Zaitun pula. “Saya
masuk dalam dulu, Kak Ton,” pamitnya
sebelum menghilangkan diri ke dalam pejabat Tan Sri Khalid.
Zaitun
mengerutkan dahi sambil keningnya saling bertaut. “Daddy?”
gumamnya. Dia silap dengarkah tadi?
“Ah! Lantaklah, yang penting sekarang aku nak main
diner dash!” Pantas dia menyorong kerusi ke belakang lalu
menghenyakkan punggung di situ.
“Kamu
apa khabar, Yad? Seminggu berhoneymoon dengan Ezahra. Seronok?” tegur Tan Sri Khalid lalu menghenyakkan
punggung ke atas kerusi. Perlahan-lahan dia menyandar malas pada penyandar
kerusi beroda itu.
Fayyad
tarik sengih. “Eh, mana ada honeymoon, daddy ni. Ezahra demam panas.
Saya jaga dia dekat rumah. Tak ke mana pun,”
tingkahnya. Kerusi disorong ke belakang untuk duduk.
“Demam
panas? Kenapa Yad tak bagi tahu
daddy?” Wajah Tan Sri Khalid sudah
berubah.
“Daddy
jangan risau. Saya, kan suami dia. Saya yang bertanggungjawab jaga dia.
Sekarang dia dah sihat jadi daddy tak perlu risau lagi.”
Tan
Sri Khalid mengangguk. Tetapi tiba-tiba dalam kepala terlintas sesuatu. “Agaknya dia mengandung tak?”
“Eh,
ke situ pulak daddy, ni. Tak ada isi
lagi. Insya-Allah tiba masa nanti, saya hadiahkan daddy cucu.” Dia mengepam mulut. Matanya menjadi sepet
tanda dia sedang ketawa suka.
“Amin! Kalau nak bagi, bagi banyak-banyak.”
“Amin,
Insya-Allah.” Fayyad meraup wajahnya
tanda mengaminkan doa. Dia menyeluk begnya yang berada di atas riba. Sekeping
surat dikeluarkan. “Oh, ya daddy. Saya
nak hantar cover letter untuk buat
praktikal dekat sini.”
Tan
Sri Khalid berdecit. “Eh, kamu ni,
Yad! Tak perlu cover letter bagai. Nanti kamu datang aje sini terus aje buat
praktikal kamu. Dengan daddy tak perlu nak protokol sangat. Bukannya siapa pun.
Menantu daddy juga.”
“Isk! Tak boleh. Macam mana pun nak kena hantar
dekat daddy sebab nak dapatkan maklum balas daripada syarikat ni sebagai bukti
saya buat praktikal. Nanti nak kena buat repot praktikal susah pulak.”
Betul
juga. Tan Sri Khalid mengangguk faham.
“Ha, yelah anak daddy sorang ni. Letak aje atas meja tu.
Nanti, daddy suruh Zaitun reply cover
letter kamu.” Dia menjuihkan bibir
ke arah meja kerjanya itu.
Fayyad
mengulum senyum. “Terima kasih, daddy. Erm… daddy, saya nak cakap sikit pasal
Ezahra, boleh?”
Wajah
Tan Sri Khalid serta merta berubah. Tahu dah kalau nama Ezahra disebut, memang
itulah reaksi wajib yang perlu dia buat.
“Dia ada buat hal lagi ke?”
“Eh,
tak! Cuma saya nak tanya soal gaji dan
harta dia. Boleh tak daddy serahkan semula pada dia?” Fayyad serba salah untuk bertanya. Segan pun
ada kerana itu bukannya haknya. Apa pula kata Tan Sri Khalid kalau dia mendesak
lelaki tua itu menyerahkan semula harta Ezahra? Tak ke dia akan dicop kaki kikis sebab sibuk
sangat dengan harta orang.
“Kenapa
Yad tanya macam itu?” soal Tan Sri
Khalid.
“Ezahra
anak daddy tu seorang yang baik. Kita aje tak nampak kebaikan dia sebab dia
suka berahsia dan tak suka menunjuk-nunjuk kebaikan diri dia.”
“I knew her very well, Yad.”
“Apa
yang daddy tahu tentang Ezahra? Kaki
kelab malam? Seksi? Degil?
Panas baran? Itu sikap dia. Daddy
memang daddy kepada Ezahra tapi belum tentu daddy betul-betul kenal dia. Kalau
daddy nak tahu, dia derma duit dia setiap tahun ke rumah anak-anak yatim. Bukan
sikit. Tapi banyak. RM100, 000 setahun. Daddy tahu tak hal tu?”
Tan
Sri Khalid mengerutkan dahi. Dalam masa yang sama ada riak terkejut. “Mana kamu tahu semua cerita ni, Yad?”
“Semalam
saya intip dia. Rupanya dia ke rumah anak-anak yatim dekat Klang. Saya ada
korek rahsia Ezahra daripada pengurus di situ. Dan dia ceritakan semuanya.
Ezahra dah menderma sejak dari umur dia lapan belas tahun. Dah sembilan tahun
pun.
“Sekarang
dia dah tak menderma lagi sebab katanya, dia ada masalah kewangan. Dia menderma
sebab nak buat amal jariah untuk arwah mommy. Jadi, tak adil kalau daddy sekat
segala harta dia. Dan apa yang daddy mahukan dari Ezahra, akan berlaku. Saya
nampak perubahan Ezahra.” Bersungguh-sungguh
Fayyad bercerita meyakinkan bapa mertua.
Dia
bukannya apa. Dia sebagai suami cuba membela si isteri selagi apa yang wanita
itu lakukan tidak menyalahi hukum. Selagi benda tu baik, dia akan berusaha
membela tindak tanduk Ezahra.
Dahi
Tan Sri Khalid berkerut. Dia termenung jauh. Lama. “Betul ke apa yang daddy dengar ni? Yad jangan beri harapan pada daddy kalau
semua ni tak betul.”
“Buat
apa saya nak tipu daddy? Tak ada
untungnya buat saya.”
Tan
Sri Khalid meraup wajahnya beberapa. “Patutlah duit dia banyak habis. Daddy
ingatkan selama ni dia berjoli sana sini. Rupanya dia buat benda baik. Dan
baru-baru ni pun dia datang jumpa daddy, minta RM10, 000. Mungkin dia nak
dermakan duit itu.” Sayu hatinya
memikirkannya.
“Jadi,
daddy boleh pertimbangkan apa yang saya cakap tadi tentang Ezahra?”
Keluh
berat kedengaran dari nafas Tan Sri Khalid.
“Maaf, Yad. Setakat ni, daddy memang takkan serahkan apa-apa pada Ezahra
kecuali daddy betul-betul puas hati.”
“Tapi
rumah anak-anak yatim tu tengah memerlukan dana untuk kelengkapan dan makanan
anak-anak yatim. Itu apa yang saya sempat berbual dengan pengurus rumah
anak-anak yatim tu.”
Tan
Sri Khalid berjeda. Lama. Dia cuba memikirkan sesuatu. “Macam inilah, Yad. Yad beri nombor telefon
rumah anak-anak yatim tu. Daddy akan cuba uruskan hal tu. Cuma daddy tak boleh
nak consider dengan harta Ezahra.
Biarlah daddy hold dulu. Dan gaji
Ezahra tu, kamu pun kena hold dulu.
Jangan nak pandai-pandai serah pada dia. Guna untuk kecemasan aje.”
“Baik,
daddy.” Akhirnya Fayyad akur.
“Cak!!”
Ezahra yang sedang melutut di atas
lantai, mengurut dada yang hampir tercabut sehingga terduduk. Pen yang baru
sahaja dicapainya tadi terpelanting semula. “You buat apa dekat sini? Ingat kelakar ke buat macam itu?” Dia menjeling.
“Kelakarlah! Tengoklah saya tengah ketawa.” Fayyad ketawa suka.
“Yang
ketawanya you, bukan I.” Bukan main
marah si Ezahra melihat wajah dan tawa Fayyad yang menjengkelkan.
“Jom,
makan. Saya dah beli makanan ni.” Fayyad
meletakkan bungkusan makanan ke atas meja kerja si isteri. Lalu dia
menghenyakkan punggung di atas kerusi.
Ezahra
mencapai semula pennya yang terpelanting tadi. Lalu dia menggagahkan diri untuk
berdiri.
“You
boleh tak keluar sekarang. Orang akan nampak kita berdua dalam ni.”
Fayyad
mendongak mencari wajah si isteri yang sedang berdiri. Dahinya berkerut. “Apa
masalahnya? Awak, kan isteri saya.”
Ezahra
menggigit bibir geram. “Boleh tak jangan
mention perkataan tu dekat sini? Semua rahsia akan bocor kalau mulut you tu
tak habis-habis nak ulang perkataan tu,”
tukasnya.
“Itu
yang saya nak pun. Bila semua orang tahu, jadi takkan ada masalah untuk saya
berhubung dengan awak. Nak hantar awak pergi kerja ke, nak keluar makan dengan
awak, ke kan? Sekurang-kurangnya awak
ada teman. Daripada awak keluar seorang diri, kan ke itu bahaya? Tambah-tambah lagi awak tu perempuan.”
Ezahra
memeluk tubuh. “You boleh tak jangan nak berleter dekat sini? Sekarang you keluar pergi buat kerja
you.” Sambil mengetap gigi dia
menuturnya.
Fayyad
menilik jam pada tangannya. “Sekarang lunch hour, kan? Temanlah saya makan dulu. Saya tengah lapar.
Tak makan lagi dari pagi tadi. Rushing
ke kelas, habis kelas saya pecut ke sini. Ni, nanti nak hantar barang pulak. Kalau tak makan, nanti saya
pengsan atas motor. Awak nak ke macam itu?”
Dia bersuara sayu pula pada hujung ayat.
“Apa
masalah you? You boleh makan sorang-sorang, kan? Selama ni pun tak ada I, you boleh aje hidup.
Jangan nak mengada sangat!” jawab Ezahra
garang. Tetapi tidak segarang dulu.
“Siapa
cakap saya boleh hidup? Saya sebelum
buat kerja apa-apalah. Nak makan ke, nak buat assignment ke, saya tengok gam…”
“Gam
apa?” soal Ezahra.
Fayyad
kaku seketika. Hampir-hampir terlepas cakap. Malulah nanti kalau dia bagi tahu! Pantas dia menggeleng kepala. “Tak ada apa!
Kita makan jom,” ajaknya pula.
Selamba badak dia membuka bungkusan makanan di atas meja kerja Ezahra.
Buntang
mata Ezahra dibuatnya. “Hei! You buat apa?
Ini tempat untuk buat kerja. Bukan untuk makan!”
“Awak
kena makan sekali. Dah kempis pipi awak tu sebab asyik diet.”
“I
tak naklah!” Ezahra bertegas.
“Isk! Orang nak bagi makan pun susah. Bukannya nak
suruh angkat batu bata pun. Makan cepat. Kalau tidak, saya beritahu semua staf
yang awak tu isteri saya. Saya kalau cakap, saya buat betul.” Kan, si Fayyad dah membebel dan mengugut.
Siapa suruh degil sangat?
“Isk!” Kedua-dua tangan Ezahra menggenggam penumbuk.
Giginya diketap erat. “You, ni kan!” amuknya geram. Dia menghenyakkan punggung
dengan kasar ke atas kerusi. Terpaksa akur untuk makan.
“Tahu
takut!”
No comments:
Post a Comment