SAHAJA AKU MENIKAHIMU 11



            “Sebab tu adik sayang Along.”  Farhana tersenyum girang.
            Fayyad mengerutkan dahi memandang Farhana. “Kenapa pulak?”  soalnya bingung.
            “Along nak belikan baju untuk adik, kan?  Sebab tu adik sayang Along,”  ujar Farhana dengan senyuman yang makin melebar.
            Fayyad menggaru kepala.  “Sori sikit, eh!  Along nak belikan untuk kakak ipar adik, tu.”
            “Eleh!  Kalau Along nak belikan untuk Kak Ara, kenapa pula Along bawa adik ke sini?”
            “Sebab saiz badan adik sama dengan Kak Ara. Along malas nak bawa Kak Ara datang sini.”
Farhana berdecit. Difikirkan si abang itu mahu membelanjanya, rupa-rupanya untuk si isteri. Isk!  Hatinya diketuk cemburu. Cemburu pula ada insan lain yang mencuri perhatian si abang selain diri dan emaknya.
“Along ni, kan!  Kalau adik tahu macam ini, adik tak nak ikut. Baik adik buat homework yang menimbun dekat rumah tu.”  Dia menjeling dengan mulut muncungnya.
Fayyad bermain dagu Farhana. Namun, gadis itu pantas menepisnya.  “Nanti Along belanjalah adik baju. Sehelai dua.”
Farhana memeluk tubuh dan pandang ke tempat lain.  “Sehelai dua mana cukup. Dekat Kak Ara bukan main banyak lagi pilih baju.”
“Selama ni macamlah Along tak bawa adik pergi shopping. Kali ni Along dah ada tanggungjawab lain. Along kenalah jaga nafkhah zahir dan batin si isteri. Jadi, Along kenalah lebihkan Kak Ara adik tu. Karang tak jaga, kena tuntut dekat akhirat pula.”
Farhana mula menyetujui kata-kata si abang. Wajahnya kembali tenang.  “Seronok tak, kahwin?”  soalnya selamba.
“Nanti adik kahwin, adik tahulah. Dahlah!  Pergi cari baju-baju lain untuk Kak Ara.”
“Baju pergi kerja, dah!  Baju nak pergi jalan dah jugak!  Tinggal baju tidur aje belum,”  tutur Farhana sambil kepala menjengah ke kiri dan kanan.
Fayyad mengepam bibir.  “Baju tidur tak apa, dia tak pakai apa pun Along tak kisah. Masalahnya nak keluar rumahlah. Pergi kerja, nak jalan-jalan.”
Farhana mengangguk.
 “Ha!  Tudung apa yang trend sekarang?  Yang tak payah iron kalau nak pakai. Yang senang dan cepat nak pakai?”
Wideshawl ke nak tak?  RM10 aje. Murah!  Dan yang paling penting tak perlu iron.”
Fayyad mengangguk. Dia tidak faham tentang fesyen-fesyen tudung yang berlambak di pasaran sekarang ini. Dia tak kisah sangat jenis-jenis tudung yang nak dibelikan. Asalkan, boleh menutup aurat.
“Okeylah tu. Kak Ara pun macam jenis pemalas nak menyeterika. Sesuailah kut.”
“Apa kata Along ambil aje semua jenis tudung. Hari-hari pakai wideshawl pun jemu juga. Sesekali nak kena try juga pakai tudung lain. Tapi kena seterikalah. Sekarang ni orang pakai shawl bubble, shimmering. Barulah kena dengan Kak Ara yang bekerjaya tu. Wideshawl tu kalau nak pakai pasar malam okeylah. Nak bersukan ke.”
Fayyad mengangguk sahaja.  “Okeylah. Along tak kisah macam mana pun. Hmmm… Along pergi beratur dekat kaunter. Adik pergilah nak cari baju-baju untuk adik dengan mak. Nanti Along bayarkan. Lepas bayar, kita pergi cari tudung pulak.”
“Okey!”  Farhana tersenyum simpul sambil mengangkat thumbs up.


Usai menghantar Farhana ke rumah, Fayyad terus menunggang motosikal ke rumah bapa mertuanya. Dia tahu Ezahra berada di sana lagi, jadi dia terus ke sana mahu membawa pulang si isteri ke rumah.
Alang-alang sampai di sana, Fayyad mahu melawat si mertua yang sudah lama tidak bersua muka. Tan Sri Khalid pun tak habis-habis outstation ke sana dan ke mari. Rutin orang korporat memang begitu. Tidak lekat di rumah.
            Masuk-masuk sahaja, Tan Sri Khalid mengajak Fayyad makan di dapur. Memang langkah kaki kanan betul dia hari ini. Langkah kaki diatur ke meja makan.
            “Kamu bawa apa ke mari, Yad?  Penuh raga motor kamu tu.”  Tan Sri Khalid menyoal sebelum menyuap nasi ke dalam mulut.
            “Oh, tu barang-barang saya beli untuk Ezahra.”  Fayyad tersenyum sebelum menyambung suapan makanan.
            “Barang apa?”
            Fayyad tayang gigi sambil menjongket kening.
            “Kenapa tak tunggu Ezahra bawa balik kereta?  Penuh raga motor kamu tu. Susah kamu bawa.”
            “Tak apa. Tak ada hal. Dah biasa dah. Saya kerja pun angkut barang-barang sampai lebih had muatan. Hmmm… Ezahra mana, daddy?”  Fayyad menyoal. Rindu pula hampir sehari tak bertemu si isteri.
            “Tidur lagilah tu. Bukan nama Ezahralah kalau bangun awal…”  Meleret sahaja kata-kata Tan Sri Khalid.
            Fayyad susah hati sudah!  Dalam kepala memikirkan bahawa Ezahra tidak solat subuh. Walaupun pagi tadi dia sudah menelefon si isteri untuk bangun solat Subuh, tetapi hatinya kini diusik curiga. Solat ke tidak?
            “Makanlah, Yad. Tak payah termenung.”
            Fayyad paksa diri untuk tersengih.
            “Kamu pergi ke mana semalam, Yad?  Puas daddy tadah telinga dengar Ezahra membebel. Kamu keluar rumah sampai tak balik-balik. Sampai kebulur anak daddy, kamu buat, Yad.”  Tan Sri Khalid pandang Fayyad sambil tersenyum mengusik.
            Fayyad tersentak. Kemudian dia sengih tayang gigi. Mahu keluar tak balik-balik, anak daddy seksi sangat!
            “Sengih pula dia. Nanti pandai-pandai pujuk dia. Dia berleter sejam dekat daddy. Dia bebel katanya daddy pilih orang mungkir janji untuk dia.”
            Terhambur juga tawa Fayyad. Terbayang dalam fikirannya bagaimana reaksi Ezahra yang sedang berleter. Kelakar okey!  “Saya minta maaf. Semalam memang saya keluar. Tapi saya beli makanan untuk dia.”
            Tan Sri Khalid menggoyangkan telunjuk kanan.  “Ha, nanti pandai-pandai kamu menjawab dengan dia.”
            Fayyad garu kepala yang tidak gatal.
“Ezahra macam mana?  Dekat sebulan kahwin. Tak ada tanda-tanda ke?”
            Fayyad melepaskan keluh berat.  Sudu diletakkan ke atas pinggan.  “Ezahra, kan… lambat sikitlah nak ubahkan dia.”
            Itu yang Fayyad faham. Mengenai perubahan Ezahra ke arah yang lebih baik.
            “Bukan yang tu. Yang lagi satu tu.”
            Fayyad bingung. Dia pandang wajah Tan Sri Khalid.  “Lagi satu apa?”
            “Ezahra dah mengandung ke?”
            Fayyad tersedak. Dia batuk pada genggaman tangannya. Dia tarik sengih nakal.  “Singa asyik mengamuk aje, bila masa nak masuk jarum.”
            Tan Sri Khalid menggeleng dengan senyuman.  “Daddy nak kena hadiahkan pakej percutian untuk kamu berdua. Biar cepat-cepat sikit daddy dapat cucu.”
            “Pakej percutian pun tak jalan kalau singanya garang nak mampus. Susah nak tundukkan.”
            Tan Sri Khalid meletakkan sudu di atas pinggan. Topik menarik yang perlu diutamakan dulu sebelum makan.  “Yad katanya hebat. Takkan nak takhluk si Ezahra pun tak mampu?”
            Fayyad ketawa. Susah kut nak takhlukkan singa betina!  Mahu dia kena cakar sebelum menang.  “Daddy ni… bagilah Ezahra peluang. Bagi dia masa untuk terima saya.”
            “Peluang pun peluang juga, tanggungjawab isteri jangan lupa. Tak apalah, nanti daddy slow talk dengan dia,”  ujar Tan Sri Khalid.
            Fayyad menggoyangkan kedua tangan pada bapa mertua dengan wajah cuak. Isyarat jangan!  “Eh, jangan daddy!  Karang dia hambat saya dengan penyapu.”
            “Takut bini ke, Yad?”  seloroh Tan Sri Khalid.
            “Eh!  Bukan saya yang takut bini, masalahnya bini yang tak takut saya. Hmmm…”
            Tan Sri Khalid menggeleng dengan senyuman.  “Apa susah?  Tunjukkan kuasa kita sebagai seorang lelaki gagah perkasa.”  Dia genggam penumbuk sambil mengangkat lengan.
            “Aip!!  Daddy sendiri yang bagi green light. Malam ni juga saya praktikkan!”  Beriya terus Fayyad. Ada suntikan semangat, baru menjadi!
            Tan Sri Khalid ketawa besar.


Fayyad pergi ke luar seketika mengambil suatu bungkusan dari raga sebelum masuk semula ke dalam rumah. Dia memijak setiap anak tangga dan menuju ke bilik Ezahra.
            Pintu bilik Ezahra diketuk sekali.  “Assalamualaikum.”
            Tiada sahutan!  Begitulah sehingga kali ketiga dia mengetuk pintu berselang salam yang diucapkan.
            Fayyad cuba menguak daun pintu. Tak terkunci!  Dia menjengah ke dalam bilik si isteri sebelum melangkah masuk. Ezahra masih lagi berbungkus di dalam comforter. Itu yang dilihatnya.
            “Ezahra, bangun… dah nak masuk asar. Bangun, mandi, solat.”
            Ezahra berdecit. Dia mengiring ke sebelah kiri pula.
            Fayyad menggeleng. Bukan main seronok lagi, eh berbungkus macam tengah malam.  “Bangun. Kalau tidak saya cempung awak ke bilik air. Saya mandikan awak sekali,”  ugutnya.
            Diam.
            “Saya buka baju awak… saya buka seluar awak…”  Fayyad sendiri menelan liur apabila mengucapkannya dengan suara menggoda.
            Comforter bergerak. Ezahra bangun dari pembaringan.  Wajah tidak puas hati ditayangkan.  “You ni pengacaulah!  I letih tahu tak pukul tujuh pagi baru tidur.”
            “Waktu tidur, tidur. Waktu solat, bangun dan pergi solat.”
            “You cakap senanglah. I banyak kerja kena buat. Nak siapkan bangunan sketchup semua. You tak ada kerja, bolehlah tidur awal.”
            Fayyad pandang tajam Ezahra. Ingat dia tak ada kerja ke?  Dia pun tak cukup tidur semata-mata menghadap assignment. Mencari codding itu, ini. Dah namanya perempuan, suka mengkhinzir buta aje kerjanya. Semua berkaitan buta. Cemburu pun buta juga, kadang-kadang!
            “Bangun, solat. Karang ada yang kena cium. Awak tidur pukul tujuh pagi. Sekarang dah dekat pukul empat. Sembilan jam tidur takkan tak cukup lagi?  Jangan mengada, eh!  Bangun. Mandi. So…lat.”  Fayyad bertegas.
            Ezahra mencerlung Fayyad. Lama!  Tanda dia tidak suka.
            Fayyad menghalakan jari telunjuk dan jari tengah ke mata Ezahra.  “Mata tu nanti saya korek, saya ganti dengan mata lembu. Mata lembu kuyu aje, tak ada nak jegil-jegil saya lagi macam mata awak ni.”
            Ezahra semakin membulatkan matanya dengan kening yang bercantum.
            “Eh, cepatlah!  Dah nak masuk asar. Nak goda abang pula. Abang cium karang baru tahu.”  Fayyad menggesa.
            Ezahra menyerabutkan rambutnya. Dia merengus geram sambil menolak comforter ke tepi. Segera dia bangun dan mencapai tuala pada penyidai di sisi katil.
            “Senyum sikit muka tu. Ingat comel ke buat muka macam itu?”  Sengaja Fayyad perhangat hati si isteri.
            “Diamlah!”  Ezahra menghempas pintu bilik air.
            “Jahanam, jahanam!”  Fayyad menggeleng kepala.


Fayyad ambil angin di koridor bilik Ezahra. Dia tahu Ezahra akan keluar dari bilik air dengan berbungkuskan tuala, sebab itu dia duduk di koridor itu sahaja. Tidak sanggup melihat keseksian wanita itu. Imannya akan jatuh berderai kelak!
            Sepuluh minit berlalu, Ezahra sudah siap mandi dan berpakaian. Wanita itu mencapai telekung pula untuk solat.
            Fayyad tersenyum. Dia memerhati tindak tanduk Ezahra dari luar. Walaupun Ezahra seorang yang keras kepala, tetapi kadang-kadang wanita itu dengar juga arahannya walaupun dalam keadaan keterpaksaan.
            Ezahra menghamparkan sejadah dan berdiri diatasnya sebelum mengangkat takbir.
            Mata Fayyad menembusi sliding door. Memerhati gerak geri si isteri dalam solat.
            Hendak tercabut jantung apabila Fayyad melihat Ezahra yang kalut semacam dalam solat. Tak tahulah wanita itu hendak ke mana. Dia ingat solat tu macam mi segera ke?  Tuang air panas, terus boleh makan?
            Fayyad tidak sabar menantikan si isteri selesai solat. Siaplah!  Ada yang nak kena tazkirah nanti!
            Usai memberi salam, Ezahra terus bangun dan membuka telekung.
            “Eh-eh!  Tak baca doa ke?”  Fayyad bersuara sambil menapak kalut ke dalam bilik.
            Ezahra menoleh ke belakang.  “Malas!”  jawabnya sepatah sebelum kembali pada posisi asal tadi.
            “Ada pula malas?”
            Ezahra berdecit. Dia campak telekung ke atas katil.  “You suruh I solat, I solatlah. Tak cukup ke?”  Dia pandang wajah Fayyad yang berdiri disebelahnya.
            “Niat solat tadi apa?  Sahaja aku solat fardhu zuhur  empat rakaat kerana suamiku atau sahaja aku solat fardhu zuhur empat rakaat kerana Allah Taala?”  tebak Fayyad. Dia tidak marah. Hanya menegur.
            Diam.
            Fayyad melepaskan keluh berat. Perlu ada strategi untuk menegur. Bukannya marah membabi buta.
“Solat ni kewajipan. Hak Allah Taala yang kita kena langsaikan. Doa pula adalah aksesori solat. Doa mencantikkan solat. Doa menunjukkan pengharapan dan permintaan kita pada Allah. Kita manusia dan beragama Islam. Sayang kalau kita tak berdoa. Berdoa itu tanda orang beriman dan senjata orang mukmin. Berdoalah apa saja, sebab orang yang tak pernah berdoa ni, digelar sombong. Sombong dengan Allah sampai tak ada benda apa nak minta.”
Ezahra buat muka bosan.
            “Kalau malas nak berdoa pun, baca doa ringkas mohon keselamatan dan perlindungan dunia dan akhirat. Jangan lupa berdoa. Kita hidup kerana Allah, jadi kalau nak minta apa-apa untuk cukupkan keperluan hidup pun pada Allah.”
            Ezahra buat dek. Dia melonggokkan telekung dan sejadah atas katil. Dia kini berpeluk tubuh tanpa memandang wajah Fayyad.
            “Lagi satu, kenapa solat macam kapal terbang?  Laju semacam?  Itu pun nasib baik tak hilang dari radar terus. Kalau tidak, siapa nak teman saya dekat rumah?”  Fayyad berjeda.
“Awak solat tu, awak jumpa Allah Taala tau. Jumpa Allah pun tak sudi ke sampai tergesa-gesa macam itu?”
Ezahra bermain telefon bimbitnya.
“Kita… kalau bos nak jumpa, bukan main behave tingkah kita. Tapi bila jumpa Allah Taala yang kuasa dia melebihi bos, yang beri kita rezeki, kesihatan, kekayaan, kita buat cincai saja. Cukup setakat buat.”  Itu dia, panjang lebar tazkirahnya.
            Ezahra pandang wajah Fayyad.  “You ni, kan!  I buat apa semua tak kena dekat mata you. I’m not perfect like you wantGo ahead and get marry with someone perfect enough for you!”
            Fayyad menghela nafas.  “Sebab awak tak sempurnalah, saya cuba bimbing dan ajar awak. Saya tahu saya takkan jadikan awak sempurna, tapi saya akan cuba tutup kelemahan awak dengan apa yang saya ada. Saya pun tak sempurna. Saya harapkan kelebihan awak tu dapat tutup kekurangan saya. Itu makna sebenar perkahwinan. Bukannya masing-masing nak tunjuk sempurna.
            “Kalau awak solat betul-betul, tak adalah saya nak tegur macam ni. Tadi saya nampak awak solat macam ayam patuk makanan, jadi saya tegurlah. Kita, kan nak masuk syurga sama-sama.”
            “You tak boleh ke tegur I baik-baik?  Samakan I dengan ayamlah, macam kapal terbanglah. You ingat you bagus sangat ke?”  hambur Ezahra geram. Sakit pula hatinya dengan Fayyad yang suka membuat perumpamaan sendiri yang membandingkan dirinya dan benda lain.
            “Oh, ya ke?”  Fayyad sengih malu.  “Abang khilaf!  Abang minta maaf ya, sayang. Cium bibir abang, kalau mulut ni asyik nak mengkondem sayang.”  Dia memuncungkan mulutnya pada Ezahra.
            “Arrgh!!!”   Ezahra pejam mata dan menjerit geram. Geram betul dengan sikap Fayyad yang suka menggatal.
            Fayyad ketawa geli hati. Seronok dapat melihat wajah bengang si isteri.  “Pakai balik telekung. Nak masuk asar, dah!  Kita solat sekali. Kalau kita solat sekali, tak adanya awak nak jadi ayam dan kapal lagi lagi.”
            “Huh!!”  Ezahra mencapai semula telekung di atas katil.


Dari tadi Fayyad perhati aje gelagat dan tingkah Ezahra. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Banyak betul benda yang dia kena jadi juri. Tegur dan komen itu, ini.
            Dia memeluk tubuh sambil bersandar pada sofa.  “Tu!  Tudung letak mana?”
            Ezahra menjuihkan bibir. Bahunya dijongketkan.
            Fayyad melepaskan pelukan pada tubuhnya lalu dia berdiri.  “Ha!  Tak payah nak buat macam itu sangat!”   
Dia mengangkat telunjuk.  “Pergi cari!  Tak jumpa, saya kurung awak dalam bilik ni.”  Dia menggertak. Sebulan menikahi wanita itu, dia sudah mengenalpasti kelemahan Ezahra. Kelemahan itu adalah apabila digertak dan diugut!  Jadi, Fayyad pun makin naik tocanglah kalau nak usik si bini.
            “Berani pula you nak buat macam tu dekat I. I panggil daddy I.”
            Fayyad mengangkat kepala sedikit tanda dia mencabar si isteri.  “Pergilah bagi tahu. Daddy awak akan berpihak pada saya.”
            Ezahra mencerlung. Lama!  Itu cara dia protes!  Dia sendiri tidak faham dengan si Fayyad yang banyak bunyi dan banyak idea hendak menjawab.
            Dengan malas, dia mencapai instant shawl yang dibeli Fayyad tadi. Dia bukannya takut akan si suami, cuma dia tidak mahu lelaki itu membuat yang bukan-bukan padanya. Jadi, sebelum hal itu terjadi, lebih baik dia menurutkan sahaja lelaki itu.
            Kalau dia nak buat dosa, dia perlu tunggu Fayyad tiada. Barulah semua rancangannya menjadi!
            “Ada pun!  Menipu, eh!  Siapa ajar ni?”  Fayyad menghampiri Ezahra lalu memeluk tubuh.
            “You yang ajar I menipu,”  tingkah Ezahra dengan riak bersahaja.
            Bulat mata Fayyad.  “Saya pulak?”
            Ezahra menoleh ke wajah Fayyad. Telunjuk dihalakan ke wajah lelaki itu.  “Ha!  Semalam cakap nak masak dekat rumah. I ni kebulur nak mampus, but you’re still not at home yet.”
            “Ha!  Tu bukannya menipu. Itu emergency case. Saya terpaksa balik lewat. Kalau tak…”
            “Emergency caselah, kan. Nak bagi I mati kelaparan.”
            Fayyad berdecit.  “Ala… puasa sehari tak mati pun. Awak tak makan beberapa jam saja, takkan nak mati dah?”
            “Okay, fine!  I menyampah cakap dengan orang yang buat salah. Tapi still tak nak mengaku dia salah.”  Panas betul hati Ezahra. Dia berjalan membelakangi Fayyad.
            Fayyad mengangkat kedua tangannya ke atas tanda mengalah. Dia menoleh Ezahra. “Okey!  Saya salah. Saya minta maaf. Insya-Allah saya tak buat lagi.”
            Ezahra menjeling. Dia menghadap cermin. Tudung segera itu disarungkan ke kepala.
            Fayyad tersenyum lega. Seronok melihat si isteri mendengar kata.
            Usai mengenakan tudung, Ezahra menggalas beg tangannya. Dan segala mak nenek barangnya dibawa.
            “Biar saya bawa barang awak.”  Fayyad. Dia betul-betul suami yang gagah dan gentle!
            “Okey.”  Ezahra menjawab sepatah. Dengan wajah yang selamba badak, terus disuakan beg laptop dan segala barang pada Fayyad. Itulah, kan!  Siapa suruh offer diri?  Kan, dah kena!
            Fayyad terus mencapai barang-barang yang dihulurkan oleh si isteri. Setelah itu, dia pun melangkah menuju pintu.
            Ada derapan langkah dari belakang membuatkan Fayyad menoleh.
            Ezahra membuntuti Fayyad. Sudah bersedia untuk balik.
            “Ezahra… tangan awak tu ada apa?”  Fayyad menyoal dengan wajah yang dikerutkan.
            “Hah?  Apa benda apa?”  Ezahra mengibas-ngibas kedua tangannya.
            Fayyad menjuihkan bibir ke arah tangan kanan Ezahra.  “Tu-tu!  Tangan kanan. Meh saya tolong.”
            Ezahra dengan wajah takut-takut menyuakan tangannya pada Fayyad.
            Fayyad menjentik manja tangan Ezahra.  “Tangan ni biasa sangat!  Jangan ajar tangan ni…”  Dia menampar lembut tangan si isteri.  “jadi malas!  Kemas atas katil tu dulu, baru balik.”
            Buntang mata Ezahra. Dia tarik tangannya lalu digeselkan pada pinggang.  “You ni, kan!  Apa masalah you sebenarnya, ni?”
            “Saya tak ada masalah apa pun. Awak tu!  Biasakan diri awak, tu hidup susah. Sebab awak dah hidup dengan saya yang tak berapa nak kaya ni. Saya tak mampu nak bayar orang gaji untuk awak. Dan saya bukan orang gaji awak. Nak kemas rumah untuk awak. Awak isteri, dan itu kerja awak.”
            “I tak nak!  Bukan kerja I!”  Ezahra bertegas dengan pendiriannya.
            “Belajar kemas rumah. Sebab lepas ni saya tak nak dah kemas rumah. Itu kerja awak. Dekat rumah tu, kan… Saya dah tak larat kemas tau. Saya suami, bukan isteri. Selalunya suami yang bagi sepah rumah, dan isteri kemaskan. Ini terbalik kut. Isteri sepahkan rumah, suami yang kena kemas.”
            “Siapa suruh you kemas,”  ejek Ezahra.
            Dengan tangan yang penuh barang, Fayyad masih lagi mencuba untuk bercekak pinggang yang tidak berapa nak cekak sangat.  “Ha!  Buatnya orang datang nak ziarah, mana nak letak muka awak tu. Rumah bersepah orang tak cakap suami, orang cakap si isteri tu pemalas nak kemas rumah.”
            “You ni suka membebel, kan?”
            “Kemas!”  arah Fayyad. Malas mahu cakap banyak.
            Ezahra ketap giginya dengan wajah tak puas hati. Akhirnya dia menurut perintah Fayyad.
            “Nanti jangan lupa tutup suiz lampu, kipas semua. Ajar tangan tu supaya tak membazir. Semalam saya balik rumah lampu bilik, lampu bilik air, lampu dapur, lampu ruang tamu, kipas bilik, kipas ruang tamu, kipas lipas semua tak tutup. Ha!  Tercirit juga saya nak membayar bil elektrik.”
            Ezahra ketawa sinis sambil melipat telekung.  “Nasib youlah!  Tanggungjawab suami, kan?  Tanggunglah.”  Dia bersuara mencabar.
            “Oh… pandai cakap fasal tanggungjawab.”  Fayyad mengetap bibir dan mengangguk. Dia letak segala barang Ezahra ke lantai sambil menapak menghampiri si isteri dengan gaya menggoda.
            “Habis… tanggungjawab isteri, macam mana?”  Dia kenyit mata sambil berjalan seksi menghampiri Ezahra.
            Ezahra baling bantal ke wajah Fayyad.  “You nak buat apa ni?”
            “Psssttpstttt…”
            Ezahra terus berlari anak, mahu keluar dari bilik sebelum kepala Fayyad naik tanduk.
            “Tahu takut,”  bebel Fayyad.

No comments:

Post a Comment

Bacaan Buku Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat

Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...