SAHAJA AKU MENIKAHIMU 10


“Saya dah tukar gearbox kereta. Ingat!  Jangan nak merayap merata sangat.”  Fayyad memberi amaran. Telunjuk dihalakan ke wajah isteri.
Ezahra pekakkan telinga. Tangan ligat menekan butang alat kawalan jauh televisyen. Muka?  Muka memang muka minta penampar.  “Semua channel tak menarik!  Pasang astro!”
Fayyad ternganga. Banyak cekadak punya bini. Itu, ini dia minta. Macam duduk syurga aja, nak apa petik jari!  Macam itulah kut dia ingat duduk dalam rumah ni?
“Kita kena jimat, sayang… duit yang ada kita spend untuk yang penting dan perlu aje. Lagi pun, awak bukan tengok TV sangat pun.”
“Habis, sekarang I tak tengok TV ke?  Dahlah wifi pun tak ada!  I nak buat kerja susah, tahu tak?  Rasa macam duduk dalam hutan.”
“Wifi nanti saya pasang. Susah juga tak ada benda alah tu. Saya nak pakai juga. Nak buat kerja susah.”  Fayyad menyetujui Ezahra.
Ezahra ketawa mengejek untuk beberapa saat. Kemudian dia kembali serius.  “Kerja apa you nak buat?  Mat despatch macam you ni, tahu ke nak guna wifi?”  Dia pandang si suami tak ada matalah!
Fayyad mencerlung Ezahra.  “Ingat saya ni kuno sangat ke?”  marahnya. Geram betul si Ezahra tak habis melabelkannya orang kampung yang terkebelakang sampai tak update tentang itu, ini.
“Orang kampung, kan?  Mestilah kuno. Muka you pun nampaklah muka tak tahu apa-apa.”
Fayyad gigit bibir. Kembang kempis hidungnya mencuri oksigen.   “Baguslah mindset awak. Orang kampung semuanya kuno. Bagus, bagus!  Kuno dan kampung tu jugalah suami awak, kan?  Kesiannya…”  Fayyad buat bunyi kucing dan menggeleng kepala.
“Hmmm… Wifi settled!  Lepas tu nanti pasang air-cond dan pasang astro, ya!”
Ezahra ni bukannya boleh dilayan. Sekali dilayankan permintaannya, terus disenaraikan benda yang dia nak. Mengada-ngada betul!
“Air-cond tak payah!  Ada kipas biasa pun bukan main tidur tak ingat dunia. Ada air-cond lagilah awak nyenyak tidur sampai tak bangun-bangun. Pakai aje apa yang ada. Soal astro… awak tengok ajelah TV tu. TV biasa pun ada banyak siaran dan program menarik. Ha!  Tu ada Al-Kuliyyah. Cuba kuatkan sikit volum. Best juga program ni.”
Ezahra menekan butang merah dan bangun dari duduk. Langkah kaki dihayun menuju bilik. Sengaja dia menutup siaran televisyen. Geram sungguh dia dengan si Fayyad. Setiap perkataan lelaki itu pasti akan terselit kata-kata sinis dan perli untuknya. Dia tertekan!
“Ha!  Ini baru contoh isteri solehah,”  perli Fayyad dengan wajah tidak puas hati. Dia bangun dan mencapai alat kawalan jauh atas meja sebelum duduk kembali di atas sofa. Butang merah pada alat kawalan jauh ditekan.
Dumm!!!
Pintu bilik Ezahra dikerling tajam.  “Luruh juga pintu bilik tu,”  omelnya lalu berdecit. Susah hati betul dia dengan si Ezahra. Memang dugaan tahap final level of zombie. Susah nak menang!


“Dekat mana?”  Soalan pertama Fayyad sebaik Ezahra mengangkat panggilan telefon. Seronok nak cakap dengan bini sampai lupa nak beri salam.
“Officelah!”
“Tak makan?”  soal Fayyad lembut.
“Tak!”
Fayyad mengangguk.  “Tunggu, ya!  Saya tapau makanan untuk awak.”
Kedengaran Ezahra berdecit di hujung talian.  “Tak payah mengadalah!  Nanti staf syak yang bukan-bukan.”
“Biarlah. Kita kan, dah kahwin. Lagi pun, sekarang lunch hour. Dia orang semua pergi makan. Awak nak makan apa?”
“Kalau I nak makan makanan hotel, you nak belikan ke?”  Sarkastik Ezahra menyoal.
“Okey!  Saya beli ikut selera saya.”  Fayyad masih bersuara ceria walaupun diperli.
“Tak payah!  I tak nak makan pun!”  Ezahra rimas dengan sikap Fayyad yang suka memandai-mandai buat keputusan. Dia ingat dia siapa?!
“Okey, sayang!  Tunggu abang, ya?  Assalamualaikum…”  Fayyad tidak menghiraukan si isteri.


Mahu terlepas juga bungkusan makanan yang dipegang oleh Fayyad. Langkah kaki mati begitu sahaja. Dadanya kini berombak kencang. Dia menonong masuk ke dalam bilik Ezahra.  Dari luar boleh nampak tindak tanduk si isteri melalui dinding kaca.
Ezahra tertonggek-tonggek mengutip pen yang terjatuh ke lantai.
“Apa hal pakai baju macam ni?  Cantik sangatlah?”  Sambil menolak pintu bilik Fayyad meninggikan suara. Tidak puas hati dengan si Ezahra.
Pagi tadi sebelum ke kelas, Ezahra sudah awal-awal lagi cabut ke tempat kerja. Dia pun tak kisahlah, kan. Kerana difikir Ezahra sudah mengenakan tudung sepenuh masa. Rupanya dibuat macam pakai tudung saji sahaja.
Mungkin si Fayyad umpama makanan baginya?  Ada makanan, pakai. Tak ada makanan, tak pakai. Haru juga si isteri yang suka buat pelaburan untuk masuk neraka. Hancur pelan nak masuk syurga bertemu arwah abah!
Terjongket bahu Ezahra sebaik mendengar satu suara memetir tiba-tiba. Pantas dia menoleh ke belakang. Lambat-lambat dia berdiri sambil buat muka bosan.
“Tahulah kaki tu cantik. Tak ada kurap. Tapi tak payahlah nak tunjuk dekat orang sangat.”
Ezahra melangkah ke tempatnya. Dia menghenyakkan punggung dengan kasar ke atas kerusi.  “Hidup I, terpulanglah I nak buat apa. Pakai baju seksi ke, you sibuk apa hal?”
“Sibuklah!  Saya suami awak. Saya yang menanggung dosa awak.”
“Yang you tu nak melebih kenapa?  Sebelum ni daddy I tak pernah nak larang apa I buat.”
“Daddy awak tak tegur sebab awak tu dah tua bangka. Ada otak boleh fikir sendiri. Islam bukan pada IC aje. Buktikan yang awak tu beragama Islam!”
Ezahra memandang luar dengan muka bengang.  “Nak buat baik kena niat Lillahi Taala. Bukannya niat kerana orang paksa.”
“Memang nak buat benda baik kena niat Lillahi Taala. Tapi kalau tak mulakan, bila lagi kita nak buat benda baik. Paksa diri tu buat benda baik, Insya-Allah lama-lama diri tu terbiasa. Saya dah cakap, saya redha dan ampunkan awak nak tinggi suara pada saya atau pun tak nak dengar cakap saya, asalkan awak jalankan semua perintah Allah.”
Ezahra berdiri sambil memandang wajah Fayyad.  “Dahlah!  You pergi keluarlah.”
“Jom balik sekarang!  Tukar baju tu!”
Diam. Ezahra peluk tubuh sambil mencerlung si suami.
“Saya cakap balik!  Tukar baju tu!  Susah sangat nak dengar cakap saya ni kenapa?”  herdik Fayyad. Selalu sangat bersabar dengan si Ezahra, ingat dia tak ada angin ke?  Dia pun ada perasaan marah. Yang pasti marahnya itu berasas. Bukannya marah saja-saja, tak ada kerja!
“I tak ada baju lainlah!”
“Takkan tak ada langsung?”
“You ni pekak ke?  Hari tu lagi I cakap I tak ada baju lain. Semuanya yang seksi macam ni. Biarlah I pakai macam ni pun. Orang kampung macam you tu yang kolot. Ini pakaian standard orang bandar.”
“Saya akan beli baju baru untuk awak. Lepas ni, saya nampak awak pakai lagi spesis baju macam ni, saya bakar semua baju awak!”  ugut Fayyad. Dia melangkah ke meja kerja Ezahra. Bungkusan makanan diletakkan di situ. Kemudian dia melangkah untuk keluar.
Ezahra mereling Fayyad dan menghadiahkan jelingan maut. Berani betul lelaki itu hendak membakar bajunya?
Fayyad berpatah balik ke dalam bilik Ezahra.  “Makan!  Saya check tak habis, siap awak!  Dan lagi satu, jangan lupa solat zuhur. Tak solat pun, siap!  Saya rampas kunci kereta.”


“Hei, you!”
“Hei, you?”  Fayyad mengerutkan dahi pada si isteri.  “Macam itu ke bahasa awak panggil suami awak?”  soalnya sinis.
Ezahra buat muka bosan.
“Panggillah abang!  Hormat sikit suami awak ni. Macam mana nak masuk syurga kalau panggil suami pun hei-hei aje?  Lagi pun, saya ni tua dari awak. Saya empat tahun lagi tua dari awak. Panggillah bie ke… abang ke…”
Kening Ezahra terangkat. Seolah tidak percaya dia berkahwin dengan lelaki yang usianya sudah menginjak tiga puluh.  “Means umur you dah tiga puluh tahun ke?”
Fayyad mengecilkan mata.  “Yelah!  Umur suami pun tak tahu. Apa lagi yang awak tak tahu fasal saya?  Nak saya buatkan biodata atau resume ke baru awak nak ambil tahu?”  perlinya.
Ezahra ketawa tidak ikhlas. Kisah pula dia hendak mengambil tahu soal Fayyad. Banyak lagi kerja berfaedah yang dia hendak buat.  “Buat apa I nak sibuk tahu hal you?  Bukan ada yang menarik pun. Lainlah kalau you ni Bradd Pitt, kan?”
Fayyad mengetap bibir sambil mengangguk.  “Ha!  Puja sangatlah mat salih barat tu. Itu yang tak sedar diri awak tu Melayu. Makan, pakai semua tiru barat. Makanan Malaysia pun tak kenal habis lagi, ada hati nak puja dan tiru orang luar. Sepatutnya saya yang suami ni awak puja. Hensem, manis, baik. Lagi apa lagi saya tak senaraikan?”
Ezahra buat muka geli.  “Perasannya!”
Fayyad bungkam dan pamer wajah sedih pada Ezahra.  “Sampai hati cakap abang perasan. Abang ni suami sayang tau. Backuplah sikit. Jaga hati. Bila abang cakap abang ni hensem dan baik, apa salahnya kalau iyakan?”
“Masalahnya benda tu tak betul. Buat apa I nak tipu?”  marah Ezahra.   “Dah!  Mengarutlah borak dengan you ni. Tu... kereta buruk you tu, meter minyak dah merah. I tak ada duit nak isi.”
“Hisk!  Jangan cakap buruk. Nanti dia merajuk. Mulut tak reti nak coverlah awak ni.”
“Dah memang buruk pun.”  Ezahra menjeling seraya memeluk tubuh.
“Dah solat belum?”
Diam.
“Telinga tu letak mana?”
“Belum.”  Ezahra menjawab mahu tidak mahu.
“Pergi solat dulu, lepas tu baru saya bagi duit nak isi minyak kereta.”  Fayyad memujuk dengan nada suara romantik. Hilang terus garangnya. Baginya, hendak mengajak berbuat kebaikan perlulah dengan cara yang berhikmah. Kalau marah-marah, lagilah Ezahra bebal tidak mahu melakukannya.
“Nantilah!  Dekat rumah pun boleh.”
“Tak baik lengah-lengahkan solat. Pergi solat dulu.”
“Nak solat dekat mana?”
Fayyad melepaskan keluh.  “Kan, ada surau sayang…”
“You cakap dengan I, dekat mana surau?”  Ezahra buat muka orang nak menang. Manalah ada surau di situ!  Dia yakin kerana dia tidak pernah nampak pun ada surau dalam syarikat itu.
Tak nampak atau tak pernah ambil tahu, Ezahra?
“Surau sebelah pantri, sayang… Nampak sangat tak pernah jejak ke surau. Habis selama ni solat dekat mana?”
Diam.
Fayyad tarik senyum nipis. Dia pandang wajah Ezahra. Lama. Wanita akalnya hanya satu. Dan lelaki akalnya ada sembilan. Sebab itu Allah jadikan lelaki sebagai pemimpin, supaya lelaki boleh membimbing wanita yang kurang akalnya.
“Lain kali jaga solat. Jaga solat, Insya-Allah berjaya dunia akhirat. Jangan ambil ringan tentang solat. Kita mati nanti, solat lima waktu tu yang Malaikat tanya. Dia tak tanya apa kerja kita, kelulusan kita, masuk olahraga apa dekat sekolah. Semua tu malaikat tak tanya.”  Lembut dia memujuk.
Ezahra menjeling.
“Solat cepat. Kalau tidak, saya tak bagi duit untuk isi minyak.”
Ezahra berdecit sebelum melangkah meninggalkan Fayyad.
“Jangan tipu, eh!  Nanti saya check awak betul-betul solat ke tak.”  Fayyad berpesan.
Ezahra menghentikan langkah dan menoleh ke belakang memandang si suami.  “I tahulah nak solat. Buat apa nak tipu diri sendiri.”  Dia tunjuk gigi bersama wajah kucing hendak menerkam musuh.
Fayyad sengih nakal sambil kenyit mata pada Ezahra. Sengaja hendak membuat wanita itu panas hati.
Ezahra merengus geram bersama langkahnya.


Fayyad memarkir motosikal di belakang Perodua Kelisa miliknya yang dipandu oleh Ezahra. Masa untuk isi minyak. Tetapi memandangkan si isteri memakai seksi, dia bergegas turun dari motorsikal lalu berlari anak ke keretanya sebelah tempat duduk pemandu. Dia perlu menghalang si isteri untuk tidak keluar dari kereta.
Mestilah dia tak bagi Ezahra keluar kalau pakaian si isteri begitu seksi. Dia cemburu kut!  Aurat si isteri hanya untuk suami. Mana boleh tunjuk dekat orang lain!  Nak mampus siapa yang berani tengok aurat isterinya?
“Eh-eh!  Awak nak pergi mana?  Masuk balik!”  gesa Fayyad pada Ezahra yang sedang membuka pintu. Kaki kanan si isteri sudah pun memijak bumi.
“I nak isi minyak.”
Fayyad kepit kaki Ezahra dengan pintu. Spontan kaki wanita itu termasuk ke dalam kereta semula.  “Masuk!  Biar saya aje yang isi minyak.”
Ezahra menurut. Dia menutup rapat pintu kereta.
“Anne!  Tak apa anne. Saya kasi pam ini minyak.”  Fayyad menghalang seorang pekerja lelaki berbangsa India agar tidak menghampiri keretanya.
“Tapa, tapa!  Ini mimang saya punya kirja.”
Dah kenapa pula tiba-tiba nak tolong isi minyak?  Selalu Fayyad ke mana-mana stesen minyak, semuanya layan diri. Sengaja betullah menguji imannya!
“Tak apa!  Anne tolong saya bayar dekat kaunter saja. Nanti saya pamkan ini minyak.”
Lelaki India itu sama ada hendak geleng atau mengangguk. Dia menurut. Not RM50 yang disuakan oleh Fayyad, diambilnya.  “Lima puluh ringgit ka?”
“Kereta ni RM40. Nanti motor saya RM10 yang dekat belakang tu. Okey, anne?”
“Okey-okey!  Tak ada hal!”
Fayyad mengepam minyak ke dalam tangki minyak keretanya. Usai itu, dia terbongkok-bongkok mengetuk cermin tingkap isyarat supaya Ezahra menurunkannya.
Ezahra menghidupkan enjin kereta lalu cermin tingkap dihadapan wajah Fayyad diturunkan.
“Awak balik rumah terus. Jangan singgah mana-mana!  Saya nak pergi pasar malam. Cari barang dapur. Nanti saya balik masak, okey?”
Ezahra membulatkan matanya.  “You nak masak apa?  You jangan nak mengarutlah!  Terbakar rumah tu nanti, kita nak duduk mana?”
“Cuba jangan pandang orang tak ada mata. Awak tak betul-betul kenal siapa suami awak. Tak apa!  Malam nanti kita buat sesi ice breaking. Saya pun nak kenal-kenal dengan isteri saya juga.”  Fayyad kenyit mata.
“Menyampah pulak I tengok you ni!  Dasar miang!”  Ezahra menaikkan cermin tingkap itu semula. Pedal minyak ditekan sekuat hati meninggalkan encik suami.
Fayyad tersengih. Kemudian dia mendapatkan motorsikal dibelakang. Lalu dituntun menghampiri pam minyak untuk mengisi minyak motosikalnya pula.


Segala bungkusan diletakkan ke atas meja di dapur. Keluh berat dilepaskan. Sehari dia ke hulu dan ke hilir tanpa rehat. Baru kali ini dia sempat bersandar malas pada kerusi dan memejamkan mata seketika.
Oh, seronoknya!  Alangkah indah kalau duduk bermalas-malasan seperti itu dengan duit yang turun bagaikan hujan. Tetapi ini dunia, apa yang kita nakkan, kena usaha. Bukan seperti syurga, nak duit petik jari pun boleh. Apatah lagi Fayyad membela anak dara orang, lagilah dia perlu bekerja keras untuk mencari duit.
Bunyi pintu bilik air mengejutkan lena Fayyad yang sesaat itu.
Ezahra berjalan dengan tuala paras paha yang membalut tubuh. Bahagian dada gebu wanita itu terdedah. Air basahan pada rambutnya menitik-nitik ke lantai membuatkan Fayyad menelan liur.
Fayyad seolah terpukau. Dia bangun lalu membuntuti Ezahra dengan perasaan yang dia sendiri tidak dapat tafsirkan. Naluri lelakinya terusik. Langkah kaki terhenti ketika Ezahra menutup pintu biliknya. Saat itu, barulah Fayyad tersedar akan tingkahnya.
Dia meraup wajah dan beristighfar. Dadanya kini berombak melawan arus udara. Oh!  Tidak boleh jadi!  Tulang rusuk bergetar hingga ke hati.
Tidak!  Dia tidak boleh mendekati Ezahra sehingga wanita itu rela untuk bersamanya. Dia perlu memberi ruang dan waktu untuk wanita itu. Walaupun ikatan mereka sudah halal, namun dia menghormati Ezahra sebagai seorang perempuan yang lemah dan mempunyai hak ke atas pendiriannya. Ezahra perlukan waktu untuk semua itu.
Fayyad mencapai kunci motosikal di atas meja. Dia bergegas keluar dari rumah. Imannya akan terus memuncak sekiranya dia masih berada di dalam rumah itu. Lebih baik dia keluar sebelum imannya semakin goyah.


Sampai-sampai sahaja digerai itu, Fayyad terus mengenakan apron pada tubuh. Dia bergegas ke buntut lori di mana terletaknya dapur. Bahan-bahan masakan yang ada dicapai.
“Kau ada masalah apa, bro?”  soal Ali.
“Tak ada apalah. Lapar aje,”  jelas Fayyad sambil menumis bahan-bahan masakan.
Ali senyum sinis. Dia menapak ke bahagian membuat air. Gelas-gelas dicapai untuk menyediakan air untuk pelanggannya.
“Tak payah nak kelentong aku!  Kita berkawan dari kita sama-sama jadi janin lagi. Masalah apa lagi?  Muka kau ni muka masalahlah. Apesal masalah suka hinggap dekat kau, eh?  Baik kau pergi surgery muka kau. Mana tahu bila muka kau dah lain, masalah pun sesat nak cari muka kau, Yad,”  tingkahnya.
Fayyad mengangkat senduk yang dipegang dan dihalakan ke kepala Ali.  “Karang aku pukul kepala kau.”  Fayyad menjeling tajam. “Bukannya nak bagi semangat. Bagi masalah lagi ada.”
“Ala, kau ni!  Gurau sikit nak sentap.”  Ali mencebik. Usai siap membuat air, gelas-gelas diletakkan ke atas dulang. Dia melangkah bersama dulang disebelah tangan. Sebelah lagi memegang sticker note.
Dia lekatkan sticky note order pelanggan pada dahi Fayyad pula.  “Nah!  Customer aku nak char kuey teow special dua.”  Lantas langkah kaki dihayun pergi.
Fayyad mencabut sticky note pada dahi lalu dibeleknya. Terus dia mencapai bahan-bahan untuk menyediakan menu itu.
“Untung juga kau stress macam ini. Boleh juga aku relex. Lepas ni, kalau aku penat memasak, boleh aku stresskan kau,”  tutur Ali sambil melangkah ke meja pelanggan.
Fayyad diam. Dia malas mahu melayan karenah sahabat karibnya itu. Sebaliknya dia rancak menumis untuk memasak char kuey teow yang dipesan pelanggan Ali.
“Fuhhh!!!”  Ali melepaskan asap dari vape yang disedut pada wajah Fayyad.
Fayyad yang sedang membelek telefon bimbit memejamkan mata. Seketika dia membuka mata dan mereling Ali di sisi.
Ali bersandar pada kerusi sambil buat muka stim.
“Sekali lagi kau fogging dekat muka aku, kau jangan harap aku nak bagi Ana dekat kau,”  ugut Fayyad geram.
Wajah Ali cuak serta merta. Dia campak vape ke atas meja dan mengangkat kedua tangannya tanda surrender.  “Okey-okey!  Nanti aku buang benda alah ni!”  katanya dengan wajah bersungguh-sungguh.
“Tahu takut!”  Fayyad menjeling.
“Kau ada masalah dengan bini kau ke?  Muka tu cuba senyum sikit. Kau ingat kau hensem ke buat muka taik macam tu?”
Fayyad diam.
Ali menghela nafas. Dia tahu Fayyad tidak akan bercerita melainkan didesak. Tetapi dia malas hendak mendesak kerana dia sudah dapat menghidu bahawa masalah itu berpunca dari Ezahra yang agak komplikasi hendak menjaganya.
Kalau masalah duit, Fayyad pasti tidak akan segan silu untuk bercerita. Tetapi kalau dia diam sebegitu, pasti ada hal lain yang tidak kena.
“Apa pun masalah kau. Kau lelaki. Ketua keluarga. Kau boleh handle program besar dekat universiti. Takkan nak handle bini pun tak boleh?”
“Yang tu satu hal. Satu benda ni kalau kena dekat kau pun kau akan buat muka taik ni jugak!”  kata Fayyad tanpa memandang Ali. Dia membelek foto perkahwinan mereka tempoh hari. Cantik sungguh si isteri itu walaupun wajah yang dipamerkan seolah wajah orang menahan cirit.
“Apanya?  Cuba cakap.”
“Malaslah. Aku tak nak aibkan siapa-siapa. Biar ajelah aku yang simpan. Ini rahsia laki bini kau tahu apa?”
Ali mencebik. “Seronok tak kahwin?”  soalnya.
“Yang seronoknya belum seronok lagi. Tapi yang tak seronoknya bila aku hari-hari kena bergaduh dengan bini aku, barulah dia nak dengar cakap aku.”
“Aniaya juga, eh dapat bini macam bini kau. Aku tengok dia pun macam samseng semacam.”
Fayyad pandang Ali tidak puas hati.  “Kau kalau nak kutuk bini aku, jangan depan aku. Karang rambut kau tu aku buat char kuey teow.”
“Kau apahal, bro?  Main-main rambut aku pulak. Rambut ni yang bagi aku rezeki tau. Kau tahu apa?”
“Hahaha…. Bagi rezeki konon. Aku yang bawa rezeki untuk kau. Tengok tu!  Asal aku ada aje, customer kau mesti ramai. Kau tak percaya lagi?  Meh sini aku balik. Confirm pelanggan kau semua cabut balik rumah jugak.”  Fayyad sudah berdiri.
“Eh, Yad!  Takkan nak balik dah?”
Fayyad senyum. Bungkusan di atas meja dicapainya.  “Baliklah!  Bini aku tunggu dekat rumah. Lupa pulak aku yang dia tak makan lagi.”
Ali berdecit.  “Ala!  Bini kau lapar, pandai-pandailah dia masak.”
“Kau ni, tahulah rindu aku. Janganlah tunjuk sangat.”
“Kalau kau tak ada, siapa nak masak?  Mood aku ke laut ni. Duduklah dulu. Kau pun dah lama tak lepak sini. Apa salahnya kau spend time sikit dekat sini.”  Ali menggesa lagi. Dia rindu betul nak lepak-lepak dengan Fayyad.
“Ala… esok-esok aku datanglah lagi. Bini sedang menanti dekat rumah tu.”
“Kau tengoklah aku kahwin dengan adik kau nanti. Aku tak spend dah masa dengan kau.”  Ali buat muka beruk.
Fayyad sengih.  “Kalau aku tahu kau tak nak spend time masa dengan aku lagi, baik aku tak bagi kau kahwin dengan adik aku.”
Ali mencebik dengan hidung kembangnya.
“Aku caw dulu!”  Fayyad menepuk bahu Ali yang sedang bertugu dengan vapenya.
Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Sampai-sampai rumah sahaja kereta Perodua Kelisanya sudah tiada di parkiran. Ke mana pulalah si isteri?  Keluar tanpa beritahu tidak apa lagi. Takutnya si isteri melepak di kelab malam dengan pakaian yang seksi. Oh, ini tidak boleh jadi!
Nombor telefon Ezahra didail.
“Assalamualaikum!  Awak pergi mana?”
“I keluarlah. Yang you sibuk nak marah-marah ni kenapa?”
“Kenapa nak keluar tak bagi tahu?  Awak pergi kelab, kan?”
“Memang pun I pergi kelab. Tapi I lalu aje depan tu. I tak masuk pun. I tak ada duit nak berfoya-foya. You marah I, yang you tu keluar tak beritahu kenapa?  You tahu tak I lapar?  Konon nak masak dekat rumah, tahu-tahu lesap dengan motor buruk you tu.”
Fayyad melepas keluh berat.  “Saya keluar pergi beli makanan untuk kita. Lain kali kalau nak keluar bagitahu. Dan sekarang saya nak awak balik!”  tegasnya.
“I malas nak balik. Dah lewat malam. I penat okey.”
“Saya cakap balik!”  Fayyad bersuara tegas.
“I dekat rumah daddylah!  Takkan itu pun nak marah. I tidur sini malam ni. You jangan nak bising-bising,”  jawab Ezahra kasar.
“Betul ni ada dekat rumah daddy?”  Suara Fayyad kembali mengendur. Tenang sedikit apabila mendengarkan si isteri selamat berada di rumah mertua.
“Iyalah!”
“Saya call daddy ni?”  Fayyad menguji Ezahra. Mahu mengetahui sejauh mana kejujuran Ezahra.
“Call ajelah. You ingat I takut ke?  You nak datang sini pun bolehlah.”
Fayyad mengangguk. Ada bagus juga si isteri tak ada di rumah. Sekurang-kurangnya dia boleh mendidik imannya supaya lebih behave!  “Okey, saya percaya. Dah makan ke belum tu?”  Romantik suaranya menyoal.
“Dah!”
“Kalau macam itu tak apalah. Saya minta maaf saya keluar tak beritahu. Saya pergi gerai makan kawan saya. Saya takut nak balik sebenarnya.”
“You ingat I kisah ke you nak balik ke tak?  I tunggu makanan aje. Sebab I lapar.”
“Saya minta maaf, ya. Hmmm… awak dah solat ke belum?”
“Dah.”
“Betul?  Saya tak nampak tapi Allah nampak.”
“Kejap lagi I solatlah.”
Buntang mata Fayyad.  “Tengok!  Siapa ajar menipu ni?  Kejap lagi solat. Saya call daddy nanti suruh awak solat. Kalau tak solat tahulah saya nak buat apa dekat awak.”
Diam.
“Dah, solat dulu sebelum tidur. Saya nak letak telefon ni.”
“Letak ajelah!”
“Muahlah sikit…”
Tett!!
Talian dimatikan.
Fayyad memandang skrin telefon bimbitnya.  “Marah pulak dia.”  Lalu dia ketawa kecil. Telefon bimbit dimasukkan ke dalam kocek seluar. Perlahan dia menapak ke menuju pintu rumah.

No comments:

Post a Comment

Bacaan Buku Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat

Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...