SAHAJA AKU MENIKAHIMU 3
Pin! Pin! Pin!
Serentak Zaitun dan Fayyad menoleh ke belakang. Tersentak mereka berdua apabila bunyi hon kereta itu membingit menyapa gegendang telinga.
“Apa hal pula tu?” Dahi Zaitun berkerut seribu.
Fayyad menjuihkan bibir sambil menjongket bahu.
“Motor buruk tu boleh ke tepi sikit tak? I nak parking ni. Semak betullah!” jerit Ezahra sebaik tingkap Mini Cooper sebelah kiri terbuka luas.
Fayyad dan Zaitun saling berpandangan. “Tu, kan parkir motosikal? Dah gila ke apa dia ni?” bisik Zaitun perlahan sambil menjeling-jeling Mini Cooper Ezahra.
Zaitun. Dia memang anti dengan Ezahra sejak kemasukan wanita itu sebagai Co-CEO di syarikat milik Tan Sri Khalid. Ada sahaja yang tidak kena. Itulah, inilah… jauh panggang dari api sikapnya dengan Tan Sri Khalid yang boleh berkompromi dengan pekerja dan staf-staf lain.
Malang betul mereka mengenali Ezahra. Ada sahaja yang kena angin dengan Ezahra. Sekali angin, macam-macam ayat berapi keluar. Sampai botak kepala orang dengan volcano mulutnya yang berbisa.
Bunyi hon membingit lagi.
“Kau nak ke mana, Yad?” Zaitun menyoal Fayyad sebaik melihat lelaki itu bergegas mahu kembali ke motosikalnya.
Fayyad menoleh ke belakang sambil tangan teraba-raba poket seluar mencari kunci motosikalnya. “Nak ubah motorlah. Parking tempat lain.”
Zaitun berdecit. Geram dengan tingkah Fayyad yang ikut telunjuk sahaja. Sudah sah-sah si Ezahra yang sengaja cari fasal.
“Kau buat tak tahu aje, Yad! Tu, kan parkir motorsikal. Habis kau nak parking motor engkau dekat mana?”
“Dekat pintu pagar sanalah. Situ aje ada parkir motosikal.” Fayyad memanjat motosikalnya.
“Jauh kut! Kau buat tak tahu ajelah dia tu. Perempuan tu kalau bagi muka bukan main eksyen lagi nanti.”
“Dia bukan perempuan, kak. Dia wanita. Jadi, kita layankan aje apa dia nak selagi benda tu tak salah. Lagi pun company ni bapak dia yang punya. Biar ajelah dia besarkan kepala dia tu.”
Bunyi hon semakin memanjang sehingga orang sekeliling memandang pelik. “Pekak ke apa? Tak payah nak berborak lama sangat. I tak ada masa nak tonton drama Melayu dekat sini!”
Fayyad memakai topi kaledar MS miliknya dan menghidupkan enjin motosikal sebelum memecut laju mencari parking motosikal.
Kecil besar, kecil besar aje Zaitun memerhati kereta milik Ezahra. Geram betul dia dengan wanita itu. Bukan main eksyen lagi!
“Kenapa Kak Ton? Muka tak puas hati aje?” tegur Nadiah berdiri disebelah Zaitun.
“Tu, kau tengoklah tu! Melampau betul anak Tan Sri Khalid tu. Yad dah elok parking motor dia dekat situ. Tiba-tiba perempuan tu datang honkan motor Yad. Dia mengamuk suruh Yad alihkan motor dia. Gila ke apa? Itu memang tempat parking motosikal kut. Buta ke mata dia?”
“Mungkin dia marahkan Yad kut.”
“Kenapa pula?”
“Semalam Nad kena marah dengan Cik Ezahra. Lepas tu, Yad datang backup Nad. Siap sound Cik Ezahra lagi. Mungkin sebab itu Cik Ezahra bengang. Nak balas dendamlah kut.”
“Sampai macam itu sekali. Melampau betul. Orang tegur benda baik. Bukannya tegur benda salah pun.”
“Dunia ni Kak Ton, siapa ada duit, dia yang berkuasa. Yang tak ada duit dan tak ada pangkat duduk diam-diam. Kita yang tak ada apa ni, kunci mulut ajelah,” tutur Nadiah sambil mengangkat kedua keningnya tanda redha.
“Sampai bila kita yang tak ada apa-apa ni nak kena tindas? Kita ada hak nak hidup bahagia, okey?” Zaitun merengus geram lalu menonong berjalan masuk ke dalam bangunan syarikat itu meninggalkan Nadiah yang terkebil-kebil.
Fayyad yang sedang bergegas turun semula ke bawah bersama bungkusan barang di tangan, terpandang akan Ezahra yang memerhatinya tajam. Wanita itu sedang menaiki tangga dengan lagak sombongnya.
Ezahra, dia melihat Fayyad atas bawah. Lalu tersenyum sinis. Puas apabila dapat mengerjakan lelaki itu. Itulah padah orang yang berani menegurnya. Sedangkan si daddy yang menegurnya pun, dia menyimpan dendam. Inikan pula orang luar!
Fayyad buat tidak endah. Dia malah semakin gagah menuruni anak tangga. Setakat Ezahra, wanita yang lemah itu. Sedikit pun dia tidak hairan. Dia lelaki, dia gagah! Setakat wanita yang lemah pun dia nak bergaduh? Memang tak gentlelah, kan?
Jadi, sebagai lelaki yang macho dan gagah, Fayyad merelakan dia dipandang seksi oleh Ezahra. Paling kuat pun dia pandang sinis. Tak adanya sampai nak telan dirinya.
“Idiot person!” hambur Ezahra perlahan namun telinga Fayyad dapat menangkap kata-kata itu.
Fayyad menghentikan langkah kakinya lalu menoleh ke belakang memandang kelibat Ezahra yang sedang menaiki tangga dengan lagak supermodel.
Dia melepaskan keluh berat. “You’ll regret it,” bisiknya perlahan. Seketika dia menyambung langkahnya semula.
Kata-kata Tan Sri Khalid masih terngiang-ngiang di tepi telinganya. Dia beri tempoh selama satu minggu kepada lelaki tua itu, sebelum dia memberikan jawapan. Namun, tak sampai sehari, dia sudah muktamad mahu mengatakan tidak!
“Pak Cik ada hajat besar.”
Fayyad beriak teruja sambil mengheret kerusi ke belakang untuk mempermudahkan dia menghenyakkan punggung di situ. “Hajat apa? Tengok muka Pak Cik macam ada hal mustahak aje.”
“Memang hajat yang mustahak ni.”
“Benda apa?”
Tan Sri Khalid mencuri nafas sambil memandang Fayyad. Mencari kekuatan untuk mengungkapkan apa yang terbuku dihati. “Pak Cik nak melamar kamu. Pak Cik memang dah lama sangat berkenan dengan kamu.”
Buntang mata Fayyad memandang Tan Sri Khalid. Dia menelan liur. Dia menunduk ke bawah sambil memperbetulkan zip seluarnya.
Tan Sri Khalid yang melihatkan reaksi Fayyad yang lain macam itu terus memintas. “Bukan untuk Pak Cik! Pak Cik lurus lagi walaupun dah bertahun menduda.”
Fayyad menarik nafas lega sambil buat mata stim. Seketika dia mengurut dada. “Terkejut saya. Ingat melamar untuk Pak Cik. Habis kalau bukan untuk Pak Cik, melamar untuk siapa?”
“Untuk Ezahra.”
“Ezahra?!” Terjerit Fayyad dibuatnya. Matanya membulat. “Kenapa untuk dia pula?” Dia masih lagi terkejut. Dia dan Ezahra pun jeling-jeling bukan main, inikan pula nak kahwin, tak tahulah nanti jadi apa.
“Pak Cik tahu Pak Cik memang banyak susahkan kamu. Tapi Pak Cik minta tolong kamu sangat-sangat Yad. Bimbinglah Ezahra. Dia dah jauh dari landasan. Pak Cik tak mampu nak selamatkan dia lagi.”
Fayyad mendesah. Dia picit pangkal hidungnya. “Kes berat tu, Pak Cik. Sedangkan Pak Cik pun tak mampu, inikan pula saya.” Dia cuba menolak dengan cara baik.
“Pak Cik tahu kamu boleh, Yad. Kamu ada ciri-ciri pemimpin. Tolonglah Pak Cik, Yad. Pak Cik sedih tengok satu-satunya anak Pak Cik jauh macam itu. Kesian pada arwah Mak Cik yang menunggu doa dari anak yang solehah.”
“Saya pun masih lagi bengkok, Pak Cik. Mustahil saya dapat bimbing Ezahra. Ezahra pun pasti bencikan saya. Pak Cik boleh carikan orang yang sempurna kut untuk dia,” ujar Fayyad susah hati.
“You’re the perfect one, Fayyad!”
Fayyad pura-pura ketawa sambil tepuk meja perlahan. Kelakar dia dengar! “Sempurna apanya? Saya makan pun tak tentu hala. Nak membela anak orang pula. Saya rasa saya tak mampu. Saya tak boleh nak mandikan Ezahra dengan kemewahan.” Dia garu kepala pula.
“Pak Cik tak mahu kamu mandikan dia dengan kemewahan. Cukuplah bimbing dia untuk jadi wanita solehah. Ajar dia dengan kemiskinan supaya dia tak terlalu mendabik dada dengan apa yang dia ada.” Tan Sri Khalid tidak mahu kalah.
“Pak Cik, saya tahu apa yang saya mampu, dan apa yang saya tak mampu. Sebab tu saya tak kahwin sampai sekarang. Kerja kahwin ni kerja serius. Bukan main-main. Perkahwinan adalah satu tanggungjawab. Bukan main seronok-seronok aje.”
“Pak Cik tahu kamu mampu ambil tanggungjawab ni. Tolong jangan hampakan Pak Cik.”
“Pak Cik beri saya masa untuk berfikir.” Fayyad sudah tidak ada idea untuk membalas kata-kata lelaki tua itu.
“Baik. Pak Cik beri kamu masa. Asalkan nanti kamu beri jawapan ya.”
Fayyad tersandar lemah pada penyandar kerusi. Dia meraup wajahnya sambil melepaskan keluh berat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Bacaan Buku Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat
Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...

-
Uisk! Ada yang bukak entry ni ke? Nak pergi mana tu? Honeymoon ke? Bercuti dengan kawan-kawan? Travel solo? Nak pergi rumah sa...
-
Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...
-
Dari jauh lagi Mak Nah terintai-intai melihat gerangan yang sedang menyidai baju di ampaian dekat halaman rumahnya. Mata...
No comments:
Post a Comment