Zamri berjalan sambil menari
riang. Mulutnya bernyanyi-nyanyi kecil disaat itu. Itulah sifatnya yang selamba
dan riang ria terlebih dos. Zamri, Zamri... tetapi sikap dan perangainya itulah
yang membuatkan dia mudah didekati oleh sahabat mahupun guru-guru. Sekurang-kurangnya
pelajar seperti dia dan tiga orang sahabatnya lagi dapatlah memeriahkan suasana
kelas yang sedikit bosan itu.
Ketika sedang membelok ke kiri,
Zamri terserempak dengan Badli. Zamri yang melihatkan guru Bahasa Melayu itu
semakin menghampirinya, sudah pun menyusun salam yang mahu diucapkan.
“Assalamualaikum, cikgu.” Ucapnya lembut
dengan selamba. Kemudian dengan megah langkah kakinya disambung semula untuk
mara kehadapan.
“Eh-eh! Nanti kejap!”
Pantas kolar belakang baju seragam sekolah Zamri ditariknya. Hampir
tercekik pelajar itu dek tindakan Badli yang kurang sopan.
Zamri yang terkejut itu terjelir
lidahnya kerana menahan sakit apabila dilakukan seperti itu oleh seorang guru
yang tidak bertauliah.
“Awak ponteng kelas, kan?” Badli dengan suara tegasnya menuduh. Padahal
Zamri baru sahaja pulang dari bilik guru kerana membantu guru yang sarat
mengandung itu membawa buku-buku latihan yang diminta olehnya.
“Mana ada cikgu. Saya dari bilik
guru taksat. Tolong hantaq buku dekat ataih meja cikgu Shukriah.”
Zamri cuba membela diri dengan meyakini Badli bahawa dia tidak bersalah
atas tuduhan melulu lelaki berjanggut halus pada dagu itu.
“Awak jangan tipu saya!” Badli menengking tidak berpuas hati.
“Sungguh, cikgu. Kalau cikgu tak
percaya, cikgu pi la tanya dekat cikgu Shukriah sendiri.” Melihatkan Badli tidak mahu mengalah, Zamri
pun mulai meninggi suara kerana alasannya tidak diterima pakai oleh guru Bahasa
Melayu itu.
“Habis itu mana pas keluar kelas
awak?” Badli menyoal pula dengan
bengisnya.
“Hilang cikgu...”
“Ha! Itu taktik awak mahu menipu saya, kan?”
Zamri berdecit dan mengeluh. “La... saya cakap benda betoi, cikgu cakap saya muhong
pulak.” Dia mulai bengang dengan tingkah
Badli yang mengalahkan guru disiplin itu. Tak padan dengan guru bertaraf
rendah, ada hati nak pegang jawatan tinggi-tinggi. Sempat Zamri mengutuk di dalam
hati.
“Ingat saya tak tahu taktik
pelajar yang suka ponteng kelas macam awak ni. Cukuplah meniru dalam
peperiksaan, ponteng kelas pula.” Badli
terus memaki dan mengait-ngaitkan kisah meniru bersama temannya pada ujian
bulan lepas.
“Ni, ni!” Badli menunjal pula kepala Zamri yang panjang
dan terpacak tinggi itu. “Dengan rambut
panjang.” Rambut Zamri yang ala-ala punk itu ditarik. Lalu dia bercekak
pinggang.
“Fesyen K-Pop, cikgu.” Zamri menjawab. Tangannya disilang ke belakang apabila
merasakan dirinya juga bersalah kerana terikut-ikut fesyen luar sehingga
terbawa-bawa fesyen itu ke dalam sekolah.
“Banyak awak punya fesyen. Dengan
seluar londeh. Awak ingat awak bagus sangat ke?
Dah pandai sangat? Kalau pandai
dan ada sumbangan pada sekolah tak apalah buat macam ini. Dahlah tak menyumbang
apa-apa, lepas itu meniru pula dalam ujian. Memang memalukan!” Badli kembali mengungkit cerita Zamri meniru
bersama teman sekelasnya yang membuatkan hati Zamri semakin mendidih-didih
jadinya. Tunggu masa sahaja hendak dimuntahkannya.
Zamri menunduk. Dalam hatinya
hanya Tuhan yang mengetahui betapa bengkeknya hatinya saat ini.
“Sekarang ikut saya ke bilik disiplin.
Saya akan masukkan nama awak ke dalam buku E-displin. Dan awak akan diberikan
mata demerit.”
“Janganlah cikgu! Saya tak salah!” Zamri kembali bersuara mengendur. Pujukan dan
suara manjanya diperlukan bagi meraih simpati dari guru Bahasa Melayu yang
sedang berangan menjadi guru disiplin itu.
“Ikut saya sekarang!” arah Badli dengan bengisnya.
“Jangan cikgu!”
“Awak ni degil betul!” Badli terlampau mengikut perasaan sehinggakan
dia menarik kolar baju Zamri sehingga membuatkan dia tertarik ke atas dan
hampir tercekik.
“Eh, eh! Kenapa ni?”
Tiba-tiba sahaja Airina muncul. Memang tepat pada waktunya. Melihatkan adegan yang cukup panas itu,
Airina berlari-lari anak mendekati Badli dengan kasut tumit tingginya. “Badli!
Lepaskan dia!” Tubuh Badli ditolaknya
beberapa kali. Namun lelaki itu, tetap gagah melampiaskan amarahnya pada Zamri.
“Cikgu, tolong saya cikgu!” Zamri sudah tercekik dengan matanya terjuling
ke atas membuatkan tawa Airina hampir terhambur keluar, namun ditahannya. Dalam
keadaan cemas seperti ini, dia perlu serius!
“Ya Allah, Badli! Bawa mengucap. Kenapa dengan awak ni.
Lepaslah!” Tak ada cara lain, akhirnya
Airina menendang kaki Badli.
Badli melepaskan pautannya pada
kolar baju Zamri dan memandang Airina tanpa berkelip.
“Kenapa awak buat dia macam
itu?” Airina menyoal Badli dengan nada
suara yang meninggi.
“See the way he dressed up. Ponteng kelas pula tu.”
“Kenapa baru sekarang? Sedangkan Zamri sudah dressed up begini sejak awal tahun lagi, kan? Dan Zamri pula tidak ponteng kelas. Tadi dia
hantar buku ke atas meja Kak Yah. Kebetulan saya ada sekali tadi.” Airina membela Zamri yang sememangnya pelajar
yang baik dan menurut perintah.
Hanya kenakalannya itu yang
terkadang menampakkan Zamri seperti pelajar samseng dan bermasalah.
“So, where’s the pass?” Badli tidak mahu kalah. Ada sahaja yang
dicari salah si Zamri itu bagi memihakkan kebenaran kepadanya.
“Awak tak beritahu ke yang pas
keluar kelas awak hilang, Zamri?” Airina
beralih pula kepada Zamri yang sedang memperbetulkan kolar seragam sekolahnya.
“Saya dah habaq. Tapi cikgu Badli tak mau percaya,” adu Zamri.
“Jadi, Badli. Lepaskan Zamri. Dia
tidak bersalah.”
“Baiklah! Kali ini saya beri peluang. Esok-esok saya
terus serahkan awak kepada guru disiplin untuk pemberian mata demerit.” Badli sempat mengugut.
“Zamri, balik kelas
sekarang.” Airina memberi arahan.
Zamri terus mengangkat kaki dari
situ dengan perasaan yang sedia bercantum menjadi satu. Perasaan takut, marah,
dan benci bersatu menjadi sebuah rasa yang dia sendiri tidak pasti. Mungkinkah
ia adalah dendam?
“Sejak bila awak pegang jawatan
guru disiplin?” Sayup-sayup sahaja
kedengaran pertanyaan yang ditujukan oleh Airina kepada Badli melalui telinga
Zamri. Hangat betul hatinya dikala ini. Tidak bolehkah guru itu bercakap
elok-elok dengannya? Ini tidak! Menghamburkan kata-kata kurang enak didengar
sahaja.
Itu tidak apalagi, ini sampai
mencekiknya. Memang hal itu yang membuatkan dia menyimpan dendam terhadap guru
lelaki itu. Nasib baik tidak ada awek yang lalu lalang di situ, kalau tidak
malu besarlah dia apabila dicekik oleh cikgu Badli. Jatuhlah martabatnya itu!
Langkah kaki dihayun hingga ke
kelas dengan wajah yang masam mencuka dan dengan pergerakannya yang menyebal.
Ia sudah cukup membuatkan sahabat karibnya itu kehairanan. Pantas mereka
bertiga mengerumini Zamri yang dengan kasar dan bebalnya menghenyakkan punggung
diatas sebuah kerusi kayu.
“Eh, kau apa hal Zamri?” Kalut Fairuz bertanya.
“Aku panaih hati betoi dengan
cikgu Badli tu!” luah Zamri dengan wajah
tidak puas hatinya. Ikutkan hati, mahu sahaja dia mencekik pula guru Bahasa
Melayu itu. Mesti dia sengaja hendak menunjukkan kemachoannya dihadapan cikgu
Airina.
“Pulak dah!”
“Dia buat apa pada kau?” Man menggosok-gosok belakang badan Zamri agar
emosi teman karibnya itu mulai stabil.
“Dia maki aku habaq kat hang. Dia tuduh aku ponteng kelas. Tak cukup lagi, dia
cekik aku... gila hang! Kebaih rengkong
aku!” Penuh perasaan Zamri
menceritakannya. Aksi dia dicekik didemokan pula pada Man yang sedang terduduk
elok disebelahnya.
Man diam tidak terkutik apabila
dilakukan itu. Mahu menepis, karang dengan dia-dia kena dengan Zamri yang
sedang beremosi itu.
“Biar betik?” Yana seakan tidak percaya. Ini butoi-butoi punya ceritalah, bukan cobaan...
“Hang nampak muka aku macam tengah
gebang ka?” soal Zamri sarkastik.
“Eh, tak! Tak!”
Yana pantas menggeleng seraya kedua tangannya diangkat dan
digoyang-goyangkan menunjukkan dia tidak mahu mencari fasal dan masalah dengan
si Zamri saat ini.
“Habis kau buat apa?” Fairuz bersuara.
“Nasib baik cikgu Airina mai tepat
pada waktu. Kalau dak, memang hampa mai nasi free ramai-ramai dekat rumah aku malam ni,” tutur Zamri.
“Cikgu Badli tu memang pulun tau
dak? Duk buat samseng boleh. Teringin
nak jadi cikgu disiplin gamaknya. Dah tu depan cikgu Airina duk buat gentlemen buleh. Ingat baguih sangat ka?” Zamri dengan loqhat utaranya.
“Fuh! Berangin betul kau, ye?”
“Tak apa! Apa-apa hal kita orang ada dekat belakang
kau.” Man memujuk Zamri yang sedang
berangin itu.
“Stail sembang muhong hampa ni. Hari tu, masa kena
marah dengan Pak Leman pasai kita duk
kacau anak dia, hampa pi mana? Aku yang
kena maki berjela dengan dia. Toleh belakang hampa lesap pi ke mana tak tau la.
Cakap susah senang sama-sama. Pirraahh!!! Mulut manis sungguh...”
Tiga sahabatnya itu sekadar
mempamirkan baris gigi mereka yang tersusun rata.
“Duk renyih-renyih. Aku tumbuk satni relai gigi sekoq-sekoq!”
Petang itu Airina asyik termenung
sahaja sambil membuaikan buaian yang dinaiknya. Man, Zamri, Fairuz dan Yana
pula sedang tekun membuat latihan Prinsip Perakaunan ditemani dan dibimbing
oleh Khatijah yang merupakan guru kepada subjek itu.
Bukan tidak tahu, kediaman mereka
tidak jauh pun daripada rumah sewa Khatijah dan Airina. Jadi, kesempatan yang
ada mereka ambil dengan meminta guru Prinsip Perakaunan mereka itu memberikan
tuisyen percuma kepada mereka.
Senakal-nakal mereka berempat, mereka
rajin juga menelaah dan belajar lebih masa. Tidaklah seperti pelajar lainnya
yang menganggap tingkatan empat adalah tahun berbulan madu.
“Buai laju-laju... sampai pokok
sena... apa dalam baju? Sekuntum bunga
raya...”
Nyanyian Airina yang semakin lama
semakin nyaring itu membuatkan Man, Zamri, Yana dan Fairuz hilang tumpuan
terhadap pembelajaran mereka. Begitu juga Khatijah. Seketika mereka mereling
Airina yang sedang termenung diatas buai itu.
“Apa kes cikgu Airina tu? Termenung jauh aje.” Man bersuara sambil memerhatikan gelagat
Airina dari jauh. Tanpa sedar, pen berdakwat biru yang dipegangnya
mengorek-ngorek seisi lubang hidungnya.
“Ala... paling koman pun berkelei dengan cikgu Badli ja,” riak Zamri penuh yakin.
Dia tahu masalah apa yang dihadapi
Airina dan Badli kerana dialah menjadi puncanya. Mungkin Badli dan Airina
bergaduh dek kerana cikgu Bahasa Melayu kelasnya itu telah menyelamatkannya
dari kekejaman Badli. Jadi, disebabkan tidak dapat melepaskan amarahnya kepada
Zamri, Airina pula yang diajaknya bergaduh.
“Tak cukup bergaduh dengan cikgu
Airil, dengan cikgu Badli pula?”
Khatijah beriak terkejut kemudiannya bertanya pula kepada Zamri.
“Tak adalah bergaduh besar sangat
macam cikgu Airina dengan sir tu.
Biasalah, orang bercinta... gaduh manja,”
ujar Zamri.
“Mana awak tahu yang cikgu Badli
dan cikgu Airina tu bercinta?” Khatijah
menyoal pula.
“Dah heboh satu sekolah,
cikgu.” Yana mencelah sambil menghirup
susu Dutch Lady miliknya.
“Tak payah heboh. Tengok cara
cikgu Badli dan cikgu Airina pun semua boleh agak. Cikgu yang satu rumah dengan
cikgu Airina, takkan tak tahu apa-apa,”
tingkah Fairuz.
“Kalau yang fasal mereka bercinta
saya tak tahu. Tapi kalau yang fasal cikgu Airina kamu dilamar oleh cikgu Badli
tu saya tahulah. Cincin tanda pun saya sudah tengok.” Khatijah bersuara mengendur.
“Hah?! Cikgu Badli melamar cikgu Airina?” Keempat-empat mereka serentak bersuara dengan
mata yang membulat.
“Biar betik?” Yana menyoal seakan tidak percaya akan apa
yang diperkatakan oleh Khatijah sebentar tadi.
“Isyyhh!! Cikgu Airina dengan
cikgu Badli tu langsung tak sesuai. Eeeeiii...
macam ikan dengan ayam. Kalau cikgu Airina dengan sir Airil, okeylah.”
“Kan? Saya pun sokong cakap awak!” Khatijah turut menyokong kata-kata Man. Tidak
sangka pula Man dan berfikiran yang sama dengannya.
“Masalahnya, bila cikgu BM bertemu
cikgu BI, tak sama macam cikgu BM bertemu cikgu BM,” ujar Fairuz.
Sebenarnya mereka berempat
langsung tidak setuju apabila Airina dan Badli bersatu. Sepertinya tidak ada
keserasian dan kimia diantara mereka berdua. Tetapi lain pula jika guru Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris mereka itu bergandingan, kelihatan seperti merpati
dua sejoli walaupun sering bertelagah dan saling bertelingkah antara satu sama
lain.
“Tapi saya cukup tak berkenan
kalau cikgu Airina pilih cikgu Badli. Cikgu Badli tu duk buat macho buleh depan cikgu Airina. Pulun pulak
tu! Tadi saya hampir-hampir mati sebab
kena cekik dengan cikgu tu.” Repot Zamri
kepada Khatijah.
Dalam masa yang sama dia meluahkan
isi hatinya yang sarat dengan rasa tidak puas hati terhadap Badli yang
mencekiknya tadi. Ini kalau direpotkan kepada polis, sahih melingkup dalam
penjara cikgu Badli itu.
Khatijah melopong. “Awak kena cekik dengan cikgu Badli? Kenapa?”
Kalut dia menyoal.
“Saya keluar kelas tanpa pas. Lepaih tu dia tuduh saya ponteng kelaih. Lagi satu sebab cara saya pakai seluaq londeh. Dengan rambut panjang.
Tapi tak tau pula apa motif dia cekik saya bukan saya pi buat tak senonoh
dengan pelajar perempuan lain pun sampai nak cekik-cekik saya.”
“Mungkin sebab cikgu Airina tolong
selamatkan Zamri tadi, sampai cikgu Badli marahkan cikgu Airina.” Yana sependapat dengan apa yang difikirkan
oleh Zamri.
“Kenapa dia jadi macam itu? Selama ini tak ada pula dia jadi macam
itu.” Khatijah masih beriak tidak
percaya. Terasa musykil pula akan apa
yang berlaku. Sedangkan sebelum ini tidak pula Badli berperangai seperti itu.
“Biasalah cikgu, orang nak tunjuk
macho depan awek,” celah Fairuz. Tidak
mahu terlepas dari mengutuk Badli.
“Dia tak puas hati sebab kau
meniru masa ujian hari itu, tak?”
Zamri mencebik dan menjongket
bahu. “Entah! Aku pun pening.” Kepalanya dipicit-picit.
“Tapi saya tetap tak setuju cikgu
Airina berkawan dengan cikgu Badli. Cikgu Badli tu pun saya tengok macam panas
baran aje. Silap-silap nanti cikgu Airina pula yang kena smack down dengan dia,” luah
Yana.
“Memang dia panas baran pun...”
“Ye ke? Cikgu tahu
mana?” Yana menyoal dengan riak ingin
tahu. Dia seperti tertarik untuk mendengar cerita sensasi terbaru mengenai
Badli itu.
“Lagi satu saya dengar cikgu Badli
tu player,” beritahu Fairuz dengan gaya dan wajah penuh
pasti. Yek-yek aje. Entah dari mana
dia dengar pun tak tahulah.
“Football player ka? Atau soundtrack player?” Zamri berseloroh.
Fairuz mengecilkan mata dan
mengangkat buku limanya ke arah Zamri.
“Kau ni, aku sekeh juga kepala kau. Biar bertelur atas kepala kau tu. Player tu membawa maksud kepada playboy. Buaya darat. Hidung belang.
Mata keranjang. Mulut temberang,”
marahnya.
Zamri melepaskan keluh sebelum
bersuara. “Apalah salah buaya, mulut,
mata dan hidung yang dikaitkan dalam peribahasa, ye? Kesian betul dia orang.” Dia kemudiannya menggelengkan kepala.
“Errmmm... eh! Cepat buat
kerja awak tu. Dah pukul enam dah. Saya nak balik sebelum maghrib.” Khatijah bersuara setelah hampir lima minit
menyepi.
“Itulah. Kita orang pun nak balik sebelum maghrib.
Lepas maghrib kita orang ada kelas BI pula dengan sir Airil dekat tuisyen,”
kata Man.
Khatijah mengerutkan dahi. “Eh, setahu saya cikgu Airil kamu tu
mengajar tuisyen bagi pelajar tingkatan
tiga dan lima sahaja sebab kelas penuh. Awak yang tingkatan empat ni pun pergi
juga?” soalnya.
“Mestilah cikgu. Kami pelajar V.V.I.P lagi tau, cikgu!” Yana tersenyum bangga dengan gaya memeluk
tubuh yang kelihatan membongkak. Kihkih...
“Dan memandangkan kami ni pelajar
V.V.I.P, kos pembelajaran adalah percuma!”
Man beriak, meniru iklan Zalora yang kerap kali dimainkan dikaca
televisyen.
“Aarrgghhh!!”
“Ooorrgghh!!”
“Uuurrghh!!”
“Eh, eh! Tiru iklan zalora pula.” Pecah tawa Khatijah melihat gelagat
pelajarnya yang tiga suku itu. “Kamu
empat orang aje ke?” Dia menyoal setelah
kembali tenang dari tawa yang hampir memecahkan pangkal hempedunya.
“Tak. Ramai lagi yang sertai. Seronok kelas tu. Sir memang cikgu paling sporting!”
“Habis, saya tak cukup sporting ke sebelum ini?” Khatijah mengangkat kening.
“Cikgu tak sporting. Cikgu cuma banyak membebel macam cikgu Airina. Tapi cikgu
berdua comel.” Zamri memuji sambil
mengenyitkan mata kepada guru Prinsip Perakaunan itu.
“Nasib baik awak cakap saya comel,
kalau tak saya tak nak adakan kelas tambahan untuk awak dilain waktu.”
Airina sedang membelek-belek majalah
Wanita yang dibelinya siang tadi di 7 Eleven. Namun, fikirannya mengerawang
memikirkan Badli yang entah kenapa menjadi singa yang membabi buta membuat
sesuatu tindakan. Dan kerana sikap panas barannya itu, hampir sahaja seorang
pelajar mati tercekik.
Telefon bimbit dikerling sesekali.
Namun, melihatkan telefon bimbit itu, hatinya mulai tidak senang. Antara mahu
atau tidak, dia berkira-kira di dalam hati. Sudahlah mesej pun tidak
dikirimnya. Selalunya dalam sehari pasti dalam sepuluh kali Badli menghantar
mesej kepadanya, namun hari ini satu SMS pun tidak diterimanya. Tapi kalau SMS
dari Celcom itu banyak sahaja diterimanya. Lain yang ditunggu, lain pula yang
datang.
Airina akhirnya terus menutup
lampu bilik. Malas pula mahu mengganggu si kepala angin itu. Entah angin
kus-kus apa yang melanda diri si teruna itu pun dia tidak pasti. Perasaan takut
juga bertandang di dalam dada. Siang tadi, si Zamri yang kena cekik,
silap-silap kalau dia sendiri berkeras untuk mengganggu si Badli itu, nescaya
pendeklah umurnya. Selagi emosi lelaki itu belum stabil, Airina tidak boleh
mengganggunya.
Akhirnya dalam gelap, Airina mampu
melelapkan mata sehingga dibuai mimpi yang menjanjikan kebahagiaan untuk anak
dara tua itu. Janji mimpi yang tidak akan pernah ditunaikan di alam realiti,
hanya sekadar bermain di dalam lena yang hanya seketika.
No comments:
Post a Comment