“Latte blog satu.” Badli terus membuat pilihan tatkala
gilirannya dan Airina tiba. Hampir lima belas minit juga mereka terpaksa
beratur panjang hanya ingin menghilangkan dahaga. Cis! Daripada mereka beratur selama lima belas
minit hanya semata untuk hilangkan dahaga, rasanya lebih berbaloi jika mereka
ke kedai serbaneka 7 Eleven. Dapat seteguk air mineral pun sudah tentu hilang
rasa dahaga. Lagilah tak sampai lima belas minit mereka perlu menunggu.
“Nak krimer atau susu?” tanya pekerja disitu dengan senyuman yang
mekar. Inilah pekerja contoh. Bukan seperti kebanyakan kedai, muka masam aje.
Tak mesra pelanggan langsung!
“Krimer,” jawab Badli ringkas.
“Letak black pearl?” Sekali lagi
pekerja gerai Cool Blog itu bertanya.
“Sudah semestinya. Letak
banyak-banyak tau.” Sempat Badli
berpesan sambil ketawa kecil. Lawaklah tu!
Kemudian dia menoleh ke arah Airina disebelah kirinya. “Awak pula?”
Airina jauh termenung ke dalam
gerai Cool Blog itu sambil berpeluk tubuh yang membuatkan wajah Badli sedikit
cuak. Bukan dia tidak perasan akan wajah Airina yang sugul seakan mengalami
masalah sejak dari dalam kereta lagi. Dia fikir dengan membeli minuman Cool
Blog itu akan dapat membantu dalam mengembalikan wajah Airina yang ceria.
Tetapi tiada hasilnya.
“Helo!” Badli mengerawangkan tangannya betul-betul di
hadapan wajah Airina.
Tiada respon.
“Helo...” Aksi yang sama dilakukan.
Airina baru sahaja tersedar
setelah hidung mancungnya ditarik oleh tangan nakal Badli. Pekerja Cool Blog
itu sekadar tersenyum melihat aksi romantik mereka itu.
Dalam keadaan blur dia bersuara,
“hah? Mmm... Haah letak pearl.” Wajah Badli dan pekerja Cool Blog yang sedang
menantikan pesanan dari mereka dipandang silih berganti.
“Letak pearl?” Badli menyoal.
Berserta tawa kecil dia menggeleng kepala.
“Awak order pun belum,” tuturnya.
“Oh ye ke?” Airina kemudian
tertunduk malu.
“Awak nak apa?” Badli bertanya penuh sabar. Untung sahaja
merekalah pelanggan terakhir pada saat itu. Kalau tidak, pastinya mereka
dimarahi oleh pelanggan yang mendapat giliran selepas mereka kerana
terkemut-kemut membuat pesanan.
“Cendol blog satu.” Akhirnya Airina menjawab lirih.
“Okey, harganya RM8.20 sahaja.”
Sekeping not RM10 dikeluarkan dari
dompet Badli. Tak gentlemanlah kalau
Airina yang kena keluarkan duit, kan?
Bakinya diserahkan kepada Badli.
Seketika, mereka berdua beriringan bersama sambil tangan mereka memegang
Cool Blog masing-masing. Badli yang merasai akan wajah Airina yang asyik
termenung itu mula rasa susah hati. Dia mencari jalan terbaik untuk
mengembalikan keceriaan Airina. Kerana ini merupakan temu janji mereka yang
pertama selain makan tengahari bersama disekolah. Jadi dia ingin mengabadikan
detik itu sebagai kenangan yang terindah bersama wanita yang kini melekat di dalam
hatinya.
Mahu dikatakan Airina tidak sudi
keluar bersamanya, tidak juga. Kerana Airina yang beria-ia mengajaknya keluar
minggu lalu. Tapi wajah Airina yang seperti memikul beban yang berat terasa
seperti mengganggu jiwa raganya saat itu. Dia pula yang susah hati!
Usai menonton wayang dan bermain boling,
mereka berdua akhirnya sepakat untuk menikmati hidangan tengah hari di KFC
walaupun jam di tangan sudah menginjak ke angka lima petang. Tadinya mereka
hanya mengambil makanan ringan agar aktiviti mereka berdua berjalan lancar.
Bukan tidak tahu, sekiranya makanan tengahari diambil secara berlebihan boleh
mengundang kantuk yang bakal merosakkan temu janji mereka berdua.
Melihatkan keadaan Airina yang
sugul itu membuatkan Badli bertolak ansur dengannya dan memilih KFC sebagai
menu tengahari mereka walaupun perutnya berkeroncong hendak menikmati nasi
berlauk ikan keli bakar dicicah pula dengan air asam di sebuah restoran yang
agak terkenal di Kuala Lumpur itu. Tetapi dia perlu melupakannya kerana dia
tahu Airina pasti tidak berselera untuk makan. Apalagi, popcorn dan air pepsi yang dibelinya beserta Cool Blog tadi masih
belum habis. Entah apa yang melanda pada diri Airina, dia pun tidak pasti. Hari
ini juga Airina tidak banyak cakap. Hendak ditanya kepada wanita itu, dia tidak
berani.
“Awak...” Akhirnya kedengaran suara manja Airina
membuatkan Badli yang sedang menikmati burger itu fokus ke arahnya.
“Ye?” sahut Badli beserta
senyuman.
Airina teragak-agak untuk
memberitahu perihalnya. Baris ayat cuba disusun rapi sebelum diucapkan. Takut
betul dia untuk meluahkannya. Taku-takut Badli mentertawakannya.
“Hampir tiga jam saya tak dengar
suara awak yang keemasan tu, tahu?”
Badli sudah tidak berminat lagi dengan burgernya. Kini, Airina menjadi
tarikannya. Rindu pula untuk berbual dengan wanita itu.
Airina tersenyum segaris.
“Tell me. Awak nak cakap apa tadi?”
Badli menyoal pula. Dia tidak tahu mengabaikan gadis itu ketika ini.
“Bila awak beli kereta?”
“Hah?” Badli agak kabur dengan pertanyaan Airina
yang selama ini dia sendiri tidak menjangkanya. Dia pula semakin pelik dengan
soalan Airina yang sebegitu rupa bunyinya.
“I meant... selepas awak berkhidmat sebagai guru, bila tahun awak
beli kereta?”
Pecah tawa Badli mendengar luahan
hati Airina. Jadi, wajah Airina yang sugul sedari tadi hanya masalah kecil
itu? Mati-mati dia fikir Airina sudah
jatuh hati dengan seseorang sehingga makannya tak lalu, tidurnya tak lenalah.
Segala bagai.
“Sebab itu aje ke yang membuatkan
awak moody macam ini?” Dia menyoal kemudian dia menggelengkan
kepala.
“Dah agak dah awak mesti akan
ketawa,” lirih Airina sedikit pilu
nadanya.
“Awak buat saya risau aje tau.
Saya ingat awak teringatkan seseorang. Jadi saya malas nak tanya takut perasaan
saya pula yang sakit.”
“Mana ada!” Airina menepis tuduhan Badli yang tidak masuk
akal. Selama dua puluh enam tahun dia hidup, mana pernah seorang lelaki pun
yang berjaya mencuri hatinya dan mendekatinya. Masakan pula dia dikatakan
teringatkan seseorang?
“Okey. Pertama, saya nak tahu
kenapa tiba-tiba terfikir mengenai kereta?
Sebab Khatijah dah nak kahwin?
Jadi dia tidak boleh tumpangkan awak lagi? Macam itu ke?” Bertalu-talu soalan yang terbit dari mulut
lelaki itu. Airina jadi pening sendiri mahu menjawab yang mana.
“Tak. Saya hanya tidak mahu
menyusahkan sesiapa. Itu aje.”
“Awak bergaduh dengan Khatijah
ke?” Badli mulai pelik. Dari nada
percakapan Airina sepertinya wanita dihadapannya itu mempunyai masalah dengan
Khatijah.
Airina masih ingat lagi kata-kata
Airil tempoh hari yang menyarankan dia membeli kereta sendiri. Betul juga
kata-kata lelaki itu. Selama ini baru dia tersedar bahawa sepanjang dia hidup,
dia hanya menyusahkan orang semata.
Dulu ibu dan abah, sekarang
Khatijah pula yang perlu menumpangkannya untuk ke tempat kerja. Kata-kata Airil
benar-benar terkesan di dalam hatinya. Tambahan pula, kelakuan lelaki itu yang
tidak sepatutnya, membuatkan dia terlampau sakit hati. Entah mengapa hatinya
juga terlalu pedih mengenangkan apa yang berlaku.
“Taklah! Kita berdua baik aje. Tak ada masalah.” Jujur Airina mengatakannya. Layanan Khatijah
terlalu sempurna terhadapnya. Mana dia mampu untuk mencari salah wanita itu.
“Really?” Badli masih belum
berpuas hati dengan jawapan Airina.
Airina melepas keluh berat dan
berpaling ke arah lain. Dia tidak berminat mahu beramah tamah hari ini. Ulasan
yang dimintanya dari Badli membuatkan dia sedikit tawar. Lain yang ditanya,
lain pula jawabnya.
“Okey, okey! Saya minta maaf.” Kemudian Badli mengangkat kedua belah
tangannya ke atas sebagai tanda dia kalah dan salah.
“Sebelum awak beli kereta. Awak
perlu buat loan. Loan pula boleh dibuat sebaik sahaja awak berkhidmat lebih dari
tiga tahun dengan kerajaan...”
“Jadi lambat lagilah saya boleh
bawa keluar kereta?” Belum sempat Badli
menghabiskan ayat-ayatnya pantas Airina menjawab. Hampa sekali hatinya tatkala
Badli memberitahu bahawa selepas tiga tahun berkhidmat baru dia dengan tiada
halangannya membuat pinjaman dan memiliki sebuah kereta untuk memudahkan
pergerakannya ke sana dan ke mari tanpa banyak bunyi dari orang lain.
Bukan dia tidak tahu, mahu
membayar deposit juga tercirit dia dibuatnya. Bukannya dia mempunyai sepuluh
ribu ringgit ditangan sebagai wang muka untuk memiliki sebuah kereta. Mahu
mengharapkan wang gajinya, mana cukup!
“Tak lambat pun. Pejam celik,
pejam celik dah tiga tahun,” pujuk Badli
mahu menenangkan hati Airina yang resah gelisah itu.
“Kalau pejam tak
celik-celik?” omel Airina dengan nada
merajuk.
“Itu masalah awaklah. Saya tak
tahu!”
“Jahat!!” Airina kemudian membaling tisu ke wajah
Badli. Namun, lelaki itu pantas mengelak dan ketawa riang.
“Ala. Sakat sikit pun tak boleh.”
Airina kembali sugul sambil
mencubit sedikit ayam KFCnya.
“Kan awak boleh tumpang Khatijah
masa pergi kerja?” Badli bersuara
setelah hampir sepuluh minit melihatkan Airina diam tidak terkutik.
“Sampai bila nak harapkan orang
aje? Nanti-nanti orang akan jemu dan
menyampah dengan kita. Tambah pula usia akak Khatijah tu bukan makin muda,
makin tua adalah. Tak mustahil dua tiga bulan lagi ada yang datang meminang.
Kemudiannya, lepas kahwin mesti dia kena duduk dengan suami dia betul tak?”
“Kalau terdesak sangat tak mahu
menyusahkan orang, awak boleh beli motosikal dulu. Rasanya dengan gaya awak
ni... saya rasa skuter sesuai kut. Mesti comel bila awak tunggang skuter.”
“Opah, ibu dan abah saya tak
benarkan saya bawa motosikal...”
Perlahan sahaja dia menuturnya seraya tertunduk. Dia teringat kembali
arwah atuknya yang meninggal dunia ketika menunggang motosikal dijalanraya.
Hampir hancur tubuh longlang itu digilis lori.
Sebak mengenangkan ia. Dan dia
masih ingat pada ketika itu dia berusia lima tahun cuma. Sejak dari itu opah
dan juga ibunya tidak membenarkan mana-mana ahli keluarga mereka menunggang
motosikal. Bahkan motosikal yang sedia ada sanggup dijual demi menghapuskan
memori pahit itu.
Badli yang sedikit kabur dengan
ucapan Airina lantas bertanya, “kenapa ye?”
Wajah Airina yang kembali sugul itu ditenungnya.
“Please, Badli... saya tidak rasa mahu menceritakannya.”
“Okey...” Badli beralah.
“Tapi awak tak payah kisah fasal
hal itu. Saya boleh tumpangkan awak.”
“Ala. Nanti bila awak dah kahwin
macam mana? Mesti isteri awak tu wrestlingkan saya.” Sengaja Airina mahu berkata begitu. Mahu
menduga apa yang bakal lelaki itu katakan kepadanya sebentar lagi.
“Isteri saya tak akan marah
punya.”
Airina agak sedikit tersentak
mendengar kata-kata Badli. Sebenarnya dia hanya menyakat si Badli mengenai
‘isteri’. Tidak menyangka Badli tidaklah serius dengannya selama ini.
Difikirnya Badli betul-betul ikhlas dan jujur tetapi tanggapannya jauh meleset.
“Semua isteri akan marah dan
cemburu bila suami mereka rapat dengan perempuan lain.” Airina berpura-pura tiada apa-apa. Rasa
hatinya itu cuba ditali pinggangkan kemas disudut hatinya.
“Senang cerita. Be my wife,” tingkah Badli lalu mengeluarkan sebuah kotak
berbentuk hati dari dalam poket seluarnya.
“Will you marry me?”
tambahnya. Dengan wajah yang serius dan penuh pengharapan dia memandang
Airina.
Airina agak terkejut dan terlopong
dengan tindakan Badli yang melamarnya di dalam restoran KFC itu. Dia
memerhatikan sekelilingnya yang rata-rata memerhatikan mereka. Malunya dia pada
saat itu.
Si Badli pun satu hal! Kalau ye
pun mahu melamar anak dara orang, carilah tempat yang sesuai dan strategik. Ini
tidak! Di tempat awam yang bersaksikan
wajah pengasas KFC dari Amerika Syarikat itu. Yang janggut dan misainya putih
sehinggakan ke atas kepala sekali putihnya.
Sebenarnya cincin bertatah berlian
itu baru sahaja dibeli sebentar tadi selepas menonton wayang bersama. Kemudian,
dia meninggalkan Airina sebentar. Alasannya mahu ke tandas. Padahal, dia
melencong ke arah sebuah kedai barang kemas. Dia sudah tidak mahu menyimpan
perasaan dan membiarkan hubungan itu terlalu lama. Dia mahu hubungan itu maju
setapak ke hadapan.
“Errr... errr...” Airina hilang kata-kata dek kerana kejutan
yang mengejutkannya yang telah dikejutkan oleh Badli. Perrghh!! Ayat sempoi!
“Will you?” Badli masih
menunggukan jawapan dari Airina.
“Kan ke kita baru aje kenal?”
“Tempoh mengenali seseorang tidak
semestinya menjamin kebahagiaan. Buktinya ramai yang berkenalan sehingga tujuh,
lapan tahun, akhirnya hubungan tak kekal lama lepas mereka berkahwin. Dan tak
semestinya berkenalan dalam masa yang singkat tak menjamin kepada keutuhan
sesebuah hubungan. Ramai diluar sana yang hari ini berjumpa, bulan depannya
mereka sudah bergelar suami isteri dan hubungan mereka kekal sampai akhirnya.”
“Tapi saya rasa masih terlalu awal
untuk saya terima cincin ini. Biarlah sekarang ini kita hanya berteman dahulu.
Mengenali hati budi masing-masing,” ujar
Airina.
Mengenai hal ini, bukanlah sesuatu
hal yang mudah. Hal perkahwinan perlu difikir semasak-masaknya sebelum membuat
keputusan. Berkahwin bukan sekadar mengelakkan diri dari gelombang maksiat dan
menyatukan dua hati semata. Tapi ia lebih tertumpu kepada tanggungjawab
masing-masing. Dan untuk itu keserasian juga perlu dititikberatkan agar sesuatu
hubungan itu kekal lama dan bertahan hingga akhir hayat.
“Mengenali awak dalam tempoh empat
bulan ni, saya sudah pasti dengan hasrat dan niat saya untuk memperisterikan
awak.”
“Awak dah fikir masak-masak?” Pantas Airina mencelah.
“Dah terlebih masak!” Dengan penuh yakin Badli menuturnya.
Airina melepaskan keluh berat.
Susah betul mahu berdebat dengan guru bahasa Melayu yang seangkatan dengannya
itu. “Awak tak akan menyesal dengan apa
yang awak buat?” soalnya.
“Kenapa awak tanya soalan macam
itu?” Badli mengerutkan dahi.
“Saya tahu awak pernah putus
tunang. Dan saya tak mahu hal yang sama berulang dalam hidup awak. Jadi ada
baiknya juga kita mengenali hati budi masing-masing dulu sebelum awak ikat saya
dengan cincin ini.”
Badli tersenyum sinis. Tubuhnya
dihempas sedikit ke penyandar kerusi dan memeluk tubuh. “Mesti Khatijah yang
beritahu, kan? Apalagi yang dia beritahu
awak?” Dia menyoal. Dari nada
pertanyaannya jelas berubah dari lembut kepada sedikit kasar.
“Setakat ini, itu aje. Kenapa?” Airina ingin tahu.
“Tak ada apa.”
“Hmmm... macam inilah... untuk tidak membazir, cincin ini biar aje
saya yang simpan. Andai kata saya betul-betul boleh terima awak, saya akan
pakai cincin ini dan saya janji dengan awak bahawa pada ketika itu saya sedia
menerima dan setia dengan awak. Jadi, dalam tempoh yang kita ada ni, bolehlah
kita gunakan untuk mengenali hati masing-masing dengan lebih dekat. Lagi pun
saya tak akan lari ke mana jika awak tidak mengikat saya.”
“Kalau macam itu, saya setuju. Tapi
tolong! Andai kata ada sesiapa dalam
hati awak selain saya tolong berterus terang. Saya tak suka dipermainkan oleh
sesiapa,” tegas Badli dengan wajah
serius. Bebola matanya tepat mengenai mata hitam Airina.
“Kenapa? Muka saya ada nampak macam orang yang suka
main-main ke?”
“Adalah sikit...” Akhirnya Badli tersengih setelah menyiriuskan
wajah. Tangannya terasa gatal sehingga mencuit hujung hidung Airina.
“Hisyyhhh! Apa ni? Main cuit-cuit hidung orang pula!” Airina pantas menepis jemari Badli.
“Eh, saya baru perasan yang awak
lebih banyak bunyi daripada saya. Mungkin sebab cincin ini tak?” Tersedar pula Badli bahawa Airina sudah
kembali berbual seperti biasa setelah hampir seharian payah sekali mendengar suara
halus milik Airina itu.
“Mana ada!” Airina malu-malu.
“Eleh, tak mengaku pula! Tengok tu pipi yang merah tu semakin merah
sudah.”
“Isyyhh! Mana ada! Jomlah,
kita balik. Dah dekat maghrib ni,” marah
Airina. Badannya juga sudah melekit kerana hampir sehari suntuk dia berjalan ke
situ ke mari.
“Nak balik habiskan ayam itu dulu.
Kalau tidak saya tinggal awak dekat sini,”
arah Badli separuh mengugut.
“Tinggallah. Saya lelong awak
punya cincin ni.” Ugutan juga berbalas
ugutan. Kotak cincin diangkatnya pula.
“Eh, janganlah!” Badli sudah mula cuak. Spontan tangannya
ingin mencapai kotak cincin yang Airina pegang. Namun pantas wanita itu
melarikannya.
“Tahu takut. Dah! Cepat makan!
Cepat habis cepat balik,” arah
Airina pula.
“Eh-eh! Siapa pula yang buli siapa ni? Kita suruh dia makan sampai habis, alih-alih
dia pula yang beri arahan dekat kita. Tadi bad
mood sangat.”
“Diamlah!”
Meletus juga tawa Badli melihat
karenah Airina yang comel itu. Apa lagi melihatkan wajah Airina ketika marah.
Semakin kuat pula hasratnya untuk memperisterikan Airina Nisya.
Walaupun dia tahu gadis itu garang
orangnya kerana bergaduh dengan teman sekerjanya iaitu Airil, namun ia tidak
membantutkan walau sekelumit niatnya itu. Biarlah Airina mahu mengambil masa
sebanyak yang mungkin asalkan gadis itu tidak pergi jauh darinya.
Airina melangkah masuk ke dalam rumah
dengan senyuman yang mekar sedari tadi. Hilang serta merta resah dihatinya bila
mana terkenangkan akan kejadian tadi di KFC. Mungkin Badli tidak seromantik
orang lain tetapi cukuplah bahasanya membuktikan segalanya. Untuk pengetahuan,
Badli merupakan lelaki pertama yang berjaya membeli hatinya.
Sebelum ini manalah ada lelaki
yang berani mendekati Airina disebabkan sifatnya yang garang tetapi orang tidak
mengetahui bahawa Airina merupakan seorang yang manis dan manja. Setiap kali
dia pergi ke mana-mana, hanya siulan dari lelaki-lelaki nakal sahaja yang
berbunyi.
Khatijah yang berbaring di atas
sofa agak pelik melihat Airina yang tersenyum meleret. Hatinya tertanya-tanya,
ubat apalah yang digunakan oleh Badli sehingga gadis itu ceria semacam aje.
Jangan-jangan mereka bercinta! Dia
menebak sendiri di dalam hati.
“Apa yang senyum-senyum macam
kambing tu?” tegurnya sambil mata
mengerling setiap langkah kaki Airina yang seakan menari sambil berjalan itu.
Langkah kaki yang baru hendak
diatur masuk ke dalam bilik terhenti serta merta. Nyanyian kecilnya juga turut
sama terhenti.
“Apa kak?” Airina menoleh.
“Hisyyhh! Sejak bila pula
Rina ni kurang daya pendengaran?” Pearl
cafe ditangan dihirup ke mulut sedikit demi sedikit. Sesekali dia meniup ke
dalam mug yang mengeluarkan asap-asap halus itu.
“Bukan main seronok keluar dengan
Badli tu ye? Tadi masa sebelum keluar dengan Badli, moody semacam aje. Sekarang dah
okey?” Khatijah menambah.
“Dah okey lepas Badli melamar
Rina,” tuturnya malu-malu dengan
senyuman kambing yang tidak putus-putus.
“Apa?! Dia melamar Rina?” Khatijah terlopong. Hampir tersembur air
pearl cafe yang diminumnya itu.
Airina mengangguk.
“Rina terima tak?” Kalut Khatijah bertanya. Pantas mug yang
dipegang diletakkan di atas meja kopi.
Airina mengatur langkah
menghampiri Khatijah dan perlahan melabuhkan punggung disebelahnya. “Rina minta dia masa.” Beg tangannya digagau mencari sesuatu dan,
“tadaaa!!!” Kotak cincin berbentuk hati
dibuka. Maka menyilaulah cincin bertatahkan belian itu.
“Cincin?” Pantas kotak cincin itu dirabut dari tangan
Airina.
Airina mengangguk lagi.
“Cantiknya...” ucapnya perlahan.
“Kan?” Airina sedikit teruja.
“Apa Rina cakap pada dia?” Mata Khatijah masih melekat pada cincin.
Perlahan dia mengeluarkan sebentuk cincin itu dan dibeleknya.
“Rina tak cakap apa-apa pun. Cuma
Rina minta dia masa. Rina tak mahu terlalu terburu-buru,” beritahu Airina, jujur dan telus.
Khatijah mengangguk. “Baguslah
kalau Rina jawab macam itu. Rina perlu fikir masak-masak sebelum menerima
Badli. Badli tu dah tiga kali putus tunang.”
“What?! Tiga kali?” Hampir luruh jantung Airina mendengarnya.
Difikirkan Badli pernah bertunang sekali sahaja. Tidak disangka pula sudah tiga
kali lelaki itu bergelar tunangan orang. Sungguh dia terkejut!
Khatijah mengangguk untuk kesekian
kalinya. “Bukan akak nak aibkan dia.
Tapi akak hanya mahu yang terbaik untuk Rina. Akak anggap Rina ni... tak ubah
macam hubungan adik beradik. Si Badli tu kalau buat keputusan tergopoh-gapah.
Dia hanya memikirkan kebahagiaan untuk hari ini tanpa memikirkan kebahagiaan
untuk masa depan.”
“Maaflah Rina. Bukan akak nak
hancurkan hati Rina. Tapi ini juga untuk kebaikan Rina. Kalau Rina keliru, Rina
boleh buat istikarah. Minta petunjuk dariNya. Andai betul Badli itu jodoh Rina,
terimalah dia. Andai kata jodoh tidak berpihak kepada kalian berdua, apa nak
buat, kan?” tambah wanita yang Airina
sendiri menganggapnya sebagai kakak.
Kotak cincin diletak diatas meja
kopi. Perlahan jemari runcing Khatijah dicapai lembut. “Terima kasih sebab akak baik sangat dengan
Rina. Akak jangan risau ye? Sebab buat masa sekarang Rina hanya mahu
mengenali dia dengan cara berkawan sahaja dulu. Rina mahu mencari keserasian
antara kita orang berdua terlebih dahulu. Rina tak mahu hubungan sekadar kekal
untuk dua tiga hari aje. Rina perlukan hubungan itu kekal sehingga akhir hayat
Rina.”
“Baguslah kalau Rina cakap macam
itu.” Khatijah sedikit lega mendengarkan
kata-kata Airina itu.
“Tapi kan, macam mana akak tahu
tentang Badli yang kononnya dah bertunang sebanyak tiga kali dan akhirnya
hubungan itu tak ke mana?” Airina
bertanya pelik. Betul juga. Dari mana Khatijah mendapat tahu hal peribadi Badli
itu?
“Kan Badli tu kerja satu sekolah
aje dengan akak. Mestilah akak tahu. Gosip apa aje yang ada dalam sekolah itu.
Semua akak tahu tau!”
Kata-kata Khatijah ada betulnya
juga. Tapi dari cara percakapan, sepertinya wanita dihadapannya ini tahu serba
serbi mengenai Badli. Tapi... entahlah!
“Iye ke? Kira akak duk
bergosip dengan cikgu-cikgu dekat situ. Cikgu-cikgu lain pula sibuk bergosip
tentang akak.”
“Kenapa pula mereka hendak
bergosip tentang akak?” Khatijah
kehairanan.
“Iyelah! Akak kan andalusia.
Anak dara lanjut usiaaa...” Airina lekas
berdiri dan menari mengejek Khatijah.
“Isyyhh!!! Jahat tau Rina
ni.” Tangan kiri Khatijah cepat-cepat
mendarat punggung Airina yang masih bergetah itu. Biasalah punggung anak dara toing-toing aje bunyinya. Tapi kalau orang sudah berkahwin... Hehe...
“Hehe... tak apalah kak, Rina nak
mandi. Dah melekit satu badan.” Kolar
kemejanya diangkat sambil buat muka busuk. Kemudian dia mencapai barang-barang
yang ditinggalkan diatas meja kopi tadi.
“Eh, itu macam plastik KFC
aje! Untuk akak ke?” Khatijah buat muka tak malu. Lagipun
petang-petang sebegitu terasa perutnya inginkan sesuatu snek yang boleh dibuat
teman menonton televisyen.
Airina menepuk dahinya. Terlupa
pula dia. “Ha! Nasib baik akak nampak. Kalau tak alamat
basilah Kentucky Fried Chicken untuk akak ni.”
Perlahan dia menapak kembali ke arah Khatijah.
“Ingat juga Rina dekat akak ye?”
“Mestilah ingat. Akak kan
satu-satunya kakak Rina dunia akhirat.”
Akhirnya mereka berdua berpelukan
sesama sendiri. Tanpa sedar setitis air mata mengalir dari tubir mata Airina.
Sebak pula dia kerana dia merupakan satu-satunya anak tunggal yang tidak
mempunyai adik dan kakak mahupun abang.
Mengenali Khatijah walaupun dalam
masa yang singkat, namun dia dapat merasakan kasih sayang dan perhatian dari
seorang kakak terhadapnya. Dia dapat merasakan keikhlasan Khatijah dalam
melayani karenahnya. Semoga hubungan mereka yang baik itu kekal sehingga
selamanya.
No comments:
Post a Comment