Siapa Kata Tak Sudi? 8

              “Hei, anak dara seorang ni tak bangun lagi.”  Maimun membebel sambil bercekak pinggang tatkala mendapati anak kesayangannya masih berbungkus di dalam comforter.
              Langkah kaki diatur menghampiri katil. Terus digoncangnya tubuh Airina dengan goncangan paling kencang yang tak pernah dibuat orang.
              Airina tidur mati sambil mengeruh perlahan.
              “Baby!  Bangunlah!”
              CengCengCeng!
              Kau orang semua mesti geli kan bila si ibu Airina menyeru nama timangan anak tunggalnya itu?  Jangan cakap kau orang, aku yang menulis ni pun nak termuntah!
              “Bangunlah, baby... Opah tunggu awak di luar tu.”
              “Hiiaaaggggghhhhhhhh!!”  Akhirnya Airina menggeliat malas.
              Maimun menggeleng-geleng kepalanya melihat telatah anaknya yang menggeliat mengalahkan baju kena spin.
              Airina masih lagi men‘spin’kan tubuhnya. Tiba-tiba...
              Prrreeeeeeeet... prett...
              “Haissyyhh!  Pengotorlah baby ni,”  marah Maimun. Cepat-cepat dia mengepit hidungnya dengan jemari.
              Airina mencelik mata sambil buat muka tak ada perasaan. Hati kering!
              “Ya Allah!  Busuknya, baby!  Kuat pula bunyinya. Muka segak dah. Tapi... Hmmm...”  Maimun menggeleng kepala. Dia sudah kehilangan kata-kata.
              “Nak buat macam mana?  Salahkan opahlah sebab kentut kuat. Kan ke dah turun dekat baby pula.”  Serak-serak basah Airina bersuara.
              “Macam manalah menumpang dengan orang dekat sana tu?”  Maimun mengomel.
              “Okey, aje. Masa nak kentut baby cepat-cepat pergi bilik air. Kentut dalam air. Tak adalah bunyi kuat sangat.”  Selamba badak Airina bertingkah. Pengotor orangnya walaupun dari zahir nampak vogue kedevas dan kemas. Namun batinnya tersiksa. Haha...
              “Pengotorlah anak ibu ni. Keruh air tu nanti,”  seloroh Maimun.
              “Keruh-keruh pun, hari itu baby siram pokok, pokok tu tumbuh subur aje. Siap berbunga lagi. Tapi kan bu, kalau baby kentut depan akak Khatijah tu sekali pun, dia takkan kata apa punya. Baik orangnya.”
              Kalau dah macam itu punya subur, mungkin namanya pokok ulam sekentut. Manalah ada pokok yang akan segar bugar bila mana disimbah dengan ‘racun’ berbisa itu, kan?  Kecuali pokok yang spesis ada kaitan dengan kentut. Macam pokok ulam sekentut!
              “Yelah!  Orang mulut manis depan. Belakang, satu sekolah heboh apa?”  Maimun menduga.
              Airina melepas peluh. Malas mahu bertekak dengan ibu kesayangannya itu.
              “Dah!  Pergi mandi. Opah tunggu awak tu. Nak masak sekali dengan baby katanya,”  arah Maimun.
              “Orite!”  Airina beraksi manja sambil mengangkat tabik. Dia bingkas bangun dan mencapai tuala yang kemas terlipat di dalam almari. Kemudian, dia melangkah keluar dari bilik menuju bilik air.
              Maimun menggeleng. Langkah kaki terus dihayun keluar dari bilik.


“Opah!”  Airina menjerit kegirangan sambil memeluk opahnya yang sedang mengupas kulit bawang dari belakang.
              “Baru bangun anak dara?”  Opahnya menyoal.
              Airina mengisyaratkan satu anggukan.
              Opahnya menggeleng.  “Apa nak jadi ni hah?  Dahlah malas kemas rumah. Masak pun tak reti. Macam mana nak kahwin?”  Dia mengomel sambil tangan masih ligat mengupas bawang.
              “Kahwin macam itu ajelah,”  tutur Airina tak ada perasaan.
              “Ha, macam itu ajelah. Cukup bulan orang ceraikan.”
              “Isyhh!  Opah ni doakan orang macam itu pula.”
              “Bukan mendoakan. Tapi mengingatkan supaya awak tu ada ikhtiar nak majukan diri. Ingat sikit, umur awak tu dah nak masuk tiga puluh tahun dah.”  Sedap mulut aje opah Airina meneka umurnya yang masih dalam lingkungan 20-an.
              “Banyaklah opah punya tiga puluh. Orang baru masuk dua puluh enam tahun.”  Airina memperbetulkan ‘tiga puluh tahun’ yang disebut neneknya itu.
              “Empat tahun lagi cukuplah tiga puluh tahun.”
              Airina berdecit.  “Ala!  Lambat lagi,”  riaknya.
              “Lambat lagi, lambat lagi!  Habis awak nak kahwin umur berapa?”  soal opah agak tegas bunyinya.
              Airina mencebik. “Calon pun tak ada.”
              Opahnya melepas keluh. Ada banyak!  Tapi dia aje yang terlebih angin kus-kus. Manalah orang mahu! 
              “Carilah calon cepat-cepat sikit. Entah empat tahun lagi opah dah tutup mata macam mana?”  Dia cuba bermadah berhelah untuk meraih simpati dari cucu kesayangan.
              “Isyyhh!!  Apa opah cakap ni?”  marah Airina.
              “Yelah!  Opah dah tua. Bila-bila aje boleh padam. Jadi cepat-cepatlah kahwin.”
              “Macam mana nak kahwin, kalau malas kemas rumah. Masak pun tak berapa nak pandai?”  Airina cuba berdalih.
              “Sebab itu opah membebel. Opah nak kasi semangat membina pada awak supaya awak tu rajin kemas rumah. Selalu ke dapur. Basuh kain. Buat itu ini. Baru namanya anak dara.”
              Airina berdecit.
              “Cet, cet, cet aje kerjanya!  Dah pergi kupas kulit udang dekat sinki tu. Kejap lagi nak buat sambal.”  Opahnya mengarah.
              “Eiiiuuu... busuklah opah!”  Airina buat muka busuk.
              “Eiiiuuu... eiiiuuuu...”  Opah Airina mengajuknya dengan gaya mulut itik.  “Jaga sangat tangan dia tu. Nanti dalam kubur nanti tangan tu hancur dan busuk juga,”  perlinya. Tapi si Airina ni bukannya makan saman. Hati kering orangnya.
              “Tapi opah...”
              “Tak tercapailah hajat kita ni nak timang cicit sebelum tutup mata...”
              Airina tarik muncung sedepa.  “Yelah, yelah!”  Dia terus menghayun kaki ke sinki.
              Opahnya dibelakang sedang mentertawakannya sambil memekup mulut. Eleh!  Kontrol ayu pula opah Airina ni!  Nak gelak, gelak ajelah kuat-kuat...


Airina agak sibuk memeriksa kertas ujian Bahasa Melayu kelas 4 Sains1. Dia lebih gemar memeriksa kertas ujian pelajar kelas itu berbanding kelas-kelas lain kerana kebanyakan dari kelas belakang-belakang hanya mencoret ayat-ayat merapu dan entah apa-apa. Dia pun tekanan hendak membacanya.
              Sedang dia memeriksa kertas ujian Bahasa Melayu itu, dia terlihatkan satu nama yang tidak asing pada dirinya. Zamri!  Segera kertas si pemilik nama itu dicapai dan diperiksa.
              Airina tersenyum tatkala membaca hampir tiga per empat karangan bahagian rumusan. Walaupun suka loyar buruk dan tutur bahasanya Kedah piaauuww, namun gaya bahasa yang ditunjukkan di dalam karangan rumusannya cukup membanggakan.
              Dia terus mencari kertas ujian milik Man untuk dibandingkan.
              “Ceih!!!  Tiru!  Nak kena dia orang berdua ni!  Siap kau orang!  Tunggu buka sekolah nanti!”
              Mustafa yang sedang membaca surat khabar, terbantut perbuatannya itu tatkala teriakan Airina mengatasi fokusnya.  “Apa yang terjerit-jerit tu, baby?”  tegas dia bersuara.
              “Entah baby ni. Terkejut ibu,”  luah ibunya yang kebetulan ke situ sambil membawa sedulang air untuk diminum.
              “Ni ha, bu, abah. Budak-budak baby meniru. Siap dia orang nanti!”  hambur Airina sambil mencekak pinggang. Macamlah orang takut!
              Opahnya yang sedang duduk bersila sambil menjahit baju sekadar menggeleng kepala melihat karenah Airina.
              “Ala!  Nama pun budak-budak, biarkan ajelah!”  Abahnya mengambil ringan soal tiru meniru itu.
              “Biar abah cakap?”  Airina melenting.  “Dalam ujian dan peperiksaan haram meniru. Dia orang ni dah besar tapi meniru. Memang memalukan!”  Beremosi sekali minah senget seorang ni.
              “Tahu pula kamu yang meniru haram!  Dah besar tapi masih meniru kononnya memalukan. Yang kamu tu dulu masa sambung tingkatan enam, tapi meniru juga. Lagi memalukan!  Opah yang tebal muka awak tahu tak?”
              Haha... Kantoi!
              “Mana ada!”  Airina mati-mati menyangkal.
              “Tak payah nak nafikan baby oi. Abah ni ha yang lagi tebal muka jumpa cikgu kamu. Dahlah cikgu kamu tu cantik orangnya.”
              “Auuucchh!!”  Seketika Mustafa mengaduh.
              “Amboi, abahnya!”  Maimun mencekak pinggang.  “Apa kena mengena cikgu cantik dengan malu?  Ada niat nak pasang lain ke?”  Dia menduga.
              “Mun, mun!  Awak ni macam timun!  Suka fikir yang bukan-bukan. Awak macam aje tak tahu yang saya ni pemalu dengan orang cantik.”  Mustafa cuba berdalih. Lelaki semua sama!  Cewah!  Ayat perempuan bila marahkan lelaki, macam itulah bunyinya.
              “Dengan saya abang tak malu pun?  Maknanya saya tak cantiklah?”
              “Abang tak cakap... Mun yang mengaku.”  Serentak itu, hinggap cubitan kedua pada perut boroi suaminya. Hmmm... Rumah tangga bahagialah katakan. Hik hik...
              “Adoi!!  Sakitlah Mun oi.”
              “Abanglah cakap saya tak cantik.”  Maimun tarik muka empat belas.
              “Kalau tak cantik saya tak kahwinlah dengan awak.”  Mustafa mengayat bininya. Walaupun tak sebegitu romantik, namun kedengaran dan kelihatan sweet gitu.
              Airina dan opahnya menggeleng kepala melihat adegan ‘sweet’ orang tuanya itu  (tangan di dada, mata ke atas).
              “Mak, makan cucur udang ni ha,”  pelawa Maimun. Teko yang berisi teh tarik berasap halus, dituang ke dalam setiap cawan.
              “Ha, iyelah.”  Opah bingkas bangun dengan wajah berkerut. Biasalah, orang tua!  Sakit kepala lututlah, sakit uratlah, sakit tualah. Macam-macam...
              “Opah, opah!  Dekat dusun ada durian tak?”  Airina bertanya riang sebaik opahnya menghenyak punggung dihadapannya.
              “Ha, ada!  Belambak.”  Opahnya beriak selamba sambil menikmati cucur udang yang terhidang.
              “Wah!  Best ni.”  Airina teruja.  “Petang nanti kita pergi nak tak, bah?”  Soalan beralih kepada abahnya pula dengan mata yang terkelip-kelip.
              “Sorry, baby!  Petang ni abah nak pergi memancing dengan jiran sebelah.”
              “La... habis, bila kita boleh pergi?  Baby hari Jumaat ni nak balik KL dah.”  Airina beriak hampa namun manja kedengaran.
              “Esok boleh?”
              “Boleh sangat!  Tapi janji esok tau!”
              “Janji!”
              Maka bersilanglah anak jari dua beranak itu mengikat janji. Bak kata peribahasa, lembu terikat oleh tali pada hidungnya, namun manusia terikat pada janji yang dilafaznya.


Malam itu Airina menyertai keluarganya menonton televisyen diruang tamu.
              “Buka siaran lain!”  arahnya tegas.
              Semua disitu memandang Airina dengan pandangan curiga dan penuh sangsi.
              “Dah baby ni kenapa?  Bukan ke baby yang suka sangat tengok cerita Korea ni?”  soal Maimun pelik. Mana tidaknya, sebelum ini anak tunggalnya itulah yang paling agresif merebut remote Astro untuk menonton saluran One HD. Sampaikan dia dan suaminya hendak menonton berita pun terganggu dek perbuatan anaknya itu.
              Airina secara tiba-tiba teringatkan Airil yang kononnya kacukan Korea. Bila mengenangkan itu, hatinya membengkak. Saat-saat mereka berkelahi terus bermain diminda.
              “Baby cakap buka siaran lain, buka ajelah siaran lain,”  tingkahnya lantang sambil memeluk tubuh dengan wajah cemberutnya.
              “Ini mesti ada apa-apa yang baby sembunyikan dari abah dengan ibu ni.”  Mustafa berprasangka.
              “Tak ada apalah!”  bohong Airina.
              “Sebab lelaki ke ni yang marah sangat ni?”
              “Tak!”  Dengan ego Airina menjawab.
              “Cucu opah dah ada calon menantu cucu untuk opah, ye?”  Cik Som mahu membongkarkan rahsia cucunya. Dia tahu cucunya itu selalu cemerkap dalam berkata-kata. Pasti akan terkantoi semuanya!
              “Eeiii!!  Simpang malaikat empat puluh empat!  Tak kuasa orang nak pilih dia sebagai suami orang.”
              “Jadi, betullah sebab lelaki ni?”  Mustafa membuat andaian yang pasti.
              Oooppsss!!  Baru Airina perasan bahawa dia sudah terlepas cakap.
              “Kenapa yang baby marah sangat dengan budak lelaki tu?”
              “Abah tahu tak dia tu lelaki paling menjengkelkan?  Dia buli baby!  Dia suka tarik telinga baby macam ini.”  Airina menunjukkan demo kepada abahnya.
              “Aduh!  Aduh!”  Mustafa menyeringai sakit bila mana telinganya menjadi bahan eksperimen.
              “Macam itulah dia tarik telinga baby!  Ada ke patut?”  riak Airina seraya melepaskan tangannya dari menarik telinga abahnya.
              Mustafa menggaru telinganya yang gatal dek penangan tangan kasar anaknya itu.  “Macam mana dia tarik telinga baby?  Macam ini ye?”  Dia kini membalas perbuatan anaknya kepadanya tadi.
              “AuuwwAuuww!”  Airina terjerit.
              “Apa abah ni?  Sakitlah!” marahnya.
              “Yang baby tarik telinga abah ingat tak sakit ke?”  Mustafa bercekak pinggang.
              Cik Som dan Maimun hanya mampu menggeleng kepala sahaja.
              “Baby... baby... baby, sorry!”  Maaf dipinta dalam ego.
              “Banyaklah baby punya sorry. Tahulah baby memang dengki dengan telinga abah yang leper ni. Bukan macam telinga baby yang capang ikut ibu tu,”  omel Mustafa geram.
              “Abah dengan budak lelaki tu sama aje!”  Hati Airina semakin membengkak.
              “Jangan benci sangat baby, oi!  Nanti tak fasal jadi menantu ibu dengan abah pula,”  celah Maimun.
              “Alhamdulillah... dapatlah opah menimang cicit tahun ni.”  Cik Som memanjat syukur sambil menadah tangan. Lalu, dia mengaminkan bicaranya itu.
              “Opah ni!”  Airina menjeling.
              “Kalau tak mahu, jangan benci sangat. Takut lama-lama benci makan diri. Dari meluat bertukar sayang.”
              Airina menyebal. Segera dia meninggalkan ruang tamu itu sambil menghentak-hentakkan kaki.


Mereka berempat melangkah keluar dari perut Avanza. Masing-masing hanya steady kecuali Airina yang agak teruja sambil terloncat-loncat mengalahkan spring yang hilang arah punca. Toing, toing!   Okey, merapu!
              Sekeliling dusun yang bersih tanpa dedaun kering dan lalang-lalang yang menebal dipandang Airina dengan senyuman mekar sedari tadi. Walaupun cuaca agak panas, namun oksigen yang dilepaskan pepohon durian disitu memberikan suasana sejuk, ceria dan damai kepada sesiapa sahaja yang datang.
              “Siapa yang bersihkan dusun ni opah, abah?”  Segera Airina menoleh mencari wajah opah dan abahnya yang dibelakanginya.
              “Assalamualaikum!”  Sayup-sayup satu suara menjelma, menampar gegendang telinga mereka empat beranak.
              Mereka semua menoleh ke arah datangnya suara itu. Dari jauh sudah kelihatan si pemilik suara sedang terkinja-kinja mendapatkan mereka berempat sambil menjinjit bakul.
              “Ha, dia tu le yang bersihkan dusun ni. Panjang pun umur dia,”  beritahu opah penuh pasti dan seratus peratus yakin. Hei, seratus persen cintaku.. uwu... uwu... Hei, hei, hei!  Hanya untukku!
              Hei, hei, hei!  Jangan mengarutlah boleh tak?!
              “La, Pak Mat rupanya. Dia buat apa sekarang opah?”  tanya Airina sambil memerhati langkah kaki lelaki tua itu dengan senyuman yang tidak lekang sejak tadi.
              “Dia sekarang on the way ke mari sambil bawa bakul-bakul.”
              Airina berdecit tatkala ada jawapan yang menjengkelkan terbit dari mulut diantara mereka bertiga.  “Maksud baby... dia buat kerja apa sekarang?”  Dia mendengus geram.
              “Tak payah duk buat slow sangatlah baby oi. Baru aje opah cakap tadi yang dia bersihkan dusun ni. Dia nak kerja apa lagi?  Itu ajelah kerja yang dia boleh buat di kampung ni.”  Maimun sudah mula bersuara.
              “Mana tahu dia buat kerja-kerja lain. Ternak ayam ke, rusa ke, buaya ke?”  Airina menjeling.
              “Bang Mus!”  Pak Mat menegur.  “Allah!  Lama tak jumpa,”  tuturnya agak ceria sambil bersalaman dan berpelukan dengan Mustafa.
              “Ha, itulah fasal. Durian macam mana?  Laku ke?”  Mustafa bertanya.
              “Alhamdulillah, banyak laku. Tapi area Perak ni tak laku sangat. Sebab sini kan memang banyak dusun durian, jadi orang tak hairan sangat raja buah ni,”  tutur lelaki tua yang berkumis tebal itu.
              “Habis, cakap laku?”  Airina menyampuk, agak tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Entah dari manalah asal si Airina ni?  Ada aje benda dan idea yang nak dijawab dan dibalasnya.
              Ini kalau dihantarnya si Airina ni pergi berperang, Insya-Allah, dialah orang pertama yang syahid dijalan Allah sebab mulutnya yang pot pet, menyebabkan musuh senang nak detect lokasi lawannya berada.
              “Pak Mat jual pada pembeli-pembeli luar. Macam Kedah dan Perlis banyaklah yang ambil durian-durian ni.”
              “Oh.”  Airina mengangguk. Barangkali sudah puas hati dengan jawapan yang agak munasabah memasuki corong telinganya.  “Untung banyak ke?”  tanyanya pula. Terlebih ramahlah pula!
              “Bayangkan dalam tiga hari dah pungut dekat dua ribu ringgit.”
              “Huiyooohh!!”  Airina beriak terkejut dengan hidungnya kembang kempis mencari oksigen.  “Banyak tu!  Kayalah opah!  Ini kalau orang kerja cikgu pun tak untung macam ini,”  tingkahnya keanak-anakan.
              “Kalau opah mengupah Pak Mat dari dulu lagi kan dah ke kaya kita.”  Airina menambah.
              “Apa pula kita yang kaya?  Opah seorang ajelah...”
              “Ala opah ni, cakap susah senang sama-sama. Masa opah susah, orang yang berada disamping opah, tapi bila opah dah senang-senang opah nak bolot seorang aje. This is not fair!”  Airina beremosi dengan gaya garang manjanya yang barangkali dilihat sweet-sweet oleh orang tuanya namun, kelihatan menjengkelkan pada mata tupai-tupai di atas pokok durian itu.
              “Nak fair and square, awak tu kena kasi opah cicit, baru opah boleh kongsi senang opah dengan awak.”  Opahnya tidak mahu kalah. Sama ajelah kedua mereka. Ke mana tumpahnya air kalau tak ke dalam cawan?  Hmmm....
              “Apa fasal pula macam itu?”  Berkerut dahi Airina menanti jawapan dari sang opah.
              “Yelah!  Awak ambil opah punya kaya. Opah pula nak cicit opah. Adillah itu namanya. Kita saling bertukar hak milik.”
              “Ini tidak adil!  Opah nak cicit buatlah sendiri. Orang ni bukannya kilang bayi. Huh!!”  Pantas langkah kaki dihayun tatkala baris ayat itu sedia terlontar dari bibirnya.
              “Pak Mat!  Cepatlah!  Rina nak panjat pokok, nak petik buah durian,”  teriak Airina yang agak jauh dari mereka. Satu dusun itu bergema dengan ‘kelunakkan’  suara Airina yang menyebabkan lutong-lutong dan sepupu papatnya lari bertempiaran. Barangkali terkejut dengan suara nyaring si pemilik suara itu.
              Itulah gayanya orang bodoh sombong. Sungguh tak pernah dibuat orang nak pergi panjat pokok durian untuk memetik buahnya. Adeh!!  Macam manalah boleh lulus si Airina ni jadi seorang guru. Itu tak apa lagi. Ini yang guru Bahasa Melayu tu yang tak tahan!  Kalau jadi guru pendidikan seni ke, guru sivik ke okeylah juga. Ini, tidak!  Memang tahap faillah, kan?  Haisyyhhh!!  Hentam sajalah labu...


Airina menikmati setiap ulasan durian sehingga menjilat jari. Hampir sepuluh biji buah durian yang dikopak hanya untuk dilahapnya seorang diri. Baginya durian di dusun opahnya ini datang setahun sekali cuma. Dahlah tu, buahnya percuma pula. Memang durian runtuh betul!
              “Udah-udahlah tu baby oi!  Nanti panas satu badan pula. Nak makan tu beringat samalah.”  Mustafa berpesan dengan penuh hikmah kepada anak kesayangannya.
              “Ala, abah ni!  Bukannya selalu pun nak makan durian percuma macam ini.”
              “Memanglah bukan selalu makan durian banyak-banyak. Percuma pula tu, kan?  Tapi penyakit datang selalu. Ubatnya pun bukan selalu boleh sembuhkan penyakit,”  celah opah penuh hikmah.
              Airina buat dek sebaliknya wajah menahan nikmat tatkala menjilat isi durian dipamirkan.
              Sakit hati betul tengok lagak si minah senget itu,  bicara salah seekor nyamuk di situ.
              “Beringat samalah baby, keturunan kita ni ada penyakit kencing manis. Nanti tak fasal-fasal, muda-muda lagi dah kena potong kaki.”  Maimun menegur sambil menelaah surat khabar. Sengaja dia hendak menakut-nakutkan anaknya.
              “Bukan selalu...”  Airina mengejek dengan gaya mulut itik.
              “Menjawab, menjawab!”  Maimun bercekak pinggang satu set dengan jegilan maut yang dipersembahkan kepada anak sulung sekaligus anak bongsunya itu.
              Pak Mat dan Mustafa hanya menggeleng melihat karenah Airina yang mengalahkan budak-budak. Budak-budak pun berperangai sedikit matang berbanding guru Bahasa Melayu itu.
              “Anak-anak Pak Mat mana?”  Airina bertanya, menghapuskan kesunyian dicelah-celah dusun itu tatkala masing-masing sedang bersantai diatas tikar mengkuang yang sedia terhampar sambil menikmati hembusan sepoi-sepoi angin yang bertiup.
              “Anak-anak Pak Mat semua dah kerja belaka. Dah kahwin pun ada. Dia orang semua duduk di bandar,”  tuturnya. Tangannya fokus mengopak buah durian untuk hidangan dan santapan Airina.
              “Oh, jadi Pak Mat tinggal seoranglah?”
              Pak Mat mengangguk.
              “Eiii... tak takut ke?”  Airina buat muka geli namun tetap comel dipandang. Huhu...
              Pak Mat berhenti dari tugasnya seketika.  “Takutlah juga,”  tingkahnya, lalu menyambung tugas mengopak buah durian yang tergendala untuk sesaat tadinya.
              “Habis takut-takut pun, duduk seorang diri juga.”  Airina menjawab. Satu ulas durian yang kekuningan lagi dikulumnya.
              “Itulah!  Pak Mat nak  meminang Rina hari itu, Rina tak nak. Kalau tak kita boleh sama-sama duduk di sini. Usahakan dusun durian ni pun kaya juga kita.”
              Airina buat muka geli.  “Eiii... tak naklah orang!  Orang ni muda lagi. Nak juga yang fresh-fresh.” 
              Memang cabul betul mulut si Airina sehingga sanggup mencabuli hak asasi Pak Mat. Jatuhlah martabat Pak Mat!
              “Eh, Pak Mat fresh lagi apa?”  Lelaki tua itu tetap menyangkal.
              “Fresh apanya kalau anak dah besar-besar belaka?  Tak naklah orang.”  Petah Airina menyuarakan apa yang ada di benak fikirannya.
              “Pak Mat ni siap dah bercucu tapi tetap fresh lagi tau. Dah sepuluh tahun Pak Mat menduda tau. Sepuluh tahun juga Pak Mat tak pernah mandi junub. Jangan main-main...”  
              Maimun dan Mustafa tutup mulut menahan tawa yang hampir meletus tatkala Pak Mat menyuarakan diari kisah hidupnya yang barangkali dianggap agak privasi oleh kebanyakan suami isteri.
              “Tengok tu!  Ada perkataan duda. Tak naklah orang. Orang ni teringinlah juga yang masih teruna. Bukan macam Pak Mat yang sudah diragut terunanya. Hehe...”
              “Amboi!  Mulut tu coverlah sikit. Cakap lepas aje.”  Maimun mencelah. Bukan main lagi anak daranya seorang itu mengutuk-ngutuk ‘suami tunggal’ itu.
              “Ala, Pak Mat tak kecil hati dengan orang, kan?  Kan Pak Mat, kan?”  lagak Airina sedikit manja sambil merasuah senyuman kepada Pak Mat.
              “Siapa cakap tak?  Pak Mat kecil hati ni.”  Daripada steady, tiba-tiba sahaja Pak Mat buat-buat sedih dan cuba menagih simpati dari si dara. Hik hok...
              “Ala, sorrylah Pak Mat.”  Airina mendekati Pak Mat. Dia cuba mengayat lelaki tua itu.
              “Sorry naik lorilah!”
              “Alolooo Pak Mat kuci-kuci...”
              “Nak sorry, Rina kena buatkan tempoyak untuk Pak Mat kejap lagi, boleh?”  Pak Mat mengusul cadangan bernasnya.
              “Eh, eh!  Apa punya denda ni?  Orang manalah pandai buat tempoyak.”  Airina tarik muka seraya memeluk tubuh. Makan, tidur, kerja memang itu sahajalah rutin hariannya. Tetapi bab-bab memasak memang boleh membuatkan tekaknya berasa loyar semacam.
              “Nun senior Rina ada tu.”  Terjuih bibir Pak Mat ke arah opah yang sedang nyenyak tidur di atas tikar mengkuang beralaskan lengan sebagai pelapik kepala.
              Airina menoleh pada opahnya. Spontan keningnya saling bertautan.  “Malaslah...”  Dia merungut seraya pandangan beralih kepada Pak Mat disebelahnya pula.
              “Hati Pak Mat ni kecil aje tau. Kesian Pak Mat dahlah sebatang kara, anak pula...”
              “Yelah, yelah!”  Airina mengalah.  “Banyak songehlah Pak Mat ni.”  Dia membebel. Tak habis-habis hatinya mengutuk si Pak Mat yang kuat sentap itu.
              “Tapi kalau tak sedap padan muka Pak Mat tau.”  Sempat dia menambah.
              “Jangan risau. Kalau tak sedap Pak Mat kawtim dengan abah Rina untuk terima pinangan Pak Mat untuk Rina.”
              “Abah!!  Ibu!!  Tengok Pak Mat ni!!!”
              Mereka semua ketawa, begitu juga opahnya yang walaupun sedang nyenyak tidur. Entah mimpi apalah wanita tua itu disiang-siang buta begitu. Mimpi kahwin dengan anak raja mungkin...


Usai menyantap makan malam dan bersolat isyak dirumah Pak Mat, satu keluarga itu berangkat pulang ke teratak mereka yang tidaklah sebegitu jauh daru dusun durian opah. Hanya empat puluh minit perjalanan sahaja untuk mereka sampai ke destinasi yang hendak dituju.
              Apa fasal malam ni panas semacam aje?  Airina berbisik sendiri sambil mengibas-ngibas kolar baju Tnya. Duduknya di tempat duduk paling belakang di dalam Avanza sudah tidak tentu arah.
              “Bah, dah berapa lama abah tak pergi servis kereta ni?”  Airina menyoal dengan nada marah.
              Mustafa agak kehairanan. Cermin tengah dipandang untuk memerhatikan anaknya yang sedang mengadu. “Eh, abah baru aje servis kereta ni tiga bulan lepas. Kenapa?”  Dia menyoal pula.
              “Kenapa penghawa dingin kereta ni macam tak berfungsi aje?”
              “Tak berfungsi awak cakap?”  Kembang kempis hidung opah.   “Opah ni dah terasa macam duduk di New Zealand awak tahu tak?  Orang bukan main sejuk lagi, dia boleh cakap penghawa dingin kereta ni tak berfungsi?  Haissyyhhh... macam-macam!”   Opah menggeleng kepala sambil berpeluk tubuh. Tubuhnya sedikit menggigil menahan sejuk.
              “Habis kenapa panas semacam aje kereta ni?”
              Maimun melepas keluh.  “Duduk belakang, mana nak kenanya penghawa dingin tu?”
              Airina dapat idea. Betul juga!  Tanpa adab, terus dia memanjat sit dihadapannya.
              “Hei!  Ya Allah!  Anak dara seorang ni?  Perangai mengalahkan kera ajelah.”  Opah terkejut melihat tindakan Airina yang sungguh tak disangka tak diduga. Huk huk...
              “Mus, kau tengoklah anak kau ni!  Meragas bagai. Ya Allah!  Benda boleh dibuat secara sopan, tetap nak meragas-ragas pula,”  omel opah lagi agak kalut.
              “Baby ni apa tu?  Cuba buat perangai senonoh sikit.”  Mustafa yang sedang memandu agak terganggu fokusnya. Cermin tengah dikerling beberapa kali. Sesekali matanya fokus ke jalan agar pemanduannya tidak tersasar arah.
              Airina buat dek. Dia duduk dan mencari suhu yang agak sejuk untuk tubuhnya.  “Bah, bu!  Kenapa panas sangat ni?”  Dia sudah tidak duduk diam. Kolar baju Tnya dikibas-kibas ke arah lehernya.
              “Panas sangat ke cucu opah ni?”
              “Panas!!”  Airina sudah mengibas-ngibas tangan pula ke wajahnya.
              “Jangan-jangan ini sebab durian tadi tak?”  Opah mulai mengesyaki durian yang dilahap Airina tadi punya hal yang membuatkan cucu kesayangannya jadi panas sebegini rupa.
              “Itulah baby ni!  Abah dah pesan jangan makan banyak sangat. Kan dah panas satu badan.”
              “Abah janganlah membebel. Baby panas sangat ni. Dah tak tahan!”  Airina menggelupur kepanasan.
              “Bang, anak kita ni dah tahap serius ni!  Kita hantar ke hospitallah, bang!”  Maimun sudah kalut. Sesekali kepala dijengul kebelakang bagi memantau anak tunggalnya.
              “Cuba kau orang singgah pergi farmasi dekat sebelah sana tu. Hari itu mak tengok iklan televisyen, orang tu panas sebab makan durian, terus dia minum air badak cap kaki tiga kate ko...”
              “Ha, yelah!  Yelah!”
              “Sabar baby, sabar!”  Tangan Maimun menggosok paha Airina.

              “Arrrrgggghhhhhh!!!!!”

No comments:

Post a Comment

Bacaan Buku Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat

Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...