Siapa Kata Tak Sudi? 7

              Pagi itu sunyi sekali. Yang kedengaran hanyalah kicau burung yang berterbangan ke sana dan ke mari. Dia memerhatikan keindahan laman sekolah itu dari tingkat dua. Gunung ganang yang terlihat dipandang penuh kusyuk sambil menghirup udara pagi yang nyaman lagi segar.
              Langkah kaki mula diatur untuk mengawas pelajar yang sedang disajikan dengan kertas ujian Matematik Tambahan. Dari luar koridor dia melangkah masuk ke dalam kelas 4 Sains1 melalui pintu belakang dan...
              “Man!  Zamri!  Saya dah letak awak jauh-jauh pun awak masih lagi nak meniru.”  Airina bercekak pinggang.
              “Mana ada kami meniru cikgu!”  Zamri menafikan.
              “Habis kalau bukan meniru, apa tu?”  soal Airina garang.
              “Kami berinteraksi melalui isyarat tangan aje cikgu.”  Man mencelah mempertahankan dia dan sahabat terlebih karibnya itu.
              “Ha!  Itu dikira meniru juga tau. Dalam peperiksaan besar nanti awak tak boleh nak berinteraksi dengan kawan-kawan awak melalui apa cara sekalipun. Baik isyarat tangan, isyarat mulut, isyarat hidung, isyarat mata, semua tak boleh!  Tak kisahlah apa alasan awak sama ada berniat hendak meniru atau pun awak bertanyakan waktu bahkan apa sekali pun, awak dianggap meniru.”
              Zamri berdecit.  “Itu peperiksaan besar. Tapi hat ni ujian kecil ja. Pakat halallah cikgu.”  Dia bertingkah tak ada perasaan.
              Airina bercekak pinggang.  “Tahun depan awak SPM. Latihlah diri dari sekarang supaya awak terbiasa dengan semua ni, jadi tahun depan dengan mudah dan yakinnya awak menjawab soalan SPM nanti.”  Dia mensyarahkan Man dan Zamri. Dalam masa yang sama, ia tertuju kepada pelajar-pelajar kelas 4 Sains1.
              “Lapor aje pada pengetua!  Baru padan muka dia orang.”  Yana memberi cadangan. Namun, mata dan tangan fokus pada kertas ujiannya.
              “Woi, hang ni kalut betuilah!”  Zamri memarahi Yana. Keningnya kini saling bertaut. Dah macam cendawan game Mario kau!
              Yana buat dek. Malas mahu layan si mulut becok versi Kedah itu.
              “Entah kau ni. Diam-diam sudahlah. Karang cikgu betul-betul kasi tahu pengetua, aku akan pastikan kau makan ikut telinga nanti,”  ugut Man. Bukannya betul sangat amarannya tu. Lebih kepada menakut-nakutkan aje. Padahal dia tu jenis mudah kasihankan orang. Yana pun sudah lali dengan ancaman yang tak berapa nak di‘tepati’ sangat tu.
              Airina mengangguk dengan senyuman. “Bagus idea awak, Yana. Nanti saya belanja awak minum di kafetaria.”
              Yana melepas keluh perlahan sambil bersandar pada kerusi.  “Saya ni hanya berikan cadangan aje. Tapi kalau dah cikgu nak belanja, saya terpaksa redha dan mengikhlaskannya,”  tuturnya selamba. Dia menggeliat malas di atas kerusi itu.
              “Saya pun nak juga cikgu. Time-time tengahari nanti pekena ayaq aih. Peerrgghh!!  Macam gini...”  Zamri mengangkat thumbs up. Dia pun nak juga, kan.  Bagi pi!  “Habaq dekat cikgu.”
              “Saya pun nak juga cikgu!”  Man bersuara kalut.
              Airina mencekak pinggang.  “Awak berdua dahlah meniru. Lepas itu dengan tak malunya nak sertai Yana,”  bebelnya.
              “La... dah habaq dah sungguh haih kami tak meniru,”  temberang Zamri. Dia mati-mati meyakinkan guru Bahasa Melayunya itu.
              Airina menggeleng seraya telunjuk dihala ke atas dan ditarikan ke kanan juga ke kiri.  “Tak ada. Awak tetap dikira meniru. Nanti saya akan adukan pada pengetua dan guru subjek Addmath awak tu.”
              “Cikgu janganlah buat kita orang macam ini. Tadi Zamri tanya saya jam pukul berapa.”  Man memberitahu.
              Dia menoleh pula kepada Zamri dengan wajah bengis.  “Ni kau punya fasallah ni, Zamri. Aku pula yang kena,”  omelnya pada Zamri.
              Zamri mencerlung. Mana tidaknya, kontrak janji setia antara mereka berdua sudah diakadkan. Sekarang Man pula yang berdalih dari perjanjian dan menyalahkan Zamri bagi mempertahankan dirinya. 
              “Hang baguih sikit nah!  Tadi hang yang tanya aku soalan nombot lima. Satgi mulut hang ke mana, hidung hang ke mana kut,”  getusnya geram.
              Man mengangkat telunjuk ke tangan sambil mencerlung memandang Zamri.  “Syyyhhtt!!  Diamlah!”  Separa berbisik dia merengus.
              “Stail buat kerja selalu kantoi!!”  Fairuz mengejek. Sengaja dituturnya kuat bagi menambahkan api kemarahan si Man dan Zamri.
              Airina mengecilkan mata memandang dua orang pelajar kesayangannya itu. Sudah dia agak bahawa Man dan Zamri memang menyimpan tembelang. Sayangnya...
         
          Pecah tembelang, peta dah hilang.
          Bangau dah pulang, suara sumbang...

              Sedutan dari lagu Mentera Beradu nyanyian M. Nasir dan Malique.
              “Zamri!  Man!  Awak dah ketahuan meniru. Saya akan laporkan pada guru kelas, guru subjek Addmath dan pengetua tentang masalah ni,”  gumam Airina.
              “Cikgu...”  Man dan Zamri bersuara meleret serentak. Wajah sugul dan meminta belas ihsan dipamirkan.
              Airina buat dek. Dia menapak semula ke koridor untuk merehatkan minda seketika sambil menikmati udara pagi yang segar lagi nyaman.
              Sedang Airina menikmati kenyamanan udara pagi itu, dia terpandang sesusuk tubuh yang tersangat dia kenali dikoridor bangunan yang bertentang dengan bangunan blok C yang dia duduki.
              Dia menjeling apabila melihatkan lelaki yang sedang memandangnya.
              Airil hanya berwajah ‘dungu’. Tangan kanannya menekan hidung ke atas. Faham-faham ajelah apa maksudnya. Hehehe...
              Airina mengetap bibir geram. Dia menjelirkan lidah pada lelaki itu.
              Airil menuding tepat ke arah Airina. Lalu, dia meletakkan tangan ke leher dan dibawa tangan itu dari kiri ke kanan. Dan dia kemudiannya melangkah masuk ke dalam kelas dengan selamba dek. Yang makan hatinya si Airina.
              “Siap kau jantan!!!”  Airina mengamuk.
              “Kenapa cikgu Airina?”  Salah seorang pelajar yang baru sahaja pulang dari tandas menyoal. Agak terkejut juga dia sebaik dia melintasi belakang Airina, wanita itu melalak seorang diri. Mahu lemah jantungnya.
              Itulah Airina. Guru Bahasa Melayu yang paling kontroversi pada tahun 2012. Memang popularlah dia satu sekolah itu pada tahun ini sehingga mampu mengalahkan kepopularan artis-artis ‘top 5’ dalam Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian. Ngee...
              Pelajar-pelajar dari kelas lain menjengulkan kepala melalui pintu kelas masing-masing. Bersusun kepala demi kepala dari lantai hingga ke bingkai pintu paling atas. Wah!  Memang menyeramkan!
              “Heee...”  Airina menayangkan baris giginya yang memutih. Dia mengundur setapak demi setapak ke belakang dan melesapkan diri disebalik pintu kelas 4 Sains1.
              Pelajar yang tadinya menegur Airina, mengangkat kening dan menjongket bahu. Seketika, dia pun berlalu menuju ke kelasnya sambil menyanyi-nyanyi kecil.


“Okey, kelas!  Waktu menjawab sudah tamat.”
              Untuk kali keduanya Airina memberi arahan yang sama pada pelajar kelas 4 Sains1. Kalau pagi tadi, dia masuk untuk jadual kelas Bahasa Melayu. Selanjutnya, untuk dua masa terakhir itu tadi dia menggantikan cikgu Rohana yang sedang cuti bersalin. Jadi, untuk hari ini sahaja dia perlu menghabiskan masa sebanyak 160 minit di dalam kelas itu. Jenuh betul dia menangani pelajar nakalnya terutama Zamri dan Man.
              “Pelajar belakang kutip kertas soalan dan kertas jawapan OMR.”  Airina memberikan arahan sambil sibuk menyusun barangnya.
              Keadaan sudah mula riuh dari satu bangunan hinggalah ke bangunan yang lain memandangkan loceng terakhir sudah pun berbunyi sebagai isyarat ‘balik rumah’.
              Kreet!!  Kreet!!
              Itulah bunyi tapak kerusi berselisih dengan lantai oleh para pelajar yang duduk dibelakang. Kertas soalan dan jawapan dikutip dari belakang hingga ke meja hadapan.
              “Yana, awak dan Fairuz tolong kutip buku rumusan dan tatabahasan. Saya nak lapan puluh dua buah buku latihan tu ada atas meja saya di bilik guru sebelum saya balik ke rumah. Kalau tak cukup, saya akan denda Zamri dan Man.”  Airina bertingkah sambil memandang Man dan Zamri silih berganti. Sengaja dia mahu membuli dua orang pelajar yang terlebih hiper itu.
              Buntang mata Zamri. Mulutnya ternganga.  “Apa pula kami cikgu?”  Dia beriak terkejut.
              “Nasib awak berdualah. Siapa suruh berisyarat masa tengah ujian pagi tadi.”
              “Ini yang menimbulkan ketidakpuashatian kita orang berdua cikgu!”  Man tarik muka. Tangannya mengetuk meja.
              “Padan dengan muka kau orang. Rasakan.”  Yana mengejek.
              “Dah!  Saya nak segera buku tu. Kasi cukup semua buku kalau awak, Zamri dan Man tak mahu saya repot pada guru awak dan pengetua.”  Airina mengerah. Kertas OMR dan kertas soalan yang diserahkan para pelajar kepadanya, disusun dan dimasukkan ke dalam plastik yang tersedia.
              “Woi, hampa semua!  Hampa tak hantaq buku siap hampa!  Aku ganyang cukup-cukup!”  Zamri memberi amaran keras.


Langkah kaki terhenti. Wajah kehairanan dipamirkan. Jambangan bunga berwarna ungu dicapai dan dihidunya. Tersilap orangkah si pengirimkan bunga ini?  Atau memang mawar itu dikirimkan untuknya?  Kalau benar tekaan, siapakah gerangan si pengirimnya?  Dia berteka-teki sendiri.
              Dia menyelongkar bunga itu. Dan ternyata si pengirim meninggalkan pesan melalui sekeping kad ucapan.
         
          To :-  Cik Airina Nisya.
                   Every man have their own way to show their love.
          By :-  Someone that you have stole his heart!

              Jadi, memang bunga itu untuknya.Tanpa sedar senyuman terukir pada wajahnya. Dia memang sukakan bunga. Apalagi, sejambak mawar. Lagilah dia suka!  Dia merasa dirinya dihargai dan disayangi apabila dihadiahkan sejambangan mawar.
              Namun, dalam masa yang sama dia penasaran dan takut sendiri apabila membaca tinta si pengirim. Macam ugutan pun ada juga melihatkan sebaris ayat yang mempunyai tanda seru.
              “Wah!  Cikgu dapat bungalah...”  sapa Fairuz dari belakang.
              Airina spontan menoleh ke belakang. “Eh, awak dah sampai.”
              Yana merabut jambangan mawar berwarna ungu itu.  “Huiyo!  Warna ungu tu!  Memang jarang jumpalah!”  riaknya teruja.
              Airina tersenyum.
              “Romantiknya orang ni,”  puji Yana.  Dia tersenyum suka. Rasa cemburu pula bersarang. “Agak-agak siapa yang berikan ya, cikgu?  Bertuah cikgu.”
              Airina mengangkat bahu sambil mulut terjuih.
              “Jangan-jangan Pakcik tukang sapu tu tak?”  Fairuz membuat andaian sendiri. Dia ni memang suka buat spekulasi yang boleh mencetuskan kontroversi murahan.
              “Huiisyyh!!  Kau ni mengarut aje. Kau tahu tak sejambak bunga ni beratus-ratus ringgit tahu tak?  Apalagi warna ungu ni susah dapat. Nak-nak lagi kita duduk dekat KL. Memang mahallah harga mawar ni. Pakcik tu mesti tak mampu beli. Ini mesti orang yang bekerjaya yang berikan.”
              “Jangan-jangan pengetua tak?”  Fairuz membuat andaian yang memandai-mandai lagi.
              Airina menelan liur sambil matanya terkebil-kebil. Minta simpanglah!  Kalau ya pun dia ada peminat misteri, janganlah si castello itu. Dia takut!
              “Apa ni cikgu!  Cikgu curang dengan saya. Mana cikgu dapat bunga ni?”
              Entah daripada mana munculnya Zamri dan Man, datang-datang aje sudah riuh dan kecoh bilik itu. Timbunan buku latihan tatabahasa yang dibawanya dan Man, diletakkan kasar ke atas meja Airina. Protes yang diperisakan dengan lakonan semata. Huh!
              Fairuz mengetuk kepala Zamri.  “Kau tak payah nak emo sangat, eh!  Karang ada juga yang makan kasut dekat sini.”
              Zamri menjeling.  “Cikgu... saya dah tolong hantaq buku ni. Cikgu belanja saya minum, nah?”  pintanya sambil buat muka kasihan.
              Wajah yang asyik tersenyum sedari tadi, kini bertambah manis.  “Memandangkan saya dapat bunga hari ni, saya belanja awak berempat minum.”
              “Yeay!!”  Zamri menari over.
              “Tapi minum aje mana cukup. Kalau ada makan-makan baru rancak cikgu,”  cadang Man dengan muka tak bersalahnya.
              Airina menjeling manja dan buat mulut comel.  “Yelah-yelah!  Saya belanja makan sekali. Makanlah sebanyak mana dan apa sahaja lauk yang awak nak. Tapi ingat!  Jangan melantak lebih-lebih. Karang awak semua yang kena basuh pinggan di kafetaria. Nak?”
              “Dah tentulah tak nak!  Tapi si Zamri ni kuat mengkedarah cikgu. Jadi, saya nasihatkan cikgu jangan belanja dia.”  Fairuz menambah perisa.
              “Woi, hang elok-elok sikit. Satni aku tenyeh mulut hang dengan cabai baru hang tau!”
              “Dah!  Sudah!  Sekarang aku dah lapar. Jom kita pergi makan dulu.”  Yana bertingkah.
              “Cikgu, kita orang pergi makan dululah. Nanti cikgu tinggal turun dan bayar aje.”
              Airina mencebik. Sudah dia tahu perangai keempat-empat pelajarnya itu walaupun tidak sampai tiga bulan mengenali mereka.  “Iyelah. Awak semua turun dulu. Saya belum habis hidu mawar ni lagi.”
              Mereka pun bersurai meninggalkan Airina yang tersengih ibarat kerang busuk. Rangkaian mawar yang mewangi itu dihidunya suka.

              Tanpa dia sedari ada seseorang yang memerhatinya disebalik tembok dinding yang menjadi pemisah antara bilik guru wanita dan bilik guru lelaki. Dia mengukir senyum apabila mendapati wanita itu sangat teruja menerima jambangan mawar darinya. Hatinya turut berbunga-bunga.

No comments:

Post a Comment

Bacaan Buku Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat

Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...