Airina terkedek-kedek melintasi
jalan dengan kasut tumit tinggi warna merah terang sesuai dengan warna baju
yang dipakainya. Memang kelas! Kalau ada lembu ganas tengah-tengah bandar itu,
memang sah-sah dia orang pertama yang kena kejar. Huh! Vogue
mengalahkan artis!
Sedang Airina melintas, tiba-tiba
ada sebuah kereta yang meluncur laju. Dalam ketidaksengajaan kereta itu
melanggar lopak yang bertakung air, tidak semena-mena air lecak itu memercik
hebat hingga mengenai seluruh tubuh Airina.
Airina memejamkan mata dengan mulut
yang terlopong saat air lecak itu mengenai wajahnya. “Shit! Kurang ajar punya
kereta!” makinya.
Dia mengetap bibir geram. Matanya
cepat-cepat dibuka untuk mengenal pasti siapakah gerangan yang sengaja buat
onar padanya. Namun, ianya sia-sia. Hanya kereta sport berwarna pinky yang
comot dengan contengan yang entah apa-apa sahaja yang sempat dilihat. Walaupun
tidak sempat melihat nombor pendaftaran tapi aku cam kereta itu sebab kereta
itu satu-satunya kereta paling buruk yang pernah aku jumpa! Mesti tuannya pun hati buruk!
Rambut ikal mayang paras dada
dihidunya.
“Busuk!!!!” Bergegar satu Kuala Lumpur mendengar dendangan
teriakan Airina yang menggila. Kucing-kucing yang sedang menikmati
tulang-tulang ikan tercekik begitu sahaja.
Langkah kaki diatur dengan perlahan.
Airina berkira-kira mahu masuk atau pun tidak. Memang inilah alamatnya. Tapi
takkan aku nak masuk dalam keadaan aku yang selekeh macam ini? Malulah aku!
Airina bermonolog sendiri.
Tiba-tiba pintu rumah teres
setingkat itu dikuak dari dalam. Ada wajah seorang wanita yang bertuala atas
kepalanya menyembulkan diri.
“Eh, adik ni Airina yang call akak semalam, kan?” tanya wanita yang nampak suci bersih aje
wajahnya. Perlahan dia menapak ke pagar dengan senyuman yang sedia terukir.
Airina tersenyum kelat. Aduh! Bila masa pula dia keluar? Malunya aku!
Dahlah aku tengah busuk sekarang, bisik hatinya. Tidak sempat dia hendak
memperbetul dan memperkemaskan diri yang sudah boleh diibaratkan seekor kucing
kurap kerana bajunya bertompok dengan lumpur.
“Masuklah. Jangan segan. Hanya
kita berdua aje yang tinggal dekat sini.”
Wanita itu mempelawa. Seketika pagar yang seakan hendak luruh itu dibuka
seluas-luasnya.
“Ye ke? Bukan ke ada dua
orang lagi?” Airina kehairanan.
Sepertinya dia diberitahu ada tiga orang yang menyewa di sini. Silap rumahkah
dia?
“Yang seorang dah dua minggu pindah
sebab kena posting ke Terengganu.
Yang seorang lagi kahwin. Duduk dengan suami dia. Masuklah.”
Airina mengangguk. Maknanya dia
tidak silap rumahlah. Lega rasa hatinya.
Tidak perlulah dia ke sana ke mari hanya semata mencari rumah sewa yang sudah
pun dia booking. Bukan sekadar itu,
wang pendahuluan juga sudah dibank-inkan
ke dalam akaun pemilik rumah sewa tersebut. Kalau tidak, rugi terkangkanglah
dia.
Airina akhirnya melangkah masuk ke
kawasan rumah yang berpagar itu.
“Tak ada jodoh agaknya nak
berjumpa dia orang.”
“Eh, kenapa baju adik ni? Dengan rambut ni? Trend sekarang eh?” Wanita itu baru tersedar akan kekotoran yang
kelihatan agak ‘degil’ pada pakaian yang membalut tubuh Airina.
Gulp! Airina agak tersentap.
Ini perli atau akak ni yang tak tahu menahu bab-bab fesyen? Ah! Mano den nak lotak muko den ni? Dia jadi malu sendiri. Dengan tebal muka dia
mengangkat wajah.
“Errr... tadi ada orang langgar lecah dan kena...” Teragak-agak Airina menjawab. Akhirnya dia
tersenyum sumbing. Tak sanggup rasanya dia mahu menghabiskan baris ayat itu.
Dia sekadar membiarkan ayat itu tergantung tidak bertali. Cukuplah sekadar
wanita dihadapannya itu faham dan mengerti. Jadi, tak perlu dibahas isu yang
menyakitkan hatinya itu.
“La ye ke?” Khatijah menggeleng
kepala seketika. “Hmmm... tak apalah. Pergilah masuk dulu. Mandi, lepas itu kita makan. Akak dah masak dah. Special untuk sambut orang baru dalam
rumah ni.”
Airina menurut. Dan mereka berdua
beriringan masuk ke dalam rumah sambil menjinjit beg-beg pakaian Airina.
“Akak mengajar subjek apa eh?” Mukaddimah pertama Airina sebaik selesai
menyeterika baju kurung modennya yang memang terlampau moden. Labuci sana,
labuci sini. Menyilau-nyilau setiap mata yang memandang. Apa-apa ajelah.
Asalkan dia bahagia!
Khatijah yang sedang memeriksa
buku-buku sekolah pelajar, memenung Airina. Kerja yang dilakukan ditangguhkan
seketika. “Akak mengajar subjek
Akaun,” beritahunya. Kemudian dia menyambung
kerjanya yang tertunda sepuluh saat tadi.
Airina mengangguk. “Oh, kiranya akak mengajar tingkatan empat
dan ke ataslah?” soalnya.
Satu anggukan diisyaratkan.
“Akak mengajar dah berapa
tahun? Akak mula-mula lapor diri di
sekolah tu eh? Selama akak mengajar, ada
tak akak kena buli dengan pelajar macam dalam cerita-cerita yang keluar dekat
berita tu?”
Mendengarkan pertanyaan Airina
itu, Khatijah ternganga dengan wajah blur. “Satu-satulah, dik oi. Tak tertangkap saraf
akak akan soalan yang Rina tanya tadi.”
Airina berdecit. “Tak!
Saya tanya akak dah berapa tahun mengajar.”
Ibu jari sebelah kiri diangkat
sebagai isyarat enam tahun dia berkhidmat sebagai seorang guru sambil tangan
kanannya masih mencoret sesuatu pada buku latihan pelajarnya.
“Sekolah Menengah Kebangsaan
Damansara Jaya Petaling Jaya merupakan sekolah pertama akak berkhidmat. Akak graduan dari Universiti Perguruan Sultan Idris.
Tempat praktikal akak merupakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Amanjaya di
Kedah. Dalam tempoh akak berkhidmat sebagai seorang guru Prinsip Perakaunan,
akak belum pernah lagi dibuli oleh mana-mana pelajar. Sekadar menangani masalah
pelajar nakal tu adalah juga. Dan untuk pengetahuan awak, Cik Airina Nisya,
saya merupakan anak kedua dari empat beradik. Tempat lahir saya di Johor Bahru
dan...”
“Hooo... Cup! Cup! Akak dah jauh tersasar dari soalan Rina
ni,” ujar Airina. Orang tanya tiga
rangkai soalan, dijawabnya berangkai-rangkai pula. Tadi bukan main lagi sampai
tak ingat apa yang ditanya Airina, sekarang sudah over pula jawapannya.
Khatijah buat muka comel. “Oh, dah cukup eh? Ingatkan tak cukup lagi. Ada lagi ke yang
Rina nak tahu? Boleh akak ceritakan lagi
salah silah keturunan akak. Nak?”
soalnya pula sekadar mengusik. Bukannya apa, sekadar mahu bermesra dan
saling mengenali hati budi. Biasalah tak kenal maka tak cinta. Ye idok?
Airina ketawa besar. “Tak apalah. Saya tahu salah silah keturunan
akak. Akak ni anak cucu Adam kan?” Dia
berseloroh dengan wajah ‘tiada apa-apa’nya.
“Eh, eh! Kerek lagi Rina dari akak. Itu kalau tanya
bayi dalam perut pun dia orang tahu, kita semua ni anak cucu Adam.”
“Saya nak tahu. Akak umur berapa
ek?” Tajuk perbualan ditukar.
“Tiga puluh satu.” Ringkas jawapannya. Tak lupa, tepat, padat
dan mutakhir. Ewah!
Airina beriak terkejut. Sungguh
tak disangka, tak diduga, bahawa akak yang kecil molek dihadapannya itu, sudah
melebihi usia 30-an. Walhal, melihatkan pada seraut wajah si Khatijah, masih
terserlah keayuan dan keawetmudaannya.
“La ye
ke? Tapi muka nampak awet muda aje. Hmmm... Kenapa tak kahwin lagi, kak?” Airina beriak terkejut.
Dia sepertinya tertarik untuk berbual
dengan tajuk baru itu. Dia ingin mendengar alasan yang munasabah di antara
kalangan pemegang title ‘andalusia’. Atau nama panjangnya ‘anak dara
lanjut usia’. Nak dikata, tidak cantik
dan tidak ramai peminat, serasanya wajah Khatijah lebih cantik, ayu dan
kelihatan solehah gitu. Tak akan tidak ada orang yang mahu kut? Dia bermonolog sendiri di dalam hati.
“Belum sampai seru.” Wanita itu tergelak kecil. Bukan kerana title yang dipegangnya tetapi kerana
tidak tahan tatkala Airina dengan jujurnya mengakui raut wajahnya yang baby faced itu. Kembang semangkuklah
dia!
Airina mencebik. Segera dia
berpaling menonton televisyen. Tarikannya tadi terbantut mendengarkan kenyataan
dan alasan yang sama seperti yang pernah dia dengari sebelum ini dari mulut-mulut
anak dara tua.
“Itulah statement yang selalu Rina dengar dari orang-orang yang tak
kahwin-kahwin. Naik muak Rina.” Airina
menjelirkan lidah dan menghala jari telunjuk ke arah lidahnya.
“Kenapa? Rina rasa dah sampai seru ke, yang tanya akak
soalan itu?” Khatijah meminta kepastian
dari si tuan badan yang bertanya.
Airina tersenyum kelat. “Tak adalah. Saja tanya.”
“Wah! Dah dapat kerja baru, dah nak kahwin
dah?” Khatijah mengajuk iklan produk Safi Balqis Perfect 10 with
Nano Biowhite
yang kerap kali bermain dikaca televisyen.
“Alhamdulillah... jadi pengapit saya, eh?” Airina tidak melepaskan peluang menjayakan
sedutan dari iklan produk tersebut. Dan akhirnya kedua-dua mereka ketawa
melayan karenah masing-masing.
“Ha, Rina. Esok jangan lupa bawa
dokumen-dokumen penting sebab nak lapor diri kan? Takut karang kelam kabut dibuatnya sampai
terlupa itu dan ini,” pesan Khatijah.
Serentak itu kulit buku yang sedang diperiksa ditutup rapat-rapat.
“Semua dah beres dah,” ujar Airina.
“Jangan beres sangat. Pastikan
Rina tahu nama Menteri Pelajaran Malaysia. Jangan jadi macam adik akak dekat
kampung tu. Masa nak interview kerja,
nama Menteri Pertanian pun tak tahu. Haisyyhh! Memalukan aje. Nasib baik dapat juga kerja
sebagai kerani disebabkan kecekapan dia dalam Typing Test.”
“Hmmm... tak apalah. Akak rasa nak tidur dululah. Mengantuk suda...”
Khatijah cuba berlucu dengan mengajuk tagline Stacy.
“Okey. Nite!” Airina melambai
tangan.
“Tidur awal tau. Esok kalau tak jaga,
akak tinggal...” Khatijah mengugut dalam
nada bergurau.
“Bereh, deh!” Airina tersenyum manja sambil mengangkat
tabik.
Wajah Airina sudah kelihatan cuak.
Gementar bukan tahap biasa-biasa, tapi ini gementar memang tahap kritikal.
Tenat ni! Dokumen-dokumen penting yang
tersemat di dalam fail berwarna hijau muda beberapa kali diselak. Padahal tak
ada apa nak ditengok pun. Tak ada kerja dan gelabah punya fasal, itulah
jadinya.
Setelah ditunjukkan bilik pengetua
kepada wanita itu, Khatijah meminta pamit. Namun, sesegera itu, tangannya
ditarik oleh Airina.
“Akak, temanlah Rina. Rina nervous ni,” rengek Airina. Mengalahkan budak tadika.
Nasib baik comel! Tak adalah nampak
rengekkannya itu mengada-ngada.
“Eh, mana boleh! Akak ada kelas ni. Ini Rina punya turn. Dulu akak masa nak lapor diri,
siap pitam lagi. Itu pun nasib baik dapat juga. Rina steady aje. Tak payah fikir macam-macam,” hujah Khatijah, cuba menenangkan Airina yang
mengalahkan kucing hilang anak.
“Tak boleh kak! Rina memang dilahirkan nervous macam ini. Penyakit keturunan turun temurun. Entah saka apa
yang melekat pada salah silah keturunan Rina pun, Rina tak tahu.”
Khatijah tergelak kecil. “Sekarang Rina nak kerja ke tak nak? Kalau tak nak, akak okey aje. Sebab gaji akak
tetap jalan. Masalahnya Rinalah yang gigit jari.”
Airina berdecit. “Nak kena masuk jugalah ni?”
Khatijah buat muka comel sambil
menjongket bahu.
Airina melepas keluh berat. Bilik
pengetua yang bertag hitam dipandang lama dengan wajah cemberut. En. Radzi Bin
Othman, bacanya di dalam hati.
Akhirnya dia melangkah masuk ke
dalam bilik ‘kepala’ sekolah itu
dengan perasaan yang bercampur baur. Ya Allah!
Permudahkan segala urusanku. Amin, doanya sendiri.
Radzi merenung wajah Airina dengan
wajah menggoda. Atas bawah, atas bawah diperhatikan gadis manis ini. Pipi gadis
di hadapannya yang gebu itu membuatkan dia terasa hendak gigit-gigit sahaja. Aumm!!
Airina hanya tunduk memandang
lantai. Peerrgghhh!! Miang punya
orang tua! Poyo jek! Tak padan kepala botak
tengah. Dengan rambut bersilau warna putih, ada hati nak usyar aku lebih,
lebih! Apalah nasib aku dapat kerja
dekat sekolah ni? Airina mengutuk di dalam
hati.
“Hari ini, awak akan diberi tunjuk
ajar oleh cikgu senior Bahasa Melayu. Mengenai tugas awak, buat sementara ini
awak hanya perlu relaks sahaja. Sebab jadual kelas pelajar tingkatan empat dan
lima sedang dirombak. Mungkin esok atau lusa awak akan dapat jadual kerja
awak.”
“Jadi, saya diterima?” Airina mencari kepastian dari lenggok
bahasanya.
Radzi tersenyum tetapi jelas
kelihatan miang pada wajahnya.
“Alhamdulillah...” Airina berwajah ceria dan meraup wajahnya.
“Nanti, kerani dekat depan itu
akan tunjukkan tempat awak,” ujar Radzi.
Ibu jari terarah pada tempat yang dimaksudkan.
“Terima kasih, encik,” ucap Airina. Hilang terus segala gugup,
gagap, burung gagak. Semua hilang! Yang
tersisa hanya kesyukuran, keseronokan dan kecintaan oleh pengetua seorang ni.
Hehe...
“Eh, tak payah berencik, encik.
Bila ada kita berdua, awak boleh panggil saya abang.” Selamba dek aje mamat yang tak berapa nak mamat
ni bahasakan diri dia ‘abang’. Memang si Airina ni sukalah, kan? (tangan di dada, mata ke atas).
Airina terasa hendak termuntah.
Dia hanya tersenyum kelat. Issyyhh! Abang?
Minta simpanglah! Dengan orang
tua macam ini sepatutnya cucu dengan tokwan yang sesuai aku bahasakan.
“Eh, tak boleh macam itu, encik.
Kita bila kerja, kena profesional.”
Kena sekilo! Itu pun belum tentu lelaki buaya ni nak
terasa. Tengok muka macam hati kering aje.
“Oh, macam itu, eh? Saya bangga dengan awak. Berdedikasi dalam
kerja. I like it!”
Eleh, ayat cover malulah tu! Airina
mengutuk sendiri. Dia sekadar tersenyum kelat-kelat bunga tahi ayam.
Sedang Airina berjalan ke kantin,
tiba-tiba anak matanya tertancap pada sebuah kereta yang sangat dikenali. Ya,
itulah model kereta yang sengaja melanggar lopak yang bertakung air, lalu air
itu secara slow motion dan penuh
drama tersimbah mengenai tubuhnya. Sungguh bergaya adegan itu!
Masakan Airina tidak mengenali
kereta yang hanya satu dalam sejuta sahaja yang comot seperti itu. Ini mesti
wanita atau pun tomboi punya kereta. Kalau tidak, takkanlah warna merah jambu.
Dengan tulisan-tulisan yang entah apa-apa yang tertulis pada keretanya aku pun
tak tahu!
Airina dengan perasaan geramnya
menghampiri kereta tersebut. Dia menggigit bibir sambil menatap kereta sport Nissan GTR itu lama-lama. Dengan
perasaan amarah yang bersarang, sengaja tayar kereta itu ditendang-tendang.
“Bodoh punya tuan kau! Mana tuan kau? Meh
sini aku nak ganyang dia cukup-cukup!”
Airina bersuara lantang.
Airina, Airina... kut ye pun, sabarlah. Baru aje hari ini
diterima kerja. Dah buat perangai otai kau. Silap-silap esok hari dah kena
pecat. Tak merasalah kau nak makan gaji hujung bulan ni.
“Woi!!” jerkah satu suara. Lelaki gamaknya.
Airina menoleh.
Lelaki yang hanya berpakaian sukan
itu menghampirinya. “Kau buat apa dengan
kereta aku, hah?” Wajah bengis dipamirkan.
La... lelaki rupanya! Apasal auw semacam aje kereta ni? Merah jambu!
Airina ketawa dalam hati.
“Kau ke tuan kereta ni?” Airina bertanya penuh ego.
“Of course!” marah lelaki itu. “See! The rim
dented.” Lelaki itu beriak cemas.
Pantas dia terduduk sambil membelek setiap inci rim tayar keretanya. Padahal,
tidak ada apa pun yang kemek. Propa aje lebih!
Airina melopong. Setakat kena
tendang dengan kakinya yang timbang tak naik meter, rim tayar tu nak
kemek? Macamlah rim tayar kereta dia ni
diperbuat daripada polistrin!
“Hei! Tak kemeknya pun kalau sampai tahun depan aku
tendang. Aku nak kau bayar ganti rugi baju aku yang dah busuk disebabkan lecak
yang kau langgar dekat Wangsa Maju semalam!”
Airina betul-betul marah. Bukanlah duit yang dia mahukan. Cukuplah
sekadar kata maaf yang terbit dari mulut lelaki itu pun sudah memadai.
“Bila masa pula lecah tu kena
kau? Kau jangan cakap pada aku bahawa
kau perempuan yang pakai baju warna merah yang ala-ala bullfighters tu?” duga
lelaki itu. Sengaja dia mahu menyakitkan hati wanita yang cun melecun
dihadapannya itu. Dia bukannya apa, saja aje mahu menunjukkan kemachoannya itu.
Buntang mata Airina saat ditempek
dengan najis unta. Ada ke patut dia yang
cantik-cantik itu digelar bullfighters? Ini sudah lebih!
“Hei! Mulut kau macam longkang, kan?” bentaknya geram.
Lelaki itu ketawa geli hati
memandangkan Airinalah wanita yang malang tempoh hari kerana terkena lecak yang
tidak sengaja dilanggarnya.
“Jadi kaulah gadis malang tu? Sorrylah
aku tak perasan yang kau kena lecak tu. Semalam aku ingatkan pontianak manalah yang terlepas siang-siang
buta. Aku terkejut, itu fasal aku terlanggar lecak. Tak sangka pula terkena
kau,” tuturnya. Nada suara bertukar
rentak tenang.
Airina gigit bibir. Tadinya
apabila mendengarkan kata ‘sorry’,
hatinya sejuk dan mungkin hal itu boleh diajak berbincang. Namun, amarahnya
kian meluap-luap apabila dia digelar Pontianak oleh lelaki itu.
“Hoi, mulut kau ni tak ada
insurans, kan? Busuk mengalahkan tahi
kucing! Macam mana pun aku nak kau bayar
duit ganti rugi baju kurung aku yang mahal tu!
Atau tak...”
“Or what? Kau nak saman? Pergilah!”
tempik lelaki yang bermata sepet itu tanpa memberi peluang kepada Airina
untuk berbicara. Tak ada langsung riak bersalah atau nak meminta maaf.
“Dah tepi! Aku banyak kerja lagi yang nak dibuat
daripada melayan makcik kantin macam kau ni,”
tambahnya lagi. Tubuh Airina ditolak kasar sebelum selamat dia memasuki
perut kereta ‘sukan’ miliknya.
“Hei!!!” Cermin pintu kereta diketuk-ketuk sekuat
hati. Biar pecah pun dia tidak kisah. Asalkan dia menerima kata maaf dari
lelaki itu.
Suka-suki hati dia aje panggil aku
makcik kantin? Mulut macam haprak!!
Langsung tak boleh pakai. Kau siap kau!
Aku simbah kereta kau dengan cat esok!
Bebel Airina dalam hati.
No comments:
Post a Comment