SAHAJA AKU MENIKAHIMU 16




            Mak Nah reling-reling sahaja si menantu yang makan pakai sudu dan garpu. Bukan hari ini sahaja, malah sebelum-sebelum ini juga si menantu menggunakan sudu dan garpu tetapi dia tidak kisah sangat memandangkan si menantu datang daripada keluarga yang berada. Jadi, perkara itu memang biasa. Tetapi sejak-sejak tidak berkenan dengan sikap si menantu tempoh hari, apa sahaja yang dilakukan oleh wanita itu, serba tidak kena dimatanya.
            Ezahra. Dia memang dari tadi sudah selesai makan. Tetapi si Fayyad sempat mengugut supaya wanita itu tidak berganjak selagi emaknya tidak berganjak dari meja makan. Kalau dia ingkar, mereka akan berada rumah itu selama tujuh hari lagi. Dia bukan takut dengan si Fayyad. Tetapi lelaki itu jenis cakap serupa bikin. Kadang-kadang apa dia cakap, dia akan buat!
            Daripada tidak dapat balik ke rumah, lebih baik dia menuruti sahaja kemahuan si Fayyad. Lagipun, dia disuruh duduk sahaja, bukannya suruh angkat berat, kan?
            “Tambahlah, Ara. Anak-anak semua.”  Mak Nah mempelawa tanpa riak. Dia mengheret kerusi ke belakang sebelum berdiri. Lalu langkah kaki diatur menuju ke sinki.
            “Sudah dah, mak?  Cepatnya makan.”  Fawwas bersuara sambil mulut penuh dengan makanan.
            “Haah, mak. Mak suruh orang tambah, mak sendiri makan sikit tak menambah pun,”  sampuk Farhana. Bukannya dia tidak tahu, emaknya sudah tidak berkenan dengan kakak iparnya itu. Dia mulai risau. Takut-takut tingkah emak itu akan menampakkan rasa tidak sukanya pada si kakak ipar. Sekurang-kurangnya senyumlah, kan?
            “Makanlah. Mak nak cepat. Ada hal.”
            Fawwas ketawa mengejek. Suka betul dia mendengarkan alasan si emak.  “Eleh, mak tu. Macamlah besar sangat hal. Kalah presiden.”
            “Mak nak pergi rewang dekat rumah Mak Cik Yaya kau orang tu. Ada kenduri tahlil malam ni. Mak nak kena pergi tolong apa-apa yang patut.”  Mak Nah mencuci seraya membilas pinggan yang digunakan tadi. Lalu dia meniarapkan pinggan ke atas rak.
            Fayyad menelan makanan di dalam mulut sebelum bersuara.  “Oh, nanti kirim salam Mak Cik Yaya. Along nak kena balik hari juga, mak.”
            Ezahra seronok aje dalam hati bila mendengarkan perbualan itu. Jadi, hari ini dia boleh keluar dari rumah ini!  Dia tidak selesa lama-lama dirumah orang.
Mak Nah menoleh sambil mempamerkan wajah berkerut.  “Awalnya balik. Esok, kan cuti lagi.”
            “Ara ada hal nak kena settle.”
            “Settlekan dekat sini ajelah.”
            “Ada barang dia tertinggal dekat rumah.”
            “Yelah, Long.”  Mak Nah bersuara mendatar. Dia menghela nafas. Tangan yang basah dilapkan pada kain batik.  “Mak masuk bilik dulu. Lepas zuhur mak nak pergi rumah Mak Cik Yaya kau orang.”
            Tiga adik beradik itu sekadar menyoroti langkah Mak Nah sahaja lalu mereka meneruskan suapan ke dalam mulut masing-masing.
“Adik, nanti jangan lupa cuci pinggan mangkuk.”  Sempat Mak Nah berpesan kepada Farhana sebelum kelibatnya hilang ke dalam bilik.
Ye, mak!”  Farhana mencebik. Inilah padahnya jadi satu-satunya anak perempuan. Semua bab-bab kerja perempuan, memang serah bulat-bulat padanya. Kena tolong masak, kemas rumah, cuci pinggan. Haihlah nasib!
Ezahra. Sebaik sahaja kelibat Mak Nah hilang dari mata, sesegera itu juga dia berdiri dan menuju ke sinki.
“Ezahra, cuci pinggan, eh sayang!  Kalau tak, tak boleh balik.”  Fayyad mengugut si isteri.
            Ezahra menoleh ke belakang memandang Fayyad tajam.
            “Fuh!!  Seksi doh bini kau, Long.”  Fawwas sengaja perhangatkan keadaan.
            “Ini baru depan orang. Dekat rumah lagi seksi doh!”  Fayyad sengih suka sambil menepuk bahu Fawwas.
            Ezahra sengaja menjatuhkan garpu dan sudu ke dalam sinki. Bunyi bising itu menandakan dia sedang marah.
            Dua beradik itu saling ketawa kecuali Farhana.
            “Isk!!  Apa Along ni!  Gelilah. Ingat orang nak tahu sangat ke cerita Along suami isteri.”
            “Jeles!”  Fayyad segera bangun dan mengutip segala pinggan mangkuk yang sudah kosong lalu dibawa ke sinki.
            “Basuh ya, sayang…”  Fayyad kenyitkan matanya pada Ezahra. Sesekali mata memandang tangan si isteri yang ala-ala geli-dan-tak-tahu-nak-menggosok-pinggan dengan span basuh pinggan.
            Ezahra mencerlung tajam wajah Fayyad. Dia baru nak habis basuh pinggan, tiba-tiba pinggan lain pula yang datang. Lagi banyak!
            Fayyad pejam mata sambil muncung mulut semacam nak mencium si isteri. Lalu cepat-cepat dia lari ke meja makan sebab takut kena bedal.
            “Tak perlu kut nak bajet sweet dekat sini. Menyampah aje Ngah tengok.”  Berbulu aje mata Fawwas melihatkan adegan mesra si suami terhadap isteri. Panas doh!!  Dia bingkas bangun lalu meletakkan pinggan ke sinki.
            Panas betul hati Ezahra. Dia berusaha cepat-cepat basuh pinggan supaya lebih cepat dia naik ke atas. Tetapi semakin dia laju, semakin banyak pula pinggan mangkuk yang datang!
            “Jeles siak kau ni, Ngah!”
            “Tak jeles, eh!  Geli aje tengok.”  Usai membasuh tangan, Fawwas pun berlalu meninggalkan ruangan dapur. Dah kenyang makan, masa untuk rehatkan diri pula depan televisyen.
            “Dah habis makan tu, letak aje pinggan dekat sinki. Nanti Kak Ara basuh.”
            Menyirap darah Ezahra naik ke muka. Geram nak mati dengan tingkah si Fayyad. Isk!  Dia yang sedang memcuci pisau terasa macam nak cucuk-cucuk aje lidah si lelaki itu. Sakit hati bukan kepalang. Dia sekadar memejamkan mata dan mengetap bibir sambil hidung kembang kempis menahan sesak di dada.
            “Adik, kemas meja makan tu. Dah siap tu, boleh naik atas.”
            “Tak apa, adik tolo…”
            “Along cakap naik atas, naik ajelah. Karang ada jugak yang nak kena tarik rambut dekat sini.”
            “Okey!  Kalau daripada dulu Along offer macam itu, kan seronok.”
            Fayyad menjelir lidahnya pada Farhana.
            Farhana mencebik lalu mengangkat kaki.
            “Awak cuci dengan sabun, saya bilas dengan air.”  Fayyad berdiri di sebelah isteri.
            “Sepatutnya you yang buat semua ni.”  Ezahra meneran suara garangnya supaya tidak kedengaran oleh emak mertua.
            “Ha!  Nak balik tak?”  ugut Fayyad lagi.
            Jeling.
            “Sama-samalah. Orang perempuan ni, kena tahu buat kerja dapur. Mulai dari hari ni, kena belajar.”
            “Ini bukan kerja arkitek macam I.”
            “Ini kerja seorang isteri dan kerja orang perempuan. Awak bukan jantina yang saya mention ke?”  Fayyad memerli.
            “I tak tahu mulut you ni cap apa. Tapi, setiap kali I dengar you bercakap, I sakit hati sangat,”  gumam Ezahra.
            “Uisk!!  Parah tu!  Kalau saya penyebab sakit hati, saya juga ada penawarnya. Nak tahu tak penawarnya?”  Fayyad menzahirkan wajah teruja.
            Ezahra ketap bibir geram. Menjawab betul!
            “Ubatnya adalah cinta. Bila saya beri awak cinta, sakit hati awak tu akan sembuh seratus peratus.”  Fayyad kenyit mata. Jawapan subjektif yang sangat skema itu betul-betul menikam sanubari sesiapa yang mendengarnya.
            “You basuh semua ni,”  marah Ezahra. Dia menderma sebuah jelingan tahap nak mati sebelum berlalu meninggalkan si suami.
            Fayyad mengangkat kedua keningnya seraya menjuihkan bibir. Faham sangat perangai si isteri. Tak apa, dia dah biasa. Yang penting dia puas hati sebab dapat luahkan isi hatinya secara tidak langsung.


Fayyad memeluk tubuh sambil bersandar pada bingkai pintu rumah diruang tamu. Dari tadi mata asyik mereling si Ezahra yang sedang memperbetulkan selendang yang dipakai. Ada sahaja yang nak kena tegur. Ingat mulut dia tak penat ke?  Tapi seronok juga selalu membebel, sebab dia ni jenis ada sahaja benda nak cakap. Sesaat tak bercakap, boleh cramp mulut!
            “Nak pergi mana?”
            “You buta ke?  I nak turun bawahlah!  Nak ambil angin,”  getus Ezahra.
            “Ha!  Nak turun tu cuba pakai tudung elok-elok sikit. Ini, berjambul rambut keluar.”  Telunjuk Fayyad menyentuh jambul si isteri. Namun, si isteri pantas menepisnya.  “Ingat masuk neraka sekerat-sekerat ke?  Badan masuk syurga, jambul ni masuk neraka?”
            Ezahra menggigit bibir. Tak pernah tak menyakitkan hati kalau si Fayyad bersuara. Bisa betul mulutnya!  Dia tahulah itu semua dosa, nanti-nanti dia tebus baliklah dosa dengan pahalanya.
“Kira bagus I pakai juga, daripada tak pakai langsung,”  jawabnya.
            “Pakai tudung nak tutup rambut, tapi ini nampak rambut keluar juga sama aje macam tak pakai tudung.”  Fayyad membebel lagi.
            “You jangan bising sangat boleh tak?  Bukannya ada orang pun dekat luar tu.”  Ezahra menjawab.
            “Ingat orang tak lalu lalang dekat luar tu?”  soal Fayyad.
            “Orang yang lalu lalang pun tak sempat nak tengok jambul I ni.”  Ezahra cuba membela dirinya.
            Fayyad ketawa suka. Kemudian dia berwajah serius semula.  “Bukan main pandai menjawab sekarang. Dah!  Pergi tukar tudung. Kalau tak jangan balik.”
            Decitan kedengaran dari mulut Ezahra. Seketika dia melangkah masuk ke dalam bilik Farhana semula.


Ezahra memejamkan mata sambil memeluk tubuh. Menikmati paduan angin sepoi-sepoi bahasa yang membuai dirinya. Seronok!  Sejuk sahaja. Ini antara kelebihan duduk dikampung walaupun kadang-kadang terasa diri berada di zoo kerana boleh dikatakan macam-macam binatang ada.
            “Amboi…  bukan main posing model.”
            Ezahra cepat-cepat buka mata. Seketika dia menggigit bibir tatkala melihat gerangan yang menegur.
            “Rambutan.”  Fayyad menjuihkan bibir pada besen yang dibawa. Besen yang terisi buah rambutan itu diletakkan ke atas pangkin. Lalu dia duduk di atas pangkin itu.
            Diam.
            “Mehlah makan.”
            “Sedap ke?”  Ezahra memeluk tubuh sambil mengangkat sebelah keningnya.
            Dahi Fayyad berkerut.  “Takkan tak pernah makan?”
            Ezahra menggeleng.
            “Kesiannya!  Nah!”  Fayyad menyuakan sebiji buah rambutan pada si isteri sambil tersenyum manis.  “Awak boleh gigit kulit rambutan tu untuk keluarkan isi.”
            Ezahra mengerutkan kening sambil buat muka geli. Gila tak geli?  Dengan rerambut rambutan tu masuk ke dalam mulutnya. Meremang bulu roma. Geli kut!
            “Kalau tak nak, awak tekan rambutan tu kuat-kuat dengan telapak tangan awak.”
            Ezahra pun menurut. Namun, lemah gemalainya ala-ala orang tak pernah makan buah rambutan membuatkan ia tidak berkesan.
            “Hailah, isteri!  Cara cakap dengan saya nampak gagah aje. Tapi bila suruh picit buah rambutan, tak gagah langsung.”  Fayyad merampas buah rambutan dari tangan Ezahra.
            Ezahra terpinga-pinga.
            “Macam ni…”  Fayyad meletakkan buah rambutan ke atas tapak tangan sebelah kanan. Lalu jemari kedua-dua tangannya bersatu menggenggam rambutan. Buah rambutan yang berada dalam genggamannya itu ditekan kuat.
            Pandang.
“Nah!”  serah Fayyad akan buah rambutan yang kulitnya tinggal separuh kepada si isteri.
            Dengan wajah bongkak, Ezahra mencapainya. Sikit pun tak ucap terima kasih. Dia gigit isi buah rambutan dan dibawa ke dalam mulut. Kini membulat pipi kanannya. Kulit rambutan diletakkan ke dalam besen.
            Fayyad tersenyum melihat gelagat si isteri.  “Buah manggis baru jadi bunga. Nanti dah jadi buah, kita balik sini lagi, eh. Sedap. Buah favourite saya.”
            “Banyak lagi tak buah ni?  Boleh bawa balik rumah tak?”
            Fayyad mengangguk.  “Banyak lagi, sayang. Nanti saya ambilkan ya.”  Kini dia beriak teruja.
            “Tolong jangan panggil I, sayang. Telinga I rasa bernanah aje dengar.”
            “Ha!  Apa salahnya?  Saya memang sayang awak pun. Awak, kan isteri saya. Okeylah tu saya panggil sayang. Kalau saya panggil awak dengan nama tak elok, awak cakap saya mencarut pulak.”  Jawapan Fayyad memang selalu yang tak pernah diduga oleh Ezahra.
            “You can call me Ezahra. Or Ara…”  tegas Ezahra.
            Fayyad mengangkat keningnya.  “Mulut saya, suka hatilah nak panggil isteri saya apa pun.”
            Ezahra tembak Fayyad dengan biji rambutan dari dalam mulutnya. Seketika dia ketawa suka.
            Fayyad terkedu dengan tindakan Ezahra. Berani betul si isteri buat macam itu padanya?  Dan apa yang membuatkan dia terkedu, rupanya si isteri sudah pandai tersenyum. Buat pertama kalinya dia melihat wanita itu senyum. Senyuman paling manis!  “Saya cium awak dekat sini, eh!”
            Dia tidak sedar akan apa yang dikatakannya kini. Dia terpegun melihat senyuman Ezahra yang sangat mahal itu.
            Ezahra tersengih. “Seronok sangat I buat macam itu dekat you.”
            “Saya pun seronok nak cium pipi awak.”  Ayat itu spontan keluar dari bibir Fayyad. Dia tak sedar pun apa yang dia cakap sebenarnya kerana matanya masih fokus pada Ezahra.
            Cepat-cepat Ezahra tarik muka. “I baling you dengan buah rambutan ni.”  Sebiji buah rambutan diangkat dan diarahkan ke wajah Fayyad.
            Fayyad berwajah hampa kerana senyuman si isteri sudah mati. Entah bila pula dia dapat melihat senyuman itu. “Eh, jom kita naik motor. Saya bawa awak ronda-ronda kampung ni naik motor.”
            “No!”  Ezahra bertegas sambil menjegilkan mata. Berani betul si Fayyad mengajaknya naik motor!  Seumur hidup dia tidak pernah menyentuh motosikal. Inikan pula nak membonceng atau menunggang.
            “Jomlah… kalau tidak, tak boleh balik.”  Fayyad mengugut.
            Ezahra menggigit bibir.  “I dah muaklah dengar ugutan you tu konon tak nak balik if I tak buat itu, tak buat ini. Sekarang I dah tak kisah you nak balik rumah ke tak nak balik. Sebab I boleh balik naik teksi!”  Dia bersuara geram. Naik, turun dadanya menahan amarah. Dia kini melangkah meninggalkan sang suami.
            “Ha!  Tengok diri depan cermin dulu, cukup tak duit awak nak balik naik teksi?”  Fayyad bersuara separuh menjerit.
            Ezahra menghentikan langkah dan menoleh. Dia menjegil Fayyad.
            Fayyad buat mulut muncung seolah mahu mencium si isteri.
            Ezahra geram. Dia meneruskan langkah untuk masuk ke dalam rumah.
            “Kemaslah barang-barang, kita balik sekarang.”
            Langkah kaki terhenti. Ezahra menoleh ke belakang semula. Tetapi tiada riak marah dipamerkan pada si suami.
Really?”  soalnya mahu mendapatkan kepastian.
            Fayyad tarik senyum. Lambat-lambat dia mengangguk.
            Ezahra berpaling dan berjalan laju menuju ke rumah. Seronok nak balik kut!  Tazaba nak mengemas barang-barang!


Usai mengimamkan solat isyak di rumah mereka, Fayyad duduk di atas sofa sambil lengan masih tersidai sejadah yang sudah dilipat. Dia merenung pintu bilik Ezahra yang baru ditutup. Dia tahu wanita itu walaupun keras kepala dan suka bertindak mengikut kata hati sendiri, namun dia yakin bahawa disebalik kedegilan itu masih tersimpan ruang baik dalam diri.
            Buktinya, selama dia mengajak Ezahra solat berjemaah, wanita itu tidak menolak walaupun melalui riak wajah wanita itu sekadar bersahaja malah terkadang wajah garang berserta jelingan maut yang diresponkan.
            Fayyad. Selaku suami, dia tidak pernah lupa untuk mendoakan rumah tangga mereka. Dia selalu mendoakan yang baik-baik untuk isteri. Dan yang paling penting, dia doakan cinta untuk mereka.
Sebagai suami, dia sayang akan si isteri dan perkahwinannya. Dan dia akui, lama kelamaan perasaan cinta mula berputik dalam hati. Kedegilan Ezahra ternyata membenihkan cinta dalam hati buat wanita itu.
            Fayyad. Dia berdiri lalu menghampiri pintu bilik Ezahra. Diketuknya beberapa kali.  “Ezahra… keluarlah, berbual dengan saya.”
            Tiada respon.
            “Ezahra... oh, Ezahra…”  rengek Fayyad sambil bersandar pada pintu bilik Ezahra. Lalu dia buat gaya seksi.
            Tiba-tiba pintu bilik Ezahra dikuak dari dalam. Apa lagi, terdoronglah tubuh Fayyad ke dalam bilik wanita itu.
            “Eh, eh!!”  Fayyad cuba menampan tubuhnya yang hampir terjatuh. Dan… memang terjatuh pun!
            Ezahra mengundur ke belakang membiarkan tubuh Fayyad jatuh gedebuk ke atas lantai.
            “Fuhhh!!  Sedap bak hang!!”  Fayyad menggosok punggungnya sambil buat muka menahan sakit.
            “Sedap, kan?  Lebih dari tu I boleh buat kalau you bising-bising lagi dekat sini.”  Ezahra memeluk tubuh.
            Melopong Fayyad melihatnya. Riak terkejut dipamerkan. “Masya-Allah!!  Ini bilik ke sarang maksiat?  Eh, sarang lebah?  Awak nak terberanak ke?  Awak tahu tak lebah nak beranak, sarang macam inilah dia buat.”
            “Lebah mana ada beranak. Dia bertelur. Sains you dulu fail, eh?”  tingkah Ezahra.
            Fayyad membulatkan matanya seraya mencekak pinggang.  “Ha!!  Menjawab. Kemas bilik ni sekarang!”  arahnya tegas.
            “Ini bilik I. You tak suka you boleh keluar.”  Telunjuk Ezahra diarahkan ke ruang tamu.
            “Awak lapar tak?  Saya nak masakkan makanan western. Awak suka makanan western, kan?”  Tiba-tiba ton suara Fayyad berubah seperti biasa. Seolah-olah tiada apa yang berlaku tadi.
            “You nak masak apa?”  tanya Ezahra sambil memeluk tubuh. Wajahnya penuh ego walhal memang tengah lapar.
            “Spaghetti bolognese?”  Kening Fayyad menari-nari sambil tersenyum menggoda.
            “Rajinnya you.”
            “Saya memang setiap saat rajin. Awak aje yang tak perasan. Lagipun, saya nak habiskan barang-barang dapur. Dah lama kita tinggalkan rumah ni. Takut nanti busuk macam itu aje. Sayang kalau membazir.”
            Ezahra buat muka bongkak lagi.
            “Saya masak, tapi dengan syarat... awak kemas bilik awak. Selagi tak kemas, saya tak nak masak.”
            Ezahra menolak pintu biliknya. Dalam masa yang sama tubuh Fayyad yang masih dalam kawasan biliknya tertolak ke kawasan ruang tamu.
            “Adoi!!  Sakitlah!”  Kening Fayyad bercantum. Geram betul dia dengan keganasan si isteri. Tak sopan, tak santun!
            Ezahra tidak mengendahkan si Fayyad.
            Fayyad geram. Dia ketuk pintu bertalu-talu.  “Ezahra Binti Khalid!”
            “What??!!”   Seiring itu pintu bilik dibuka.
            “Kemas bilik!”
            “Apa masalah you?  I nak kemaslah ni. Bising pulak!”
            “Oh, ya ka?  Sori-sori… abang minta maaf ya, sayang.”
            Lagi kuat Ezahra hempas pintu.
            Tersentak Fayyad dibuatnya. Dia menggigit bibir.  “Sikit hari saya buang semua pintu dalam rumah ni!”  bebelnya sambil menapak menuju dapur.


“You boleh sabar, tak?”  tanya Ezahra sebaik membuka pintu biliknya.
            “Dah kemas bilik belum?”  Fayyad menyoal sopan.
            “Dah.”
            “Saya tengok…”  Fayyad menolak luas pintu bilik isterinya. Lalu mengangguk. “Bolehlah tu, kan. Walaupun nampaklah sama macam tak kemas yang penting sekarang kita makan dulu. Awak lapar. Saya lapar. Jom kita makan.”
            “Tak kemas you cakap?  Separuh mati I kemas tahu, tak?”  tingkah Ezahra sambil membuntuti si suami yang sedang menapak ke dapur.
            “Separuh matilah sangat. Tak nampak perubahan apa pun. Sejam setengah saya bagi masa. Entah terbongkang awak tidur dekat dalam bilik tu.”
            “Suka hati youlah!”
            “Makanlah,”  pelawa Fayyad sambil duduk di atas kerusi. Segalanya sudah terhidang di atas meja termasuk makanan dan minuman.
            “You tak suruh pun memang I nak makan,”  kata Ezahra sambil menyorong kerusi ke belakang. Bersedia untuk menghenyakkan punggung di situ.
            Mereka berdua pun menikmati spaghetti bolognese yang dibuat oleh Fayyad dengan kasih sayang. Sunyi sepi sehingga Ezahra tiba-tiba bersuara.
“Mana you belajar masak?”
            Fayyad senyum kambing.  “Sedap, kan?”
            “Perasan!”
            “Mengaku ajelah, sedap. Untung tau awak bersuamikan saya. Serba serbi boleh. Sura rumahlah katakan. Masak pandai, kemas rumah pandai. Semuanya pandai.”
            Tiada respons.
            “Saya tak tahu dari mana saya belajar masak. Yang saya tahu saya suka masak. Bila saya stress, saya masuk dapur dan masak. Masa saya masak tu, saya campak-campak aje. Dalam campak-campak tu pun menjadi jugak masakan saya. Jadi, point saya. Saya tak belajar masak dari sesiapa pun. Mungkin benda ni bakat yang Allah bagi dekat saya.
            “Kenapa saya cakap bakat?  Sebab ramai dekat luar sana yang belajar masak, tapi tetap tak pandai-pandai masak juga. Tapi yang tak pandai masak tu, ada kelebihan lain. Masing-masing ada kelebihan masing-masing, kan?  Macam awaklah. Awak tak pandai masak. Tahu nak makan aje. Tapi saya yakin awak ada kelebihan yang lain.”
            “I tanya mana you belajar masak, kan?  Yang you merepek kaitkan I, kenapa?”  Terbantut terus selera Ezahra bila mana namanya disebut-sebut kerana tidak tahu masak. Sebut yang baik-baik tak apalah. Ini tidak!  Yang buruk juga yang disebut-sebut.
            “Oh, ya ka?  Saya suka kaitkan awak. Sebab bila ada cerita saya, mesti ada cerita awak. Bila ada saya, mesti ada awak. Kita, kan loving couple.”
            Ayat mesti mau power!!
            Ezahra mengetap bibir. Sakit hati betul dia dengan si Fayyad.
            “Jangan tanya kenapa kalau I sumbat cili dalam mulut you.”
            “Masya-Allah. Isteriku gangster rupanya.”  Fayyad buat bunyi ala-ala memanggil kucing.
            Ezahra menjeling. Dia meneruskan suapan spaghetti ke dalam mulutnya.
            “Ezahra…”
            Ezahra angkat kepala memandang wajah sayu Fayyad.
            “Boleh tak saya nak tengok awak senyum lagi?”
            Kening Ezahra terangkat sebelah.
            “Macam siang tadi. Masa awak tembak muka saya dengan biji rambutan.”
            Dia ada senyum ke siang tadi?  Kenapa dia tak perasan pun?  Ezahra mengerutkan dahi.
            “Boleh tak?”  Fayyad merayu dengan wajah bersungguh-sungguh.
            “You jangan nak merepek. I dah habis makan. Nanti you cuci pinggan ni.”  Ezahra bingkas berdiri dan berlalu meninggalkan dapur.  
            “Eh, cuci sama-samalah!”
            Kelibat Ezahra sudah pun hilang. Namun yang tidak hilang hanyalah bunyi pintu yang dihempas kuat.
            Berdarah juga gegendang telinga si Fayyad. Panas aje telinga dia mendengarkan hempasan pintu itu.

            Dalam tidak sedar dia melepaskan keluh berat.

No comments:

Post a Comment

Bacaan Buku Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat

Bacaan Buku Falsafah Buku Falsafah yang telah saya baca di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ialah ‘Falsafah Etika Perbandingan Pendekatan I...