Mak
Nah reling-reling sahaja si menantu yang makan pakai sudu dan garpu. Bukan hari
ini sahaja, malah sebelum-sebelum ini juga si menantu menggunakan sudu dan
garpu tetapi dia tidak kisah sangat memandangkan si menantu datang daripada
keluarga yang berada. Jadi, perkara itu memang biasa. Tetapi sejak-sejak tidak
berkenan dengan sikap si menantu tempoh hari, apa sahaja yang dilakukan oleh
wanita itu, serba tidak kena dimatanya.
Ezahra.
Dia memang dari tadi sudah selesai makan. Tetapi si Fayyad sempat mengugut
supaya wanita itu tidak berganjak selagi emaknya tidak berganjak dari meja
makan. Kalau dia ingkar, mereka akan berada rumah itu selama tujuh hari lagi.
Dia bukan takut dengan si Fayyad. Tetapi lelaki itu jenis cakap serupa bikin.
Kadang-kadang apa dia cakap, dia akan buat!
Daripada
tidak dapat balik ke rumah, lebih baik dia menuruti sahaja kemahuan si Fayyad.
Lagipun, dia disuruh duduk sahaja, bukannya suruh angkat berat, kan?
“Tambahlah,
Ara. Anak-anak semua.” Mak Nah mempelawa
tanpa riak. Dia mengheret kerusi ke belakang sebelum berdiri. Lalu langkah kaki
diatur menuju ke sinki.
“Sudah
dah, mak? Cepatnya makan.” Fawwas bersuara sambil mulut penuh dengan
makanan.
“Haah,
mak. Mak suruh orang tambah, mak sendiri makan sikit tak menambah pun,” sampuk Farhana. Bukannya dia tidak tahu,
emaknya sudah tidak berkenan dengan kakak iparnya itu. Dia mulai risau.
Takut-takut tingkah emak itu akan menampakkan rasa tidak sukanya pada si kakak
ipar. Sekurang-kurangnya senyumlah, kan?
“Makanlah.
Mak nak cepat. Ada hal.”
Fawwas
ketawa mengejek. Suka betul dia mendengarkan alasan si emak. “Eleh, mak tu. Macamlah besar sangat hal.
Kalah presiden.”
“Mak
nak pergi rewang dekat rumah Mak Cik Yaya kau orang tu. Ada kenduri tahlil
malam ni. Mak nak kena pergi tolong apa-apa yang patut.” Mak Nah mencuci seraya membilas pinggan yang
digunakan tadi. Lalu dia meniarapkan pinggan ke atas rak.
Fayyad
menelan makanan di dalam mulut sebelum bersuara. “Oh, nanti kirim salam Mak Cik Yaya. Along
nak kena balik hari juga, mak.”
Ezahra
seronok aje dalam hati bila mendengarkan perbualan itu. Jadi, hari ini dia
boleh keluar dari rumah ini! Dia tidak
selesa lama-lama dirumah orang.
Mak Nah menoleh sambil mempamerkan
wajah berkerut. “Awalnya balik. Esok,
kan cuti lagi.”
“Ara
ada hal nak kena settle.”
“Settlekan dekat sini ajelah.”
“Ada
barang dia tertinggal dekat rumah.”
“Yelah, Long.” Mak Nah bersuara mendatar. Dia menghela
nafas. Tangan yang basah dilapkan pada kain batik. “Mak masuk bilik dulu. Lepas zuhur mak nak
pergi rumah Mak Cik Yaya kau orang.”
Tiga
adik beradik itu sekadar menyoroti langkah Mak Nah sahaja lalu mereka
meneruskan suapan ke dalam mulut masing-masing.
“Adik, nanti jangan lupa cuci
pinggan mangkuk.” Sempat Mak Nah
berpesan kepada Farhana sebelum kelibatnya hilang ke dalam bilik.
“Ye,
mak!” Farhana mencebik. Inilah padahnya
jadi satu-satunya anak perempuan. Semua bab-bab kerja perempuan, memang serah
bulat-bulat padanya. Kena tolong masak, kemas rumah, cuci pinggan. Haihlah
nasib!
Ezahra. Sebaik sahaja kelibat Mak
Nah hilang dari mata, sesegera itu juga dia berdiri dan menuju ke sinki.
“Ezahra, cuci pinggan, eh
sayang! Kalau tak, tak boleh
balik.” Fayyad mengugut si isteri.
Ezahra
menoleh ke belakang memandang Fayyad tajam.
“Fuh!! Seksi doh
bini kau, Long.” Fawwas sengaja perhangatkan
keadaan.
“Ini
baru depan orang. Dekat rumah lagi seksi doh!” Fayyad sengih suka sambil menepuk bahu
Fawwas.
Ezahra
sengaja menjatuhkan garpu dan sudu ke dalam sinki. Bunyi bising itu menandakan
dia sedang marah.
Dua
beradik itu saling ketawa kecuali Farhana.
“Isk!! Apa Along ni!
Gelilah. Ingat orang nak tahu sangat ke cerita Along suami isteri.”
“Jeles!”
Fayyad segera bangun dan mengutip segala pinggan mangkuk yang sudah
kosong lalu dibawa ke sinki.
“Basuh
ya, sayang…” Fayyad kenyitkan matanya
pada Ezahra. Sesekali mata memandang tangan si isteri yang ala-ala geli-dan-tak-tahu-nak-menggosok-pinggan
dengan span basuh pinggan.
Ezahra
mencerlung tajam wajah Fayyad. Dia baru nak habis basuh pinggan, tiba-tiba
pinggan lain pula yang datang. Lagi banyak!
Fayyad
pejam mata sambil muncung mulut semacam nak mencium si isteri. Lalu cepat-cepat
dia lari ke meja makan sebab takut kena bedal.
“Tak
perlu kut nak bajet sweet dekat sini.
Menyampah aje Ngah tengok.” Berbulu aje
mata Fawwas melihatkan adegan mesra si suami terhadap isteri. Panas doh!!
Dia bingkas bangun lalu meletakkan pinggan ke sinki.
Panas
betul hati Ezahra. Dia berusaha cepat-cepat basuh pinggan supaya lebih cepat
dia naik ke atas. Tetapi semakin dia laju, semakin banyak pula pinggan mangkuk
yang datang!
“Jeles siak kau ni, Ngah!”
“Tak
jeles, eh! Geli aje tengok.” Usai membasuh tangan, Fawwas pun berlalu
meninggalkan ruangan dapur. Dah kenyang makan, masa untuk rehatkan diri pula
depan televisyen.
“Dah
habis makan tu, letak aje pinggan dekat sinki. Nanti Kak Ara basuh.”
Menyirap
darah Ezahra naik ke muka. Geram nak mati dengan tingkah si Fayyad. Isk! Dia yang sedang memcuci pisau terasa macam
nak cucuk-cucuk aje lidah si lelaki itu. Sakit hati bukan kepalang. Dia sekadar
memejamkan mata dan mengetap bibir sambil hidung kembang kempis menahan sesak
di dada.
“Adik,
kemas meja makan tu. Dah siap tu, boleh naik atas.”
“Tak
apa, adik tolo…”
“Along
cakap naik atas, naik ajelah. Karang
ada jugak yang nak kena tarik rambut
dekat sini.”
“Okey! Kalau daripada dulu Along offer macam itu, kan seronok.”
Fayyad
menjelir lidahnya pada Farhana.
Farhana
mencebik lalu mengangkat kaki.
“Awak
cuci dengan sabun, saya bilas dengan air.”
Fayyad berdiri di sebelah isteri.
“Sepatutnya
you yang buat semua ni.” Ezahra meneran
suara garangnya supaya tidak kedengaran oleh emak mertua.
“Ha! Nak balik tak?” ugut Fayyad lagi.
Jeling.
“Sama-samalah.
Orang perempuan ni, kena tahu buat kerja dapur. Mulai dari hari ni, kena
belajar.”
“Ini
bukan kerja arkitek macam I.”
“Ini
kerja seorang isteri dan kerja orang perempuan. Awak bukan jantina yang saya mention ke?” Fayyad memerli.
“I
tak tahu mulut you ni cap apa. Tapi, setiap kali I dengar you bercakap, I sakit
hati sangat,” gumam Ezahra.
“Uisk!! Parah tu!
Kalau saya penyebab sakit hati, saya juga ada penawarnya. Nak tahu tak
penawarnya?” Fayyad menzahirkan wajah
teruja.
Ezahra
ketap bibir geram. Menjawab betul!
“Ubatnya
adalah cinta. Bila saya beri awak cinta, sakit hati awak tu akan sembuh seratus
peratus.” Fayyad kenyit mata. Jawapan
subjektif yang sangat skema itu betul-betul menikam sanubari sesiapa yang
mendengarnya.
“You
basuh semua ni,” marah Ezahra. Dia
menderma sebuah jelingan tahap nak mati sebelum berlalu meninggalkan si suami.
Fayyad
mengangkat kedua keningnya seraya menjuihkan bibir. Faham sangat perangai si
isteri. Tak apa, dia dah biasa. Yang penting dia puas hati sebab dapat luahkan
isi hatinya secara tidak langsung.
Fayyad memeluk tubuh sambil bersandar pada
bingkai pintu rumah diruang tamu. Dari tadi mata asyik mereling si Ezahra yang
sedang memperbetulkan selendang yang dipakai. Ada sahaja yang nak kena tegur.
Ingat mulut dia tak penat ke? Tapi
seronok juga selalu membebel, sebab dia ni jenis ada sahaja benda nak cakap.
Sesaat tak bercakap, boleh cramp mulut!
“Nak
pergi mana?”
“You
buta ke? I nak turun bawahlah! Nak ambil angin,” getus Ezahra.
“Ha! Nak turun tu cuba pakai tudung elok-elok
sikit. Ini, berjambul rambut keluar.”
Telunjuk Fayyad menyentuh jambul si isteri. Namun, si isteri pantas
menepisnya. “Ingat masuk neraka
sekerat-sekerat ke? Badan masuk syurga,
jambul ni masuk neraka?”
Ezahra
menggigit bibir. Tak pernah tak menyakitkan hati kalau si Fayyad bersuara. Bisa
betul mulutnya! Dia tahulah itu semua
dosa, nanti-nanti dia tebus baliklah dosa dengan pahalanya.
“Kira bagus I pakai juga, daripada
tak pakai langsung,” jawabnya.
“Pakai
tudung nak tutup rambut, tapi ini nampak rambut keluar juga sama aje macam tak
pakai tudung.” Fayyad membebel lagi.
“You
jangan bising sangat boleh tak? Bukannya
ada orang pun dekat luar tu.” Ezahra
menjawab.
“Ingat
orang tak lalu lalang dekat luar tu?”
soal Fayyad.
“Orang
yang lalu lalang pun tak sempat nak tengok jambul I ni.” Ezahra cuba membela dirinya.
Fayyad
ketawa suka. Kemudian dia berwajah serius semula. “Bukan main pandai menjawab sekarang.
Dah! Pergi tukar tudung. Kalau tak
jangan balik.”
Decitan
kedengaran dari mulut Ezahra. Seketika dia melangkah masuk ke dalam bilik
Farhana semula.
Ezahra memejamkan mata sambil memeluk tubuh.
Menikmati paduan angin sepoi-sepoi bahasa yang membuai dirinya. Seronok! Sejuk sahaja. Ini antara kelebihan duduk
dikampung walaupun kadang-kadang terasa diri berada di zoo kerana boleh
dikatakan macam-macam binatang ada.
“Amboi… bukan main posing model.”
Ezahra
cepat-cepat buka mata. Seketika dia menggigit bibir tatkala melihat gerangan
yang menegur.
“Rambutan.” Fayyad menjuihkan bibir pada besen yang
dibawa. Besen yang terisi buah rambutan itu diletakkan ke atas pangkin. Lalu
dia duduk di atas pangkin itu.
Diam.
“Mehlah makan.”
“Sedap
ke?” Ezahra memeluk tubuh sambil
mengangkat sebelah keningnya.
Dahi
Fayyad berkerut. “Takkan tak pernah
makan?”
Ezahra
menggeleng.
“Kesiannya! Nah!”
Fayyad menyuakan sebiji buah rambutan pada si isteri sambil tersenyum
manis. “Awak boleh gigit kulit rambutan
tu untuk keluarkan isi.”
Ezahra
mengerutkan kening sambil buat muka geli. Gila tak geli? Dengan rerambut rambutan tu masuk ke dalam
mulutnya. Meremang bulu roma. Geli kut!
“Kalau
tak nak, awak tekan rambutan tu kuat-kuat dengan telapak tangan awak.”
Ezahra
pun menurut. Namun, lemah gemalainya ala-ala orang tak pernah makan buah
rambutan membuatkan ia tidak berkesan.
“Hailah,
isteri! Cara cakap dengan saya nampak
gagah aje. Tapi bila suruh picit buah rambutan, tak gagah langsung.” Fayyad merampas buah rambutan dari tangan
Ezahra.
Ezahra
terpinga-pinga.
“Macam
ni…” Fayyad meletakkan buah rambutan ke
atas tapak tangan sebelah kanan. Lalu jemari kedua-dua tangannya bersatu
menggenggam rambutan. Buah rambutan yang berada dalam genggamannya itu ditekan
kuat.
Pandang.
“Nah!” serah Fayyad akan buah rambutan yang kulitnya
tinggal separuh kepada si isteri.
Dengan
wajah bongkak, Ezahra mencapainya. Sikit pun tak ucap terima kasih. Dia gigit
isi buah rambutan dan dibawa ke dalam mulut. Kini membulat pipi kanannya. Kulit
rambutan diletakkan ke dalam besen.
Fayyad
tersenyum melihat gelagat si isteri.
“Buah manggis baru jadi bunga. Nanti dah jadi buah, kita balik sini lagi,
eh. Sedap. Buah favourite saya.”
“Banyak
lagi tak buah ni? Boleh bawa balik rumah
tak?”
Fayyad
mengangguk. “Banyak lagi, sayang. Nanti
saya ambilkan ya.” Kini dia beriak
teruja.
“Tolong
jangan panggil I, sayang. Telinga I rasa bernanah aje dengar.”
“Ha! Apa salahnya?
Saya memang sayang awak pun. Awak, kan isteri saya. Okeylah tu saya
panggil sayang. Kalau saya panggil awak dengan nama tak elok, awak cakap saya
mencarut pulak.” Jawapan Fayyad memang selalu yang tak pernah
diduga oleh Ezahra.
“You can call me Ezahra. Or Ara…”
tegas Ezahra.
Fayyad
mengangkat keningnya. “Mulut saya, suka
hatilah nak panggil isteri saya apa pun.”
Ezahra
tembak Fayyad dengan biji rambutan dari dalam mulutnya. Seketika dia ketawa
suka.
Fayyad
terkedu dengan tindakan Ezahra. Berani betul si isteri buat macam itu
padanya? Dan apa yang membuatkan dia
terkedu, rupanya si isteri sudah pandai tersenyum. Buat pertama kalinya dia
melihat wanita itu senyum. Senyuman paling manis! “Saya cium awak dekat sini, eh!”
Dia
tidak sedar akan apa yang dikatakannya kini. Dia terpegun melihat senyuman
Ezahra yang sangat mahal itu.
Ezahra
tersengih. “Seronok sangat I buat macam itu dekat you.”
“Saya
pun seronok nak cium pipi awak.” Ayat
itu spontan keluar dari bibir Fayyad. Dia tak sedar pun apa yang dia cakap
sebenarnya kerana matanya masih fokus pada Ezahra.
Cepat-cepat
Ezahra tarik muka. “I baling you dengan buah rambutan ni.” Sebiji buah rambutan diangkat dan diarahkan
ke wajah Fayyad.
Fayyad
berwajah hampa kerana senyuman si isteri sudah mati. Entah bila pula dia dapat
melihat senyuman itu. “Eh, jom kita naik motor. Saya bawa awak ronda-ronda
kampung ni naik motor.”
“No!”
Ezahra bertegas sambil menjegilkan mata. Berani betul si Fayyad
mengajaknya naik motor! Seumur hidup dia
tidak pernah menyentuh motosikal. Inikan pula nak membonceng atau menunggang.
“Jomlah…
kalau tidak, tak boleh balik.” Fayyad
mengugut.
Ezahra
menggigit bibir. “I dah muaklah dengar
ugutan you tu konon tak nak balik if
I tak buat itu, tak buat ini. Sekarang I dah tak kisah you nak balik rumah ke
tak nak balik. Sebab I boleh balik naik teksi!”
Dia bersuara geram. Naik, turun dadanya menahan amarah. Dia kini
melangkah meninggalkan sang suami.
“Ha! Tengok diri depan cermin dulu, cukup tak duit
awak nak balik naik teksi?” Fayyad
bersuara separuh menjerit.
Ezahra
menghentikan langkah dan menoleh. Dia menjegil Fayyad.
Fayyad
buat mulut muncung seolah mahu mencium si isteri.
Ezahra
geram. Dia meneruskan langkah untuk masuk ke dalam rumah.
“Kemaslah
barang-barang, kita balik sekarang.”
Langkah
kaki terhenti. Ezahra menoleh ke belakang semula. Tetapi tiada riak marah
dipamerkan pada si suami.
“Really?” soalnya mahu mendapatkan kepastian.
Fayyad
tarik senyum. Lambat-lambat dia mengangguk.
Ezahra
berpaling dan berjalan laju menuju ke rumah. Seronok nak balik kut! Tazaba nak
mengemas barang-barang!
Usai mengimamkan solat isyak di rumah
mereka, Fayyad duduk di atas sofa sambil lengan masih tersidai sejadah yang
sudah dilipat. Dia merenung pintu bilik Ezahra yang baru ditutup. Dia tahu
wanita itu walaupun keras kepala dan suka bertindak mengikut kata hati sendiri,
namun dia yakin bahawa disebalik kedegilan itu masih tersimpan ruang baik dalam
diri.
Buktinya,
selama dia mengajak Ezahra solat berjemaah, wanita itu tidak menolak walaupun
melalui riak wajah wanita itu sekadar bersahaja malah terkadang wajah garang
berserta jelingan maut yang diresponkan.
Fayyad.
Selaku suami, dia tidak pernah lupa untuk mendoakan rumah tangga mereka. Dia
selalu mendoakan yang baik-baik untuk isteri. Dan yang paling penting, dia
doakan cinta untuk mereka.
Sebagai suami, dia sayang akan si
isteri dan perkahwinannya. Dan dia akui, lama kelamaan perasaan cinta mula
berputik dalam hati. Kedegilan Ezahra ternyata membenihkan cinta dalam hati
buat wanita itu.
Fayyad.
Dia berdiri lalu menghampiri pintu bilik Ezahra. Diketuknya beberapa kali. “Ezahra… keluarlah, berbual dengan saya.”
Tiada
respon.
“Ezahra...
oh, Ezahra…” rengek Fayyad sambil bersandar
pada pintu bilik Ezahra. Lalu dia buat gaya seksi.
Tiba-tiba
pintu bilik Ezahra dikuak dari dalam. Apa lagi, terdoronglah tubuh Fayyad ke
dalam bilik wanita itu.
“Eh,
eh!!” Fayyad cuba menampan tubuhnya yang
hampir terjatuh. Dan… memang terjatuh pun!
Ezahra
mengundur ke belakang membiarkan tubuh Fayyad jatuh gedebuk ke atas lantai.
“Fuhhh!!
Sedap bak hang!!” Fayyad menggosok punggungnya sambil buat muka
menahan sakit.
“Sedap,
kan? Lebih dari tu I boleh buat kalau
you bising-bising lagi dekat sini.”
Ezahra memeluk tubuh.
Melopong
Fayyad melihatnya. Riak terkejut dipamerkan. “Masya-Allah!! Ini bilik ke sarang maksiat? Eh, sarang lebah? Awak nak terberanak ke? Awak tahu tak lebah nak beranak, sarang macam
inilah dia buat.”
“Lebah
mana ada beranak. Dia bertelur. Sains you dulu fail, eh?” tingkah Ezahra.
Fayyad
membulatkan matanya seraya mencekak pinggang.
“Ha!! Menjawab. Kemas bilik ni
sekarang!” arahnya tegas.
“Ini
bilik I. You tak suka you boleh keluar.”
Telunjuk Ezahra diarahkan ke ruang tamu.
“Awak
lapar tak? Saya nak masakkan makanan western. Awak suka makanan western, kan?” Tiba-tiba ton suara Fayyad berubah seperti
biasa. Seolah-olah tiada apa yang berlaku tadi.
“You
nak masak apa?” tanya Ezahra sambil
memeluk tubuh. Wajahnya penuh ego walhal memang tengah lapar.
“Spaghetti bolognese?” Kening Fayyad menari-nari sambil tersenyum
menggoda.
“Rajinnya
you.”
“Saya
memang setiap saat rajin. Awak aje yang tak perasan. Lagipun, saya nak habiskan
barang-barang dapur. Dah lama kita tinggalkan rumah ni. Takut nanti busuk macam
itu aje. Sayang kalau membazir.”
Ezahra
buat muka bongkak lagi.
“Saya
masak, tapi dengan syarat... awak kemas bilik awak. Selagi tak kemas, saya tak
nak masak.”
Ezahra
menolak pintu biliknya. Dalam masa yang sama tubuh Fayyad yang masih dalam
kawasan biliknya tertolak ke kawasan ruang tamu.
“Adoi!! Sakitlah!”
Kening Fayyad bercantum. Geram betul dia dengan keganasan si isteri. Tak
sopan, tak santun!
Ezahra
tidak mengendahkan si Fayyad.
Fayyad
geram. Dia ketuk pintu bertalu-talu.
“Ezahra Binti Khalid!”
“What??!!” Seiring itu pintu bilik dibuka.
“Kemas
bilik!”
“Apa
masalah you? I nak kemaslah ni. Bising pulak!”
“Oh,
ya ka? Sori-sori… abang minta maaf ya, sayang.”
Lagi
kuat Ezahra hempas pintu.
Tersentak
Fayyad dibuatnya. Dia menggigit bibir. “Sikit
hari saya buang semua pintu dalam rumah ni!”
bebelnya sambil menapak menuju dapur.
“You boleh sabar, tak?” tanya Ezahra sebaik membuka pintu biliknya.
“Dah
kemas bilik belum?” Fayyad menyoal sopan.
“Dah.”
“Saya
tengok…” Fayyad menolak luas pintu bilik
isterinya. Lalu mengangguk. “Bolehlah tu, kan. Walaupun nampaklah sama macam
tak kemas yang penting sekarang kita makan dulu. Awak lapar. Saya lapar. Jom
kita makan.”
“Tak
kemas you cakap? Separuh mati I kemas
tahu, tak?” tingkah Ezahra sambil
membuntuti si suami yang sedang menapak ke dapur.
“Separuh
matilah sangat. Tak nampak perubahan apa pun. Sejam setengah saya bagi masa.
Entah terbongkang awak tidur dekat dalam bilik tu.”
“Suka
hati youlah!”
“Makanlah,” pelawa Fayyad sambil duduk di atas kerusi.
Segalanya sudah terhidang di atas meja termasuk makanan dan minuman.
“You
tak suruh pun memang I nak makan,” kata
Ezahra sambil menyorong kerusi ke belakang. Bersedia untuk menghenyakkan punggung
di situ.
Mereka
berdua pun menikmati spaghetti bolognese
yang dibuat oleh Fayyad dengan kasih sayang. Sunyi sepi sehingga Ezahra
tiba-tiba bersuara.
“Mana you belajar masak?”
Fayyad
senyum kambing. “Sedap, kan?”
“Perasan!”
“Mengaku
ajelah, sedap. Untung tau awak bersuamikan saya. Serba serbi boleh. Sura
rumahlah katakan. Masak pandai, kemas rumah pandai. Semuanya pandai.”
Tiada
respons.
“Saya
tak tahu dari mana saya belajar masak. Yang saya tahu saya suka masak. Bila
saya stress, saya masuk dapur dan
masak. Masa saya masak tu, saya campak-campak aje. Dalam campak-campak tu pun
menjadi jugak masakan saya. Jadi, point saya. Saya tak belajar masak dari
sesiapa pun. Mungkin benda ni bakat yang Allah bagi dekat saya.
“Kenapa
saya cakap bakat? Sebab ramai dekat luar
sana yang belajar masak, tapi tetap tak pandai-pandai masak juga. Tapi yang tak
pandai masak tu, ada kelebihan lain. Masing-masing ada kelebihan masing-masing,
kan? Macam awaklah. Awak tak pandai
masak. Tahu nak makan aje. Tapi saya yakin awak ada kelebihan yang lain.”
“I
tanya mana you belajar masak, kan? Yang
you merepek kaitkan I, kenapa?”
Terbantut terus selera Ezahra bila mana namanya disebut-sebut kerana
tidak tahu masak. Sebut yang baik-baik tak apalah. Ini tidak! Yang buruk juga yang disebut-sebut.
“Oh,
ya ka? Saya suka kaitkan awak. Sebab
bila ada cerita saya, mesti ada cerita awak. Bila ada saya, mesti ada awak.
Kita, kan loving couple.”
Ayat
mesti mau power!!
Ezahra
mengetap bibir. Sakit hati betul dia dengan si Fayyad.
“Jangan
tanya kenapa kalau I sumbat cili dalam mulut you.”
“Masya-Allah.
Isteriku gangster rupanya.” Fayyad buat bunyi ala-ala memanggil kucing.
Ezahra
menjeling. Dia meneruskan suapan spaghetti
ke dalam mulutnya.
“Ezahra…”
Ezahra
angkat kepala memandang wajah sayu Fayyad.
“Boleh
tak saya nak tengok awak senyum lagi?”
Kening
Ezahra terangkat sebelah.
“Macam
siang tadi. Masa awak tembak muka saya dengan biji rambutan.”
Dia
ada senyum ke siang tadi? Kenapa dia tak
perasan pun? Ezahra mengerutkan dahi.
“Boleh
tak?” Fayyad merayu dengan wajah
bersungguh-sungguh.
“You
jangan nak merepek. I dah habis makan. Nanti you cuci pinggan ni.” Ezahra bingkas berdiri dan berlalu
meninggalkan dapur.
“Eh,
cuci sama-samalah!”
Kelibat
Ezahra sudah pun hilang. Namun yang tidak hilang hanyalah bunyi pintu yang
dihempas kuat.
Berdarah
juga gegendang telinga si Fayyad. Panas aje telinga dia mendengarkan hempasan
pintu itu.
Dalam
tidak sedar dia melepaskan keluh berat.